VARIAN baharu Covid-19 mendatangkan risiko terhadap perlindungan signifikan ditawarkan oleh vaksin, malah menyebabkan jangkitan semula terhadap individu yang pernah dijangkiti. Ini bermakna individu yang telah divaksin kurang efektif dalam... Klik di sini untuk terus membaca

VARIAN baharu Covid-19 mendatangkan risiko terhadap perlindungan signifikan ditawarkan oleh vaksin, malah menyebabkan jangkitan semula terhadap individu yang pernah dijangkiti. Ini bermakna individu yang telah divaksin kurang efektif dalam meneutralkan virus sintetik yang mengandungi mutasi.

Justeru, semua syarikat pengeluar vaksin sedang berusaha melakukan pengubahsuaian dan penambahbaikan terhadap kandungan vaksin sedia ada menyebabkan mereka yang sudah mengambil dua dos suntikan mungkin perlu mendapatkan suntikan vaksin ketiga atau dos penggalak/booster dalam masa enam hingga 12 bulan selepas vaksinasi penuh.

Penularan pantas varian Delta menyaksikan prospek pemberian suntikan ketiga vaksin Covid-19 semakin menarik minat negara-negara yang sebahagian besar rakyatnya telah memperoleh perlindungan imunisasi.

Individu yang imunitinya terjejas mungkin memerlukan suntikan tambahan bagi meningkatkan perlindungan, antaranya pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi susulan akan menjadi golongan berisiko.

Ketua Penasihat Perubatan Rumah Putih, Anthony Fauci menyatakan permohonan dos ketiga oleh Pfizer/BioNTech adalah 'persediaan wajar ke arah keperluan mengambil suntikan penggalak pada akhirnya’ dengan matlamat memastikan pembentukan sistem ketahanan badan individu yang lebih kuat berbanding dua suntikan vaksin disebabkan kemunculan pelbagai varian baharu yang berkemungkinan menjejaskan keberkesanan vaksin sedia ada dari masa ke masa.

Syarikat farmaseutikal itu menyatakan suntikan penggalak dapat meningkatkan kadar antibodi terhadap mutasi, lebih lima kali ganda kalangan individu berusia 18 hingga 55 tahun serta lebih daripada 11 kali ganda bagi mereka yang berumur 65 hingga 85 tahun dibandingkan dengan hanya dua dos yang disyorkan.

Pakar vaksin dan konsultan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA), Dr.Paul Offit juga menyatakan perlunya bersiap siaga dengan dos tambahan walaupun masalah varian koronavirus masih mampu ditangani ketika ini.

Selain Pfizer, Sinovac Biotech Ltd juga giat menjalankan penyelidikan klinikal ke atas vaksin khusus sebagai suntikan ketiga untuk meningkatkan imuniti dalam memberikan perlindungan lebih tinggi terhadap varian Gamma dan Delta.

Kajian penyelidik di China mendapati, paras antibodi terhadap virus Covid-19 menurun selama enam bulan secara berkala selepas dos kedua diambil dan apabila dos ketiga diambil berlaku peningkatan mendadak paras antibodi sehingga lima kali ganda.

Perkembangan ini menyebabkan negara seperti Thailand mempertimbang pemberian suntikan vaksin penggalak untuk kumpulan yang telah lengkap divaksin tetapi terdedah kepada risiko, khususnya petugas barisan hadapan. Israel pula menawarkan dos ketiga vaksin Covid-19 kepada individu berusia 60 tahun ke atas ketika kebimbangan semakin memuncak terhadap ancaman penularan varian Delta.

Pencetus lain adalah, Kerajaan Arab Saudi telah mengizinkan kemasukan kepada mereka yang menerima vaksin Sinopharm atau Sinovac dengan kelulusan bersyarat iaitu, kumpulan terbabit memerlukan dos ketiga sama ada daripada vaksin AstraZeneca, Pfizer, Moderna, atau Johnson&Johnson. Semua faktor ini ‘mendorong’ kepada keperluan suntikan tambahan.

Penggunaan dos penggalak masih belum diterima secara meluas termasuklah di Malaysia kerana objektif utama adalah melengkapkan program dua dos ke atas setiap rakyat.

Malah Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) dan Pusat Kawalan Penyakit Eropah memaklumkan, masih awal untuk menentukan keperluan pengambilan dos ketiga.

Ketua Program Imunisasi WHO, Ann Lindstrand turut mendesak negara terlibat mempertimbang semula keputusan untuk menawarkan dos tambahan tatkala ramai lagi masih belum menerima imunisasi lengkap dua suntikan vaksin, apatah lagi tiga dos.

Semua perkembangan tersebut memerlukan ‘pertimbangan semula diberikan terhadap keperluan’ pengambilan dos ketiga dalam menangani pandemik Covid-19.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca