SHAH ALAM - Nasib Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tanda tanya berikutan pengumuman terbaru Presiden UMNO. Dalam sidang media pada jam 6 petang tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Nasib Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tanda tanya berikutan pengumuman terbaru Presiden UMNO.

Dalam sidang media pada jam 6 petang tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi mendakwa beliau telah mempunyai bilangan surat akuan mencukupi ditandatangani ahli Parlimen UMNO untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, surat tersebut telah dipersembahkan kepada Yang diPertuan Agong sekali gus menunjukkan Muhyiddin telah hilang majoriti sebagai Ketua Kerajaan.

Difahamkan, 11 orang ahli Parlimen UMNO telah menandatangani surat akuan tersebut antaranya:

1. Datuk Seri Najib Abdul Razak (Pekan)

2. Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang)

3. Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit)

4. Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling)

5. Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang)

6. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk)

7. Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut)

8. Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang)

9. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang)

10. Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands)

11. Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian)

Persoalannya kini dengan penarikan sokongan 11 ahli Parlimen terbabit siapakah yang mempunyai majoriti kerusi Parlimen dan bagaimanakah penjajaran politik selepas ini?

Berdasarkan laman sesawang Parlimen sebelum ini, bilangan ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN ialah sebanyak 115.

Jumlah tersebut terdiri daripada Bersatu (31), UMNO (38), MIC (1), MCA (2), Parti Rakyat Sarawak (2), SUPP (1), Parti Demokratik Progresif (2), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (13), PBRS (1), PBS (1) dan Star (1).

Kerajaan PN turut mendapat sokongan empat ahli Parlimen Bebas iaitu Jugah anak Muyang (Lubuk Antu), Larry Soon (Julau), Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau).

Dalam pada itu, blok pembangkang diketuai Pakatan Harapan pula mempunyai 105 kerusi iaitu DAP (42), PKR (35), Amanah (11), Warisan (8), UPKO (1), PSB (2), Pejuang (4) dan dua ahli Parlimen Bebas iaitu Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar) serta Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Bagaimanapun dengan penarikan sokongan 11 ahli Parlimen UMNO setakat jam 6 petang tadi kedudukan terkini bilangan kerusi Parlimen ialah:

Perikatan Nasional: 104

Blok Pembangkang: 105

Kumpulan UMNO tarik sokongan: 11

Persoalannya kini ke manakah sokongan 11 ahli Parlimen UMNO tersebut?

Sekiranya mereka menyatakan sokongan kepada blok pembangkang, hampir pasti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempunyai majoriti dan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, jika 11 ahli Parlimen UMNO mengambil pendirian berkecuali, blok pembangkang turut mempunyai kelebihan satu kerusi.

Namun, banyak persoalan lain timbul di blok pembangkang termasuk adakah Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen Pejuang akan memberi sokongan kepada Anwar.

Selain itu, beberapa penganalisis politik turut tidak menolak tentang kemungkinan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) atau kerajaan minoriti yang masih mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional.

Untuk rekod Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen, bagaiamanapun dua kerusi iaitu Batu Sapi dan Gerik kosongan berikutan kematian penyandangnya.

Klik di sini untuk terus membaca