SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) digesa mempraktikkan dahulu pendirian 'sokong UMNO tapi tak sokong Presiden' sebelum memuktamadkan keputusan 'sokong Perikatan Nasional (PN) tapi tak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) digesa mempraktikkan dahulu pendirian 'sokong UMNO tapi tak sokong Presiden' sebelum memuktamadkan keputusan 'sokong Perikatan Nasional (PN) tapi tak sokong Perdana Menteri (PM)'.

Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, cadangan itu dikemukakan susulan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka menggunakan mesyuarat khas MKT pada petang Selasa sebagai medan memuktamadkan keputusan 'sokong kerajaan PN tetapi tidak sokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin'.

Jelas beliau, ahli-ahli MKT dan 38 ahli Parlimen UMNO tidak bermasalah untuk bersetuju dengan perkara itu, tetapi Ahmad Zahid perlu bersedia untuk mempraktikkan dahulu pendirian 'sokong UMNO tapi tidak sokong Presiden' sekiranya beliau benar-benar jiwa besar.

"Cadangan Zahid pada petang ini (Selasa) meminta ahli-ahli MKT sokong PN tetapi tidak sokong Muhyiddin kita terima.

"Keputusan itu seumpama sokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) tetapi tidak sokong Presiden Bersatu, sokong Pas tidak tetapi sokong Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Jadi cadangan Zahid itu kita suruh praktik dalam UMNO dahulu, sokong UMNO tapi tak sokong Presiden parti.

"Kita akan cadang dalam mesyuarat MKT nanti dan kita hendak tengok Presiden setuju atau tidak. Kalau beliau setuju, baru kita boleh benar-benar ikut keputusan 'sokong PN tapi tidak sokong PM'," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi pertukaran jawatan Perdana Menteri antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Desas-desus itu timbul susulan berlakunya satu pertemuan tertutup dalam kalangan pucuk kepimpinan tertinggi kerajaan di kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara pada Isnin malam.

Pertemuan itu diadakan pada saat kerajaan PN ditekan hebat oleh pihak pembangkang apabila Muhyiddin dan barisan Jemaah Menteri diminta meletak jawatan serta-merta.

Hal ini susulan titah Yang di-Pertuan Agong yang mengzahirkan rasa amat dukacita terhadap kerajaan PN yang tidak menunggu perkenan Seri Paduka Baginda terlebih dahulu sebelum mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan mesyuarat MKT UMNO telah memutuskan parti itu akan terus bersama kerajaan PN, namun pada masa sama menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Sementara itu, Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia memberi jaminan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN tidak akan sesekali mengkhianati gabungan kerajaan PN.

Beliau turut menolak sebarang dakwaan UMNO sedang mengatur gerakan untuk menukar Perdana Menteri atau pun keluar daripada PN ketika ini.

"UMNO buat gerakan keluar PN atau tukar Perdana Menteri? Itu tidak betul.

"Kita tidak akan mengkhianat gabungan PN sebab UMNO sudah dapat jawatan Timbalan Perdana Menteri,"katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca