DAKWAAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan sudah tumbang bukanlah yang pertama kali dilakukan. Jika diimbas pada masa lalu, Anwar pernah mengumumkan untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008, namun... Klik di sini untuk terus membaca

DAKWAAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan sudah tumbang bukanlah yang pertama kali dilakukan.

Jika diimbas pada masa lalu, Anwar pernah mengumumkan untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008, namun perkara itu tidak berlaku.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemudian mengumumkan mempunyai majoriti kukuh iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Istilah digunakan pada ketika itu ialah strong, formidable and convicing atau dalam terjemahan bahasa Melayu kuat, menggerunkan dan meyakinkan.

Anwar mendakwa, sokongan ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah yang menyokongnya.

Bagaimanapun sejak September 2020 sehingga kini, kerajaan yang dibayangkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu belum menjadi kenyataan.

Pada Isnin, beliau sekali lagi mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang dan mendakwa beberapa ahli Parlimen PN telah menyatakan menarik sokongan kepada kerajaan.

Di hadapan ahli-ahli Parlimen pembangkang ketika berhimpun di Dataran Merdeka sebelum berarak ke Parlimen pada pagi Isnin, Anwar mendakwa, beliau memiliki sebanyak 107 sokongan.

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, dakwaan kerajaan tumbang adalah serius dan harus dibuktikan.

Katanya, rakyat keliru dan ambil sikap tidak mahu campur serta terperangkap dengan perang psikologi ahli politik.

"Permainan psikologi dan demonstrasi bukanlah perkara baru dalam politik negara. Tindakan demonstrasi bagi meningkatkan sokongan perlu dikaji oleh masyarakat berhubung objektif sebenar agar mereka lebih terbuka untuk memahami matlamat ahli politik tersebut.

"Kita tidak mahu demonstrasi terus digunakan sebagai kaedah utama menyuarakan pendapat politik negara kerana ia boleh memberikan gambaran yang demonstrasi adalah kaedah yang paling baik dalam menyelesaikan pertelingkahan politik,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata, jalan terbaik ialah mengadakan pilihan raya umum apabila keadaan semakin pulih daripada Covid-19.

"Semua ahli politik diminta mengutamakan kepentingan masyarakat dan kembalikan keyakinan rakyat sama ada daripada blok pembangkang mahupun kerajaan dengan turun padang dan melihat kesusahan rakyat,” ujar beliau.

Bagaimanapun buat masa ini, kerajaan PN masih berkuasa dan Anwar pula dilihat berusaha keras menjayakan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri.

Ia hanya akan berlaku jika beliau mampu membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Muhyiddin benar-benar sudah hilang sokongan.

Klik di sini untuk terus membaca