SHAH ALAM - Kanak-kanak yang kematian ibu bapa juga layak menerima Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 atau tuntutan wang ihsan RM5,000 secara one-off daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 juga tidak terkecuali daripada menjadi pemohon bantuan tersebut jika menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Bagi mereka yang tiada akaun, boleh menggunakan waris lain yang mempunyai akaun bagi tujuan pembayaran terus ke akaun melalui Electronic Fund Transfer (EFT).
"Syarat yang dikenakan masih sama seperti pemohon yang lain. Jumlah bantuan khas pengurusan kematian Covid-19 NADMA adalah RM5,000 tanpa mengira umur si mati.
"Bagi memudahkan urusan bantuan, penghantaran permohonan juga boleh menggunakan aplikasi WhatsApp selain pos dan e-mel,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, walaupun tiada garis panduan mengenai takrifan waris, perkara paling penting adalah memastikan waris yang memohon harus mempunyai nombor akaun untuk memudahkan bayaran EFT.
"NADMA hanya nyatakan jika lebih dari satu waris memohon hanya permohonan pertama diterima sahaja yang kita akan proses. Yang penting waris ada nombor akaun untuk menerima bayaran melalui EFT.
"Soal umur anak waris, soal akaun anak waris dan nama bersama dengan penjaga adalah urusan sesama waris,” katanya.
Terdahulu, NADMA memberikan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 (kematian akibat Covid-19 atau kematian dengan Covid-19) hanya bagi kes kematian warganegara Malaysia sahaja dengan kadar maksimum sehingga RM5,000.
Bantuan secara one-off ini diberikan kepada waris, selepas NADMA menerima dan memproses permohonan dan mendapat pengesahan data kematian daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya.
NADMA juga mempertimbangkan pengecualian kepada pemohon Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 yang menghadapi kesukaran mendapatkan pengesahan hospital atau sijil kematian kerana faktor kesukaran pergerakan dan waktu operasi pejabat yang berkaitan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"NADMA akan menerima apa sahaja dokumen kematian seperti permit menguburkan, borang permohonan sijil kematian atau lain-lain dokumen perakuan kematian berkaitan kerana penentu kematian Covid-19 dalam bantuan ini adalah pengesahan data daripada KKM Putrajaya.
"Ini termasuk kesukaran mendapatkan pengesahan hospital di mana NADMA akan memberi pertimbangan secara automatik tanpa perlu sebarang permohonan, selagi mana data KKM Putrajaya ada rekod butiran kematian si mati tersebut,” katanya.
Jelasnya, sejak peningkatan kes kematian Covid-19, terdapat peningkatan permohonan dan jumlah permohonan diluluskan oleh NADMA turut meningkat.
"Secara purata sebelum ini NADMA menerima sebanyak 70 hingga 80 permohonan sehari. Namun, sejak peningkatan kes-kes kematian, permohonan secara purata meningkat sehingga 100 ke 150 permohonan sehari.
"Sehingga 28 Julai lalu, sebanyak 1,473 permohonan melibatkan bayaran sebanyak RM7.365 juta telah diluluskan.
"Daripada 300 permohonan yang masih dalam proses pada 19 Julai, sejumlah 212 permohonan telah lulus, manakala bakinya menanti padanan data CPRC KKM Putrajaya,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca