PADA 31 Julai lalu, negara menyambut Hari Pahlawan. Tarikh ini diisytihar sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960. Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 31 Julai lalu, negara menyambut Hari Pahlawan. Tarikh ini diisytihar sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960. Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pahlawan-pahlawan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta.

Sambutan Hari Pahlawan sebenarnya adalah masa terbaik untuk semua pihak mengimbas kembali dan mengambil iktibar mengenai apa yang telah dilakukan oleh pahlawan negara yang telah berkorban segalanya hatta nyawa demi satu prinsip yang digenggam erat.

Sifat ‘kekitaan’ dilihat mula terhakis dalam senario negara hari ini dan sesetengah pihak lebih selesa memukul gendang kenegerian dan kepartian demi nyawa politik atau populariti. Oleh itu, semangat kepahlawanan dan kenegaraan yang ditunjukkan oleh patriot terdahulu perlu dikembalikan.

Dalam menghargai Hari Pahlawan, umum mungkin tidak dapat menghargai pengorbanan yang dilaksana oleh pegawai dan anggota keselamatan negara kerana mungkin telah disajikan dengan kisah dan penceritaan yang dimanipulasi.

Generasi baru seakan leka dan lupa pengorbanan yang dilakukan pahlawan negara yang sanggup mengangkat senjata bersama untuk mempertahankan negara dengan niat yang ikhlas tanpa mengira agama, warna kulit, bangsa mahupun dari negeri mana dan ke negeri mana perjuangan itu mesti dilakukan. Pada Julai 1971, Truper Rasli Buang, anak Sarawak yang merupakan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja telah terbunuh dalam pertempuran di Hutan Simpan Kinta, Perak. Di kawasan operasi yang sama, Kapten Mohana Chandran Velayuthan dari Seremban, Negeri Sembilan turut terbunuh setelah bertempur dengan gerila komunis.

Pada Mac 1972, satu konvoi yang terdiri dari sebuah kenderaan Land Rover dan dua terak tiga tan dari Pasukan 7 Renjer sedang dalam perjalanan pulang ke Lundu, Sarawak. Mereka telah melakukan kerja-kerja pembaikan di kem Biawak dan apabila sampai di kampung Jongkar, konvoi telah diserang hendap oleh pasukan Parti Guerilla Rakyat Sarawak atau PGRS yang berfahaman komunis.

Sejumlah 15 anggota terkorban. Dari jumlah itu, 13 adalah anak-anak muda dari Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi merupakan anak Sabah. Kesemuanya terbujur kaku menyembah bumi negeri Sarawak demi kedaulatan negara bernama Malaysia.

Semua ini adalah hanya cebisan dari kisah perjuangan pahlawan terdahulu yang mempunyai visi dan misi jelas menjaga kedaulatan dan kemerdekaan negara agar generasi akan datang dapat menikmati hasilnya dalam kedamaian dan keharmonian.

Apa yang dirisaukan adalah sejak beberapa tahun kebelakangan seakan wujud percubaan untuk merungkai kedamaian dan keharmonian ini. Kedamaian dan kedaulatan negara yang dibina dengan darah pahlawan dan air mata keluarga mereka seakan tidak dihargai dan mahu diganggu gugat. Masyarakat majmuk negara ini kerap ditakutkan dengan persepsi negatif yang melaga-lagakan antara satu sama lain. Isu agama, perkauman dan taat setia dijadikan modal oleh pihak tertentu dan berkepentingan.

Lebih membimbangkan adalah persepsi perkauman dan fahaman yang dilabel oleh golongan ini agar sentimen kebencian akan terus menebal antara kaum demi mendapatkan sokongan dan keuntungan terutamanya di medan politik. Peristiwa atau kejadian jenayah yang tiada hubungan dengan perkauman dan agama disebarkan di media sosial agar ia dilihat mempunyai kaitan langsung dan menyebabkan jurang polarisasi masyarakat berdasarkan etnik dan agama bertambah luas.

Apabila disebut PKM maka nama Chin Peng dan etnik beliau dikait rapat, namun nama-nama seperti Rashid Mydin, Abdullah CD, Wahi Annuar, Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh, Ibrahim Mohamad dan Mat Indera seakan mahu dipadamkan dari etnik mereka, walhal pada satu ketika, mereka turut berganding bahu dalam PKM mahu memusnahkan kedaulatan negara ini.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca