SHAH ALAM - Tanggal 23 Julai lalu menjadi tarikh keramat buat empat adik beradik selepas ibu kesayangan, Noraisah Sabri yang juga merupakan ibu tunggal meninggal dunia angkara Covid-19. Muhammad Hafiz Muhamad Zulkifli, 13, Nor Adira Husna... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tanggal 23 Julai lalu menjadi tarikh keramat buat empat adik beradik selepas ibu kesayangan, Noraisah Sabri yang juga merupakan ibu tunggal meninggal dunia angkara Covid-19.

Muhammad Hafiz Muhamad Zulkifli, 13, Nor Adira Husna Muhamad Zulkifli, 11, Nor Mastura Muhamad Zulkifli, 8, dan Nor Adra Mellisa Muhamad Zulkifli, 7, hilang tempat mengadu dan kini mengharapkan belas ihsan ibu saudara mereka.

Khatijah Sabri, 42, berkata, tamparan realiti yang dihadapi oleh mereka amat berat terutamanya Muhammad Hafiz yang sudah mengerti erti kehilangan.

Lebih memeritkan Muhammad Hafiz sendiri berada di samping ibunya ketika menghebuskan nafas terakhir.

"Muhammad Hafiz bersama ibunya kuarantin di rumah mereka manakala tiga adiknya yang negatif berada di rumah saya atas saranan doktor.

"Apabila Muhammad Hafiz mendapat tahu ibunya meninggal dunia, dia amat sedih dan menangis. Adik-adik yang lain pula masih kecil dan mungkin belum merasai dan mengerti erti kehilangan namun mereka tahu bahawa ibu mereka sudah tiada,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, dia menyedari Muhammad Hafiz kelihatan kuat di mata kasar, namun menyembunyikan perasaan sedih.

"Apabila berhadapan dengan saya, dia seperti buat tidak tahu dan nampak sudah boleh menerima kenyataan namun apabila duduk berseorangan, saya lihat dia masih sedih kerana teringat ibunya.

"Mereka semua amat rapat dan bergantung kepada ibu selepas kehilangan arwah ayah mereka dua tahun yang lepas akibat kemalangan.

"Saya juga turut berasa sebak dengan berita ini dan faham dengan perasaan mereka kerana saya juga kehilangan bapa pada waktu kecil,” katanya.

Khatijah Sabri berkata, setakat ini dia mengambil tanggungjawab untuk menjaga kerana rapat bersama empat beradik itu selain kedua-dua rumah mereka yang terletak di Puchong amat berhampiran.

"Setakat ini, menurut perbincangan bersama adik-beradik yang lain, anak-anak arwah akan tinggal dengan saya dan kebajikan mereka akan saya jaga.

"Namun dari segi pembelajaran, apabila semua masih berada dalam keadaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kemudahan untuk belajar seperti telefon bimbit agak terhad untuk empat orang.

"Kami juga tidak mempunyai komputer riba, jadi mereka harus bergilir-gilir menggunakan telefon yang sedia ada,” katanya.

Selain itu, Khatijah sentiasa memberi kata-kata semangat buat mereka terutamanya Muhammad Hafiz yang menjadi tunjang keluarga buat adik-adiknya. "Saya akan pujuk mereka dengan mengatakan mereka akan menjadi anak saya dan saya akan jaga mereka semua walaupun ibu mereka sudah tiada.

"Harapan saya agar anak-anak ini dapat teruskan kehidupan seperti biasa walaupun tanpa ibu bapa di sisi dan belajar dengan gigih untuk masa hadapan mereka,” katanya dengan nada sayu.

Klik di sini untuk terus membaca