SHAH ALAM - Data Global Cybersecurity Index (GCI) 2020 dikeluarkan International Telecommunication Union (ITU) sebuah agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menumpukan kepada informasi dan teknologi komunikasi meletakkan Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Data Global Cybersecurity Index (GCI) 2020 dikeluarkan International Telecommunication Union (ITU) sebuah agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menumpukan kepada informasi dan teknologi komunikasi meletakkan Malaysia di tangga kelima dalam kedudukan terbaik dari aspek keselamatan siber.

Memperoleh 98.06 mata, Malaysia berkongsi kedudukan membanggakan itu bersama Rusia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kalangan 194 negara lain yang turut dinilai.

Tempat pertama milik Amerika Syarikat dengan 100 mata diikuti United Kingdom dan Arab Saudi di tempat kedua dengan 99.54 mata, Estonia di tangga ketiga dengan 99.48 mata sementara Singapura dan Sepanyol berkongsi tangga keempat dengan 98.52 mata.

Untuk rekod, sekumpulan pakar keselamatan siber daripada negara anggota ITU yang terdiri dalam kalangan perkhidmatan awam, swasta dan ahli akademik menilai pencapaian setiap negara berpandukan kepada lima tunjang utama.

Proses pemarkahan secara menyeluruh dilakukan terhadap mekanisme perundangan, kaedah teknikal siber, struktur organisasi siber, pembangunan keupayaan atau kapasiti dan tahap kerjasama siber sesebuah negara.

Apa yang menyebabkan negara kecil seperti Malaysia mampu berada dalam kelompok 10 terbaik keselamatan siber di dunia? Menurut Pensyarah Kanan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hoo Chiew Ping, antara faktor Malaysia mampu menduduki ranking yang baik adalah disebabkan kerangka perundangan dan infrastruktur siber yang dikira amat maju berbanding dengan kebanyakan negara lain.

"Kerajaan Malaysia mempunyai perkembangan yang stabil sejak pengenalan Multimedia Super Corridor pada 1990-an dan kini telah mempunyai Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan yang diterajui oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merupakan badan pembuat dasar dan pengendalian isu keselamatan tertinggi negara," jelas Chiew Ping kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya lagi, hal ini menunjukkan penyelenggaraan pada tahap tertinggi oleh pihak kerajaan dengan input daripada semua agensi dan kementerian yang berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan sebagainya.

Ditanya apa antara cabaran utama mendepani landskap keselamatan siber Malaysia pada ketika ini, Chiew Ping yang juga Felo Pusat Kajian Keselamatan Siber UKM berkata, ancaman terbesar adalah serangan siber daripada pihak luar.

"Antara cabaran terbesar datang dari Israel disebabkan sokongan Malaysia terhadap kumpulan yang memperjuangkan nasib Palestin di Malaysia.

"Selain daripada itu, rangkaian internet Malaysia selalu dijadikan sasaran serangan ransomware kumpulan jenayah siber yang menggodam dengan tujuan meraih hasil kewangan secara haram," katanya lagi.

Ujar beliau, akibat daripada cabaran-cabaran tersebut, agensi bertanggungjawab seperti NACSA dan kementerian lain mengambil berat mengenai isu pertahanan siber.

"Pihak terlibat sering menambah baik sistem rangkaian dan juga pertahanan siber negara sehingga diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia," katanya sambil menambah Malaysia pernah menduduki ranking ketiga dunia dalam senarai GCI 2014.

Turut disertakan dalam laporan GCI 2020 tersebut, ranking GCI untuk rantau Asia Pasifik di mana Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Republik Korea Selatan dan Singapura yang membolot tempat pertama.

Klik di sini untuk terus membaca