SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan sejumlah 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan tiga bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menandatangani surat akuan mengekalkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan sejumlah 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan tiga bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menandatangani surat akuan mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Jelas Ahli Parlimen Padang Besar itu, tandatangan keseluruhan ahli Parlimen BN berkenaan diperoleh melalui satu pertemuan sulit di Wisma Perwira pada malam Ahad.

Zahidi sebaliknya tidak mendedahkan mekanisme perolehan tandatangan tiga bekas ahli Parlimen PKR yang kini berstatus dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

Tambahnya, dua lagi ahli Parlimen BN iaitu Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah masih dalam proses rundingan.

"Saya sahkan 40 ahli Parlimen BN kekal menyokong utuh Tan Sri Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan mereka sudah menandatangani surat akuan menyokong kerajaan PN pada malam Ahad.

"Senarai surat akuan itu turut membabitkan tambahan tiga bekas ahli Parlimen PKR yang keluar parti baru-baru ini dan kini berstatus bebas menyokong kerajaan.

"Dengan jumlah sedia ada, bilangan ahli parlimen menyokong kerajaan bukan semakin berkurang, sebaliknya bertambah," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa kerajaan masih mendapat sokongan lebih 110 daripada 220 ahli Parlimen.

Naib Presiden UMNO itu turut mencetuskan kontroversi apabila mendakwa sejumlah 40 ahli Parlimen BN menyatakan sokongan agar Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri, di sebalik desakan UMNO supaya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletak jawatan serta-merta.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan mendakwa kerajaan PN sudah hilang majoriti.

Jelas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, sejumlah 107 ahli Parlimen blok pembangkang yang hadir pada perarakan ke bangunan Parlimen pada pagi Isnin didakwa sebulat suara mendesak Muhyiddin dan Jemaah Menteri meletak jawatan.

"Saya dapat maklumat dari parti-parti lain ada mengemukakan senarai yang minta keluar daripada PN.

"Maka dengan 107 yang ada di sini, campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan," kata Anwar lagi.

Klik di sini untuk terus membaca