SHAH ALAM - Kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 perlu diberi perhatian oleh semua pihak supaya emosi mereka tidak terus memberontak sehingga merosakkan masa depan mereka. Pakar Pediatrik dan Kardiologi Hospital Pakar KPJ... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 perlu diberi perhatian oleh semua pihak supaya emosi mereka tidak terus memberontak sehingga merosakkan masa depan mereka.

Pakar Pediatrik dan Kardiologi Hospital Pakar KPJ Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, jika tidak dibantu, kesan seperti kemurungan akan hadir terhadap diri anak-anak mangsa kerana rasa keperitan dan kesedihan yang melampau akibat daripada kehilangan insan tersayang.

"Kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 adalah suatu kesedihan yang sukar digambarkan terutamanya bagi kanak-kanak yang masih kecil kerana mereka tidak dapat memproses perasaan berduka itu.

"Tambahan pula mereka tidak dapat melihat arwah dikebumikan dan tidak dapat bersama mereka pada saat-saat terakhir.

"Kemurungan akan berlaku pada mereka yang tidak boleh mengatasi rasa kesedihan atau kehilangan kerana semuanya berlaku dengan pantas,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun begitu tegasnya, kadar kemurungan dan gangguan emosi kanak-kanak mampu dibendung pada masa hadapan jika mereka diberi perhatian dan pengendalian yang sempurna daripada awal.

"Kita tidak tahu apa akan berlaku pada jangka panjang namun kemurungan boleh terjadi dan perlu ditangani segera kerana kesan psikologi kepada kanak-kanak ini amat mendalam dan akan memberi impak di kemudian hari. Jika kanak-kanak itu mempunyai adik-adik kecil, tanggungjawab juga akan menjadi satu bebanan buat mereka.

"Jika diberi kaunseling yang rapi dan ada kaum keluarga yang boleh menjaga dan menjamin kehidupan kanak-kanak ini, mereka boleh meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa masalah dan kadar kemurungan dapat ditangani,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, Kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat harus lebih proaktif dengan menyenaraikan rekod kesemua anak-anak yatim piatu akibat Covid-19 dengan memberi kaunseling daripada awal.

"Inilah masanya untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat memantau kanak-kanak ini supaya pengabaian tidak berlaku.

"Selain itu, kerajaan juga patut memberi pertolongan kewangan secara kerap dan bersasar supaya mereka dapat meneruskan persekolahan sehingga masuk universiti,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca