SERINGKALI, bila dilanda sebarang musibah, rakyat Malaysia membuktikan yang kita mampu mengetepikan perbezaan demi kerjasama untuk mengatasi cabaran yang melintang di hadapan kita.
Semangat ini terserlah lebih-lebih lagi bila berlakunya bencana alam seperti banjir. Sikap yang sama juga dapat kita saksikan di kala krisis-krisis kewangan masa lalu, dan krisis kesihatan terdahulu seperti wabak SARS dan penularan Japanese Encephalitis.
Kini, negara kita sedang menghadapi dugaan kesihatan dan ekonomi yang amat besar. Banyak negara, termasuk Malaysia, yang tahun lalu telah berjaya mengekang penularan pandemik Covid-19, hari ini sedang menyaksikan kenaikan mendadak kes jangkitan wabak itu akibat munculnya varian agresif seperti Delta dan Lambda.
Berbanding virus asal, varian-varian ini adalah lebih berbahaya kerana lebih mudah tersebar. Maka, sementara ada antara kita yang ingin terus debat berjela mencari kesalahan pihak lain –hakikatnya, kita makin kesempitan ruang dan waktu disebabkan penularan agresif varian baru.
Melihat pada situasi genting ini, kita perlukan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan secepat mungkin. Ia merangkumi enam prinsip utama, termasuk membuka semula ekonomi; membuat keputusan berpandukan sains dan data; mengambil pendekatan ‘Seluruh Negara’ (whole-of-nation); mewujudkan pelan yang dinamik dan memiliki keanjalan untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.
PPN adalah usaha yang tulus dan serius, melibatkan pelbagai pendapat dan pakar demi manfaat semua. Kerajaan telah menjemput wakil-wakil daripada parti pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti perniagaan serta ahli ekonomi dan kebajikan sosial untuk bersama-sama menuju ke satu arah.
Intipati utama adalah kesejahteraan nyawa rakyat, sesuatu yang harus dilindungi dengan memastikan keupayaan sistem penjagaan kesihatan, terutamanya dari segi kapasiti untuk bertindak, dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kita.
Amatlah penting untuk kita bersatu padu dan bertumpu kepada dugaan dahsyat di hadapan mata kita. Kita umpama berada dalam sebuah pesawat udara dan tiba-tiba berlaku kebakaran dalam penerbangan.
Pada saat kritikal di mana semua anak kapal sepatutnya berikhtiar memadamkan api ini, sebaliknya mereka sibuk bergaduh untuk menukar juruterbang. Andainya kita adalah penumpang dalam pesawat tersebut, bagaimanakah perasaannya melihat keadaan ini? Begitu juga situasinya di negara sekarang, di mana keselamatan nyawa menjadi persoalan dan rakyat acap kali meruntun supaya kita semua bekerjasama dan sepakat membantu negara keluar dari wabak ini dengan selamat.
Kenapakah kita mensia-siakan peluang berharga untuk berkongsi pandangan, ilmu dan sumber secara berhemah melalui PPN? Sememangnya, PPN adalah harapan terbaik kita, satu penyelesaian yang merangkumi kepelbagaian suara, untuk membawa kita keluar dari krisis pandemik ini dengan teratur dan selamat.
Atas semangat kesepakatan inilah saya telah mengundang ahli-ahli politik parti pembangkang untuk menyertai mesyuarat penyelarasan PPN, baik wakil daripada Pakatan Harapan dan Warisan, termasuklah parti Pejuang.
Malangnya, parti Pejuang sudahpun menolak undangan tersebut secara rasmi. Bagi saya, sesuatu dasar perlu mengumpulkan pandangan dari seberapa banyak pihak yang boleh. Idea yang baik tetap idea yang baik, tanpa mengira dari mana puncanya. Inilah pendirian pihak MOF sejak tahun lalu lagi apabila kami mengatur Belanjawan 2021. Ketika itu, kami telah menilai pelbagai cadangan sekalipun dari parti pembangkang dalam merangka belanjawan negara.
Penolakan Pejuang tidak akan menghalang kami dari terus mendapatkan pandangan seberapa ramai pihak dalam melaksanakan PPN. Seperti yang telah saya katakan berulang kali, pelan ini harus bersifat dinamik kerana virus ini bermutasi dengan pantas, dan kita juga harus tangkas menyesuaikan pelan dengan situasi semasa.
Mengetepikan perbezaan masing-masing bukan bermakna kita semestinya bersetuju dengan semua dasar yang dikemukakan oleh kerajaan. Dalam kalangan ahli-ahli MPN juga antara mereka yang paling keras dan lantang mengkritik kerajaan.
Walau bagaimanapun, bila nyawa dalam ancaman dan sistem kesihatan awam sedang tergugat, kita mesti tahu bila untuk hentikan percanggahan dan bekerjasama untuk membawa negara ini keluar daripada cengkaman wabak ini.
PPN akan memayungi kita sehingga Disember 2021, dan sehingga Covid-19 dapat diuruskan sebagai satu penyakit yang endemik. Selepas Disember 2021, pemulihan negara akan disokong oleh Belanjawan 2022, bagi menangani usaha melonjakkan ekonomi secara jangka pendek, dan Rancangan Malaysia Ke-12, yang akan merangkumi strategi jangka sederhana untuk reformasi struktur ekonomi.
Kerjasama politik di tengah-tengah pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang baharu. Di Kanada, dasar-dasar berkenaan pemulihan ekonomi dan keselamatan kesihatan telah dibangunkan dengan persetujuan semua pihak.
New Zealand yang menjadi teladan dalam usaha memerangi Covid-19, telah menubuhkan sebuah jawatankuasa pelbagai pihak untuk menguruskan tindak balas pandemik negara itu. Baru-baru ini pula di Korea Selatan, kerajaan dan pembangkang bergandingan mencapai persetujuan mengenai peruntukan belanjawan tambahan.
Rakyat berhak menerima sesuatu yang lebih baik dari apa yang berlaku hari ini. Mengapa kita tidak boleh menunjukkan keazaman untuk bekerjasama bagi tujuan menyelamatkan nyawa rakyat? Sebenarnya, kita telah pun menyaksikan kerjasama semasa proses meluluskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 di Parlimen pada Ogos tahun lalu, yang saya pasti amat dihargai oleh rakyat kerana ia membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka.
Saya yakin kita mampu mengulanginya melalui PPN. Saya percaya semua pihak juga mempunyai keinginan yang kuat untuk melihat negara kita bebas dari cengkaman wabak global ini. Marilah rebut peluang untuk bekerjasama bagi memastikan agar Malaysia kembali ke landasan pertumbuhannya.
Saya mendoakan agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik, dan supaya kita semua aman daripada pertelingkahan yang tanpa batasan. Jangan biarkan perbezaan kita meruntuhkan semangat Malaysia untuk menyuburkan kembali negara yang kita sayangi.
Ayuh ketepikan perbezaan di antara kita! Kita mampu berganding bahu memenangi perang melawan Covid-19, dan biarlah kejayaan itu kelak diraikan sebagai sesuatu yang kita semua telah Menang Bersama!
*Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca