‘KALAU awak hendak makan durian marilah ke kampung saya. Di kampung saya banyak pokok durian. Dalam surat yang lepas awak kata tidak pernah tengok pokok durian. Kalau awak hendak tahu pokok durian rendah-rendah sahaja. Rupanya macam pokok kelapa sawit.’ Sampai mati pun saya tidak akan lupa ayat-ayat itu. Ayat yang saya petik daripada surat seorang sahabat pena yang nama dan alamatnya saya peroleh daripada sebuah majalah kanak-kanak. Waktu itu umur saya sekitar 11 tahun.
Walaupun di kampung saya tidak ada banyak pokok durian, tetapi saya tidaklah terlalu naif untuk percaya pada apa yang ditulis oleh sahabat pena saya itu. Cuma saya tidak faham kenapa dia membohongi saya? Adakah sekadar bergurau? Atau dia memang jenis yang suka mencari sahabat pena untuk diajak merapu? Sampai sekarang saya tidak mendapat jawapannya kerana selepas itu dia tidak lagi membalas surat-surat saya.
Waktu itu saya sebenarnya tidak pernah peduli bagaimana rupa paras pokok durian. Jika macam pokok nanas atau pokok peria sekalipun tidak menjadi masalah. Yang saya tahu, secara semula jadinya saya memang suka makan durian. Jika arwah bapa bawa balik durian, sayalah antara yang pertama duduk menghadapnya.
Tetapi durian pada zaman kanak-kanak saya dahulu berbeza daripada durian sekarang. Dulu-dulu cuma ada durian kampung.
Kalau ada durian kahwin pun tidak banyak. Masih di peringkat cuba-cuba. Pada masa itu juga durian sekadar berstatus tanaman sampingan bukannya diusahakan secara komersial.
Di tempat-tempat yang sesuai tanahnya, pokok-pokok durian ditanam di sekeliling rumah. Yang ada tanah lebih, dibuat dusun. Itu pun jarang melebihi dua atau tiga ekar. Dan dusun-dusun itu pula kebanyakannya hanya dijaga pada musim durian.
Durian dulu-dulu berbuah mengikut musim. Kadar pengeluaran pula bergantung pada cuaca dan nasib. Berlebih hujan tak boleh, berkurang pun tak boleh. Kadangkala cuaca okey, tetapi nasib tidak okey, maka 20 pohon durian mungkin hasilnya sekadar 20 biji sahaja.
Pada masa dahulu, durian tidak dijual dengan cara timbang macam sekarang, tetapi secara sebiji, sebiji. Harga ditentukan mengikut jenis dan saiz. Purata harga durian pada masa itu ialah sekitar RM1.50 hingga RM2 sebiji. Baka paling baik sekalipun jarang melebihi RM5 sebiji.
Jika anda pandai tawar-menawar, apatah lagi kalau muka sedikit cantik dan senyum sedikit manis, anda mungkin mendapat harga yang lebih murah. Anda yang saya maksudkan di sini ialah perempuan. Kalau lelaki, saya tak jamin.
Jika berlaku lambakan durian tidak lagi dijual dengan cara sebiji, sebiji sebaliknya diganti dengan kaedah sebakul, sebakul. Beli tiga bakul belum tentu habis RM100.
Dulu nama durian tidak merujuk pada spesies atau klonnya, tetapi pada bentuk isinya. Kalau isi besar dan penuh dipanggil ‘kucing tidur’, kalau yang ulasnya kecil-kecil dinamakan pula ‘tahi tikus’. Selain itu ada juga ‘durian tembaga’, ‘durian tahi gajah’ dan bermacam-macam lagi.
Durian kampung juga sering dikenali dengan nama tempat asalnya. Contohnya ‘durian Balik Pulau’, ‘durian Batu Kurau’, ‘durian Tapah’, ‘durian Kampung Gajah’, ‘durian Raub’,’durian Kedah’ dan sebagainya.
Penjual pula sering menjadikan nama tempat asal durian ini sebagai strategi pemasaran. Tujuannya untuk memberi nilai tambah pada durian berkenaan.
