SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu membuat pertimbangan untuk memilih perdana menteri yang baharu sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang majoriti.
Pakar Perlembagaan daripada Universiti Malaysia Pahang, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berkata, pemilihan perdana menteri adalah atas budi bicara Seri Paduka Baginda.
"Yang di-Pertuan Agong akan menimbang majoriti terlebih dahulu, sama ada sah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang undi kepercayaan ataupun tidak.
"Apabila sudah sah atau hilang kepercayaan, barulah Tuanku akan membuat pertimbangan untuk memilih mana-mana calon. Jadi, untuk memilih calon, ia akan bertindak atas budi bicara Seri Paduka Baginda,” katanya kepada Sinar Harian.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa berkata, UMNO mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menyaksikan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kini terbatal.
Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, dengan penarikan sokongan tersebut, masih tidak dapat membuktikan bahawa kerajaan PN tidak mempunyai majoriti.
"Kita kena tengok lagi keadaan nanti bagaimana. Takut tengah malam ini atau esok tiba-tiba ada daripada DAP, PKR, atau mana mana parti sokong Muhyiddin,” ujarnya.
Jelasnya, pelantikan untuk menjadi perdana menteri tidak semestinya yang sah mempunyai majoriti.
"Untuk lantik pengganti, tidak semestinya seseorang mesti dapat undi kepercayaan. Baginda Tuanku boleh pilih siapa yang layak dan mungkin boleh. Tidak semestinya dapat majoriti sekarang, mungkin lepas dipilih baru dapat,” katanya.
Mengulas mengenai surat akuan yang telah dipersembahkan, Ahmad Fauzi berkata, ia terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Sementara itu, menurut seorang lagi pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, bagi pelantikan perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong berhak melantik seseorang yang dirasakan mempunyai kepercayaan, walaupun tanpa petunjuk yang jelas.
Jelasnya, keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad dan tidak boleh dipertikai melalui mahkamah.
Namun begitu, katanya, perdana menteri yang dilantik itu tetap tertakluk kepada ujian keyakinan di Dewan Rakyat apabila berlaku persidangan.
Klik di sini untuk terus membaca