SEKARANG ini berita kematian sudah menjadi berita harian. Jika sebelum ini, berita kematian melibatkan mereka yang tidak kita kenali seperti ‘seorang warga emas,’ ‘seorang remaja’ ataupun ‘seorang wanita,’ kini mereka yang meninggal dunia adalah abang, ayah, kakak kepada kawan-kawan kita.
Dan, sudah ramai juga mereka yang meninggal dunia adalah rakan-rakan sepejabat, teman sekariah mahupun dalam kalangan anggota keluarga kita sendiri.
Media sosial seperti Facebook, kini menjadi media kita mendapat berita tentang kematian. Begitu juga kumpulan sembang seperti WhatsApp dan Telegram yang setiap hari menjadi saluran kita mendapat berita pemergian.
Kerana itu, ada antara kawan-kawan yang salin dan tampal (copy and paste), ucapan takziah bertulisan jawi yang pelbagai jenis dan warna. Ini lebih mudah dan menjimatkan masa daripada menaip ‘Innalillah...’ atau ‘Allahumagfirlahu...’ secara berulang.
Kematian sudah menjadi biasa, seolah-olah sudah tiada apa-apa makna bagi kita. Belum sempat kita dibalut kenangan tentang seorang kawan baik yang telah pergi, datang sebuah lagi berita kematian seorang insan lain.
Perasaan sedih kehilangan itu telah dipancung hingga kita hilang simpati.
Tambahan pula, perasaan kita kini sudah digaul dan bercampur baur. Sedang kita berfikir menyusun ayat belasungkawa buat seorang teman yang pergi, muncul sebuah video lawak yang membuat kita tertawa tak ingat dunia.
Sedang kita bertepuk sorak melihat aksi jaguh sukan kita dengan riang gembira di video telefon, tiba sebuah berita kematian.
Kerana kematian itu sesuatu yang sudah menjadi biasa, berita pemergian itu tidak lagi membuatkan kita tersentap. Malah, tanpa sedar, kita mengutamakan video aksi sukan itu. ‘Ah sebentar lagi, aku akan bereskan dengan menampal mesej Innalillah...’ detik hati kita.
Masya-ALLAH, Subhanallah. Inilah wajah kita pada hari ini. Kita sudah membiasakan mati. Hati kita sudah keras daripada rasa empati.
Seolah-olah kita adalah frontliner yang hanya mengangguk dan mengusung mayat bila doktor mengesahkan seseorang pesakit telah meninggal dunia.
Seolah-olah kita sudah menjadi penggali kubur yang gali dan tanam, gali dan tanam. Wajarlah mereka yang bertugas sebagai frontliner bertindak begitu kerana mereka tak sempat hendak menyedekahkan rasa sedih akibat terlalu banyak kematian.
Bila kita sudah membiasakan mati, seharusnya kita perlu mematikan kebiasaan. Sebab kematian tidak lagi tiba kepada mereka yang tidak kita kenali. Kematian sudah begitu menghampiri, seolah-olah Izrail sedang melangkah ke depan pintu! Kebiasaan apakah yang perlu kita matikan? Kebiasaan buat mereka yang berasakan bahawa kematian masih lambat lagi.
Kita perlu matikan kebiasaan seolah-olah kita akan hidup 1,000 tahun lagi. Tidak boleh lagi asyik dengan matlamat dunia semata-mata. Harta dan pangkat di dunia akan kita tinggalkan sebentar lagi.
Seharusnya kita sudah bersedia dengan wasiat, membahagikan harta dan menukarkan ia segera daripada mata wang dunia kepada mata wang akhirat.
Kita perlu bersedekah tanpa henti, bukan bermusim untuk menyambut seruan kempen, program dan acara di bawah sorotan lampu.
Seharusnya kita semakin sibuk menyegerakan penyempurnaan solat lima waktu, menambah ibadah sunat, bangun malam dan turut mengajak orang lain untuk mematikan yang biasa kita lakukan.
Dalam keadaan sekarang, kita tidak dapat melepak, berjalan-jalan dan enjoy ke sana ke mari. Inilah peluang kita fokus kepada yang penting untuk perjalanan ke alam sebelah sana.
ALLAH SWT telah mematikan kebiasaan kita daripada kamus kehidupan. Tibalah masa untuk kita membiasakan kematian pula dengan bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca