SHAH ALAM - Pembangkang boleh menentukan keabsahan kerajaan dengan mengemukakan akuan bersumpah (SD) jumlah ahli Parlimen yang menyokong mereka tanpa perlu menunggu sidang Parlimen untuk mengusul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pembangkang boleh menentukan keabsahan kerajaan dengan mengemukakan akuan bersumpah (SD) jumlah ahli Parlimen yang menyokong mereka tanpa perlu menunggu sidang Parlimen untuk mengusul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, dengan adanya majoriti yang dibuktikan secara jelas secara bertulis atau SD, mana-mana parti boleh memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, bersandarkan prinsip diamalkan ketika menghadapi krisis Dewan Undang Negeri (DUN) di Perak pada tahun 2009 adalah terpakai untuk Parlimen.Ujarnya, krisis kepimpinan Menteri Besar Perak pada ketika itu, Sultan Perak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya satu bentuk penentuan diadakan di mana semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipanggil ke istana bagi menyatakan sokongan.

"Kita tidak boleh bergantung kepada ucapan atau kata-kata daripada sesiapa (bahawa mereka ada sokongan majoriti). Pihak kerajaan pada dasarnya mempunyai kuasa majoriti selagi tidak dibuktikan.

"Itu saya rasa prinsip yang diamalkan. Maknanya kerajaan itu (masih) memerintah tapi kalau ada bukti bahawa mereka tidak mempunyai majoriti lagi dan Perdana Menteri telah hilang majoriti, maka perlu ada bukti secara objektif (SD).

"Seperti yang berlaku di Perak, perkara paling utama adalah ada pengakuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai bagaimana keabsahan kerajaan boleh ditentukan.

Nik Ahmad Kamal

Ia susulan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin yang mendakwa Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang kerana sudah hilang majoriti.

Nik Ahmad Kamal berkata, apabila mempunyai jumlah majoriti yang dibuktikan secara SD, mana-mana parti politik boleh mengemukakan perkara tersebut jika dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong nanti.

Jelasnya, SD itu untuk Yang di-Pertuan Agong memastikan wujud undi bahawa Muhyiddin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.

"Jadi kalau betul wujud kurang daripada majoriti, maka Muhyiddin boleh dianggap sudah hilang sokongan majoriti dan pada masa itulah beliau boleh letak jawatan atau pun menasihati Al-Sultan Abdullah untuk bubar Parlimen,” katanya.Nik Ahmad Kamal bagaimanapun berkata, adalah mustahil untuk Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat ini berikutan kes Covid-19 masih lagi tinggi.

"Jadi jika dalam keadaan tersebut, kalau Seri Paduka Baginda puas hati ada pemimpin pembangkang yang boleh jadi perdana menteri, mungkin pemimpin pembangkang itu akan dilantik,” katanya.

Mengulas mengenai keabsahan kerajaan ditentukan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen, beliau berkata, ia platform terbaik, namun mungkin sukar dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, semua pihak jelas bahawa tempoh persidangan ditangguhkan sehingga dua minggu itu membabitkan sidang khas Dewan Rakyat dan sidang normal berlangsung pada September depan."Usul undi tidak percaya kepada perdana menteri adalah usul ahli Parlimen secara persendirian yang akan diletak di bawah daripada urusan kerajaan.

"Mungkin tidak sempat dibawa dalam sidang khas. Jadi tidak perlu tunggu hingga sidang Parlimen (untuk tentukan keabsahan kerajaan),” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca