SHAH ALAM - Selepas sidang media yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu, persoalan yang timbul adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang. Ahmad Zahid pada sidang medianya menegaskan UMNO telah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas sidang media yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu, persoalan yang timbul adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang.

Ahmad Zahid pada sidang medianya menegaskan UMNO telah menyerahkan surat akuan ‘yang mencukupi’ bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ia sekali gus menunjukkan kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahannya sebagai ketua kerajaan.

Pakar perlembagaan, yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Dr Nizamuddin Alias berkata, secara teorinya berdasarkan penampilan 11 ahli Parlimen termasuk Ahmad Zahid, Muhyiddin sudah kehilangan majoriti.

"Berdasarkan sidang media itu, kalau macam itu kerajaan PN yang dikepalai Muhyiddin ini sudah hilang majoriti dan beliau perlu letak jawatan, kena mengadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam sidang media itu, selain Ahmad Zahid, 10 ahli Parlimen turut bersamanya iaitu Datuk Seri Najib Tun Rasak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang); Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

Ahmad Zahid juga mendedahkan beberapa ahli Parlimen UMNO yang turut menyatakan pendirian sama tidak dapat bersama kerana berada di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu Nizamuddin menegaskan, berdasarkan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan.

"Namun, mengikut Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen.

"Baginda mempunyai budi bicara tidak membubarkan Parlimen walaupun dinasihati Perdana Menteri. Kuasa perkenan atau tidak terhadap pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada Ahad, laporan eksklusif Sinar Harian mendedahkan seramai 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menandatangani surat akuan menyokong Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam satu pertemuan sulit di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan.

Sumber ahli Parlimen BN berkata, pertemuan sulit itu diadakan bermula jam 9 malam dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan PN (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jelas sumber itu lagi, surat akuan mempertahankan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa disediakan mereka memandang terdapat usaha pihak tertentu cuba menafikan sokongan 40 ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN sebelum ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga mengesahkan surat akuan berkenaan dalah sahih dan kini dalam simpanan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Klik di sini untuk terus membaca