Kalau durian yang dijual di Ipoh itu dikatakan ‘durian Kampar’ atau ‘durian Kuala Kangsar’, susahlah hendak letak harga mahal-mahal.
Lain halnya kalau dikatakan durian itu ‘durian Raub’ atau ‘durian Kedah’, jual mahal sedikit pun orang tidak kisah. Maklumlah dibawa dari jauh. Padahal realitinya ia mungkin dikutip dan diborong dari Chemor.
Begitu jugalah bagi yang menjual di Kedah. Duriannya mungkin berasal dari Sik dan Nami, tetapi akan dikempenkan sebagai ‘durian Raub’ atau ‘durian Kampung Gajah’.
Pembeli pula selalunya percaya apa sahaja cakap penjual. Yalah, pada dasarnya semua durian kelihatan lebih kurang sama sahaja. Lainlah kalau durian Batu Kurau bentuknya empat segi, durian Raub berbentuk tiga segi, durian Kampung Gajah berwarna biru dan seumpamanya.
Dikatakan terdapat kira-kira 200 klon durian yang setiap satunya ada kelebihan dan kekurangan sendiri.
Antaranya D-99 durian kop kecil, D-124, durian chanee, D-158 durian kan yao, D-168 durian Hajah Hasmah, D-169 durian Tok Litok, D-175 durian udang merah, D-145 durian Beserah, D-200 durian duri hitam, D-159 durian mon thong dan D-197 durian musang king.Dalam banyak-banyak klon durian itu, yang paling sering meniti di bibir orang ialah musang king. Ia terkenal bukan sahaja kerana isinya yang padu dan sedap, tetapi juga kerana harganya mahal.
Menurut sumber Mardi, harga purata durian musang king tahun ini adalah sekitar RM61.65. Hampir hendak sama dengan harga 10 kilogram ayam.
Tetapi jangan terkejut, ada lagi durian yang lebih mahal daripada musang king iaitu durian duri hitam.
Durian jenis ini harga puratanya mencecah RM86 sekilogram. Jika sebiji beratnya dua kilogram, beli tiga biji sudah tentu kena bayar RM500 lebih.
Kalaulah saya terpaksa bayar sebanyak itu untuk tiga biji durian, dengan duri-durinya sekali saya akan makan! Rasa durian secara umumnya tidak berubah dari dahulu hingga sekarang, Ia beragam-ragam; manis berkrim, manis pahit, kurang manis lebih pahit, rasa bergas, isi tebal, isi nipis.
Kalau hendak rasa masam, kena cari durian buruk; jika hendak yang tawar pula kena cari durian muda atau durian mengkal.
Durian dimakan dengan seribu satu cara. Selain untuk dimakan, isinya juga boleh dibuat jem, lempuk, tempoyak dan pes. Durian juga adalah perisa popular untuk ais krim, bubur, kek dan pelbagai lagi manakala bijinya boleh dibuat kerepek atau direbus dan dimakan begitu sahaja.
Nilai pasaran yang tinggi menyebabkan usaha meningkatkan kualiti durian tidak pernah terhenti.
Hasilnya muncul bermacam kultivar baharu. Di Thailand misalnya telah ada durian yang tidak berbau, yang sasaran pasarannya tentulah kepada golongan yang selama ini menganggap bau durian tengik dan kurang enak.
Bagaimanapun ada perkara yang kurang menarik tentang ‘raja buah’ ini. Ia dikatakan boleh menyebabkan panas badan jika kita makan terlalu banyak.
Puncanya mungkin disebabkan kandungan gulanya yang tinggi dan bahan-bahan lain yang terdapat dalam isinya.
Tetapi itu tidak menjadi masalah. Orang tua-tua telah meninggalkan petua, untuk mengelak daripada panas badan selepas makan durian, minumlah air dalam pangsanya.
Jika tidak tahu apakah pangsa durian, bertanyalah pada enjin carian Google, Yahoo, Bing Bin, Baidu dan lain-lain. Itulah kegunaan internet.
Ia boleh dimanfaatkan untuk mengetahui bermacam-macam perkara, bukannya semata-mata tentang hal ehwal artis atau perkara-perkara yang boleh dijadikan modal membawang sahaja. #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia