SELEPAS 125 tahun, sejak kali pertama diadakan di Athens, satu pencapaian membanggakan apabila Sukan Olimpik Tokyo 2020 dilaporkan mempunyai paling ramai penyertaan atlet wanita. Sejumlah 48.8 peratus daripada lebih 11,000 atlet yang... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS 125 tahun, sejak kali pertama diadakan di Athens, satu pencapaian membanggakan apabila Sukan Olimpik Tokyo 2020 dilaporkan mempunyai paling ramai penyertaan atlet wanita.

Sejumlah 48.8 peratus daripada lebih 11,000 atlet yang bertanding mewakili lebih 200 negara merupakan atlet wanita. China, Hong Kong, Australia, Britain, Kanada dan Amerika Syarikat antara pasukan yang mempunyai lebih ramai atlet wanita berbanding lelaki.

Selain jumlah penyertaan atlet wanita yang ramai, turut mencuri tumpuan pada Olimpik kali ini ‘insiden’ melibatkan pakaian sukan atlet wanita yang menyertai temasya bertaraf dunia itu.

Antaranya, skuad gimnastik Jerman yang mengenakan pakaian lebih sopan berbanding pakaian leotard yang biasa dipakai peserta dalam sukan terbabit.

Dilaporkan sebab utama mereka berbuat demikian adalah sebagai simbolik memerangi isu berkaitan gangguan seksual dalam sukan berkenaan.

Dalam satu insiden lain, pelari pecut negara, Azreen Nabila Alias yang berpakaian menutup aurat dan berhijab ketika beraksi dalam acara pecut 100 meter menerima kecaman kerana tampil berbeza daripada pelari lain.

Apa yang menyebabkan atlet wanita semakin memilih pakaian sukan yang lebih sesuai dengan keselesaan dan kemahuan mereka walaupun dianggap ‘berbeza’ untuk sesebuah kejohanan sukan dunia dan perlukah ia dijadikan isu?

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berpandangan, tindakan sebahagian atlet wanita memilih untuk mengenakan pakaian sukan yang lari daripada kelaziman namun selesa untuk diri adalah untuk mengelak daripada isu seksisme yang timbul dalam acara sukan.

Pasukan gimnastik Jerman memilih untuk mengenakan seragam sukan yang lebih sopan di Olimpik Tokyo sebagai mesej memerangi gangguan seksual.

"Pilihan terletak di tangan mereka dan sekiranya atlet wanita mahu tampil lebih selesa dengan tidak mendedahkan anggota tubuh maka ia wajar dan pemakaian atlet wanita itu tidak semestinya akan mempengaruhi prestasi mereka dalam acara yang disertai,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, kesedaran untuk tidak lagi menerima diskriminasi berbanding atlet lelaki turut menyumbang kepada senario atlet wanita lebih berani untuk tampil berpakaian mengikut pilihan peribadi dan keselesaan.

"Mereka mahu hak atlet wanita dihormati dan adalah tidak adil layanan berbeza diberikan kepada atlet lelaki daripada segi pilihan pakaian,” katanya.

Tambah Mohd Sadek, sebarang isu yang timbul berikutan pemakaian atlet wanita dalam sebuah acara sukan seharusnya dilihat daripada sudut positif.

"Apabila isu pemakaian atlet wanita diperkatakan, ramai tampil menyatakan sokongan sekali gus boleh menimbulkan perdebatan dan mungkin juga boleh membawa kepada perubahan yang positif daripada segi peraturan dan sebagainya,” ujar Mohd Sadek.

Lihat contoh apabila skuad bola baling pantai wanita Norway didenda oleh Persekutuan Bola Baling Eropah (EHF) kerana memilih untuk memakai seluar pendek berbanding seluar bikini ketika Kejohanan Bola Baling Pantai Eropah baru-baru ini.

Isu tersebut menyebabkan ramai yang tampil menyatakan sokongan kepada pasukan terbabit malah penyanyi pop terkenal Amerika Syarikat, Pink turut menawarkan untuk membayar denda itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Profesor Datuk Dr Shamala Subramaniam beranggapan, tindakan pasukan gimnastik Jerman mengenakan seragam lebih sopan merupakan satu bentuk kenyataan tegas.

"Pemilihan pakaian yang dibuat pasukan gimnastik Jerman itu adalah contoh tepat bahawa setiap atlet berhak mempunyai membuat pilihan untuk diri sendiri. Dan sudah semestinya keputusan mereka itu tidak menjejaskan prestasi persembahan,” kata Shamala.

Katanya lagi, acara sukan seperti Olimpik Tokyo ini umpama membuka ruang untuk atlet generasi baru membuat inovasi daripada segi kepelbagaian pilihan pakaian sukan atau ‘fesyen sukan’ mengikut kesesuaian mereka.

Tegasnya, apa yang wajar dinilai dalam sebarang kejohanan sukan adalah bakat dan kebolehan seseorang atlet itu bukannya pemilihan pakaian.

Daripada satu sudut, jumlah atlet wanita yang ramai dalam sesebuah acara sukan bukan bererti tiada langsung berlaku diskriminasi terhadap atlet wanita namun ia menunjukkan ada perubahan positif yang berlaku.

Ambil contoh Sukan Olimpik tahun 1900 di Paris, Perancis. Pada ketika itu, hanya terdapat seramai 22 atlet wanita mewakili atau dua peratus daripada jumlah keseluruhan 997 atlet bertanding.

Mereka hanya diundang untuk menyertai lima acara iaitu tenis, sukan layar, kroket, golf dan menunggang kuda sementara 975 atlet lelaki dibenar menyertai kesemua 20 acara sukan dipertandingkan.

Klik di sini untuk terus membaca