SHAH ALAM - Ordinan-ordinan Darurat belum lagi terbatal buat masa ini walaupun kerajaan telah mengumumkan proklamasi darurat tamat 1 Ogos lalu. Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ordinan-ordinan Darurat belum lagi terbatal buat masa ini walaupun kerajaan telah mengumumkan proklamasi darurat tamat 1 Ogos lalu.

Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, apabila sesuatu ordinan belum lagi ditarik balik atau dibatalkan ia akan berkuat kuasa sehingga enam bulan selepas darurat ditamatkan.

Malah katanya, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan bahawa suatu usul untuk membahas dan seterusnya merungkaikan ordinan-ordinan darurat perlu dibawa ke sidang Parlimen yang dijadualkan September ini juga jelas memperlihatkan ordinan itu belum lagi ditarik atau dimansuhkan.

"Kalaulah ordinan itu tamat bersama-sama tamatnya proklamasi darurat, apa faedahnya ia dibincangkan di Parlimen. Jadi sebab itulah ia masih boleh dibahaskan di Parlimen kerana ia belum lagi ditamatkan atau dibatalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin pada Selasa bahawa sebarang usul untuk membahas dan mengungkaikan Ordinan- Darurat boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung September depan.

Mengulas lanjut, Khairil Azmin berkata, keputusan sama ada ordinan tersebut ditamatkan atau sebaliknya hanya akan diketahui apabila ia telah diusul dan diundi di Dewan Rakyat.

"Katakanlah sudah bincang dan Parlimen bersetuju untuk membatalkan atau menamatkan ordinan tersebut, maka ordinan itu akan diangkat ke Dewan Negara, kemudian kepada Al-Sultan Abdullah untuk tandatangan perkenan,” katanya.

Tegasnya, pembatalan sesuatu ordinan seharusnya melalui proses yang sewajarnya iaitu perlu dibawa ke sidang Parlimen untuk dibahaskan.

Ini kerana katanya, perkara tersebut perlu ada ketelusan memandangkan ia membabitkan kepentingan awam.

"Sebab itulah, ramai yang menuntut supaya diadakan perbahasan kerana mereka mahukan ketelusan sebab undang-undang atau ordinan itu melibatkan orang ramai termasuklah jumlah denda jika melanggar SOP.

"Jadi, apabila ia melibatkan kepentingan awam, mesti ramai yang ingin tahu apa perincian atau isunya,” kata Khairil Azmin.

Klik di sini untuk terus membaca