IRAN dituduh terlibat dalam perbalahan antarabangsa apabila sebuah kapal yang diuruskan oleh seorang bilionair Israel telah diserang dipercayai dengan menggunakan sebuah dron pada Khamis lalu di luar perairan Oman di Laut Arab.
Dalam kejadian itu juga, seorang warga Britain dan seorang warga Romania terbunuh di atas kapal tangki tanpa muatan minyak, diuruskan oleh Zodiac Maritime yang berpangkalan di London.
Ketika kejadian, kapal tangki minyak tersebut sedang dalam pelayaran dari Dar es Salaam di Tanzania ke Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Serangan itu dianggap melibatkan pembunuhan yang pertama pernah berlaku melibatkan kapal-kapal perdagangan kontena milik Israel di rantau Laut Arab berhubung dengan isu nuklear yang dihadapi Iran.
Menurut laporan BBC, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) percaya bahawa Iran merupakan dalang dalam serangan tersebut yang menyebabkan dua orang maut selain berikrar akan bertindak balas terhadap kejadian berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, UK percaya bahawa Iran dipercayai telah menggunakan lebih daripada satu dron ke atas kapal tangki itu, MV Mercer Street.
Ia juga menggambarkan bahawa serangan itu sengaja dilakukan dan merupakan satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menyatakan Washington turut yakin bahawa Iran melakukan serangan tersebut dan satu tindakan tegas akan dilakukan.
Pada Isnin lalu, Iran memberi amaran kepada UK, AS dan Israel bahawa sebarang tindakan yang menjurus kepada tindak balas terhadap serangan ke atas kapal berkenaan akan berdepan dengan satu akibat yang tegas.
Tehran tidak mengulas lanjut tentang akibat yang tegas itu.
Bagaimanapun, setakat ini, tidak ada bukti jelas yang menunjukkan Iran terlibat dalam serangan ke atas kapal tangki minyak tersebut cuma yang ada setakat ini ialah tuduhan yang dilemparkan ke atas negara berkenaan.
Sehingga kini tiada ada mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut tetapi penganalisis industri maritim, Dryad Global menyatakan kejadian terbaharu itu merupakan satu bayangan peperangan antara Iran dengan Israel.
Terdapat beberapa serangan berlaku ke atas kapal milik Israel dan Iran sejak tahun ini.
Pada 25 Februari lalu, kapal kontena MV Helious Ray milik Israel terkena letupan di bahagian depan ketika ia dalam pelayaran dari Dammam, Arab Saudi ke Singapura tetapi tidak melibatkan kecederaan atau kematian.
Iran menafikan dakwaan Israel bahawa ia melakukan serangan tersebut.
Pada 10 Mac lalu pula, sebuah kapal milik Pengawal Revolusi Islam Iran terkena satu bahan letupan ketika dalam pelayaran ke Eropah tetapi tiada mana-mana pihak bertanggungjawab melakukan kejadian tersebut.
Pada Mac lalu, akhbar The Wall Street Journal menyatakan Israel telah menyasarkan periuk api ke atas berbelas-belas kapal yang menuju ke Syria dan kebanyakannya membawa muatan minyak dari Iran sejak tahun 2019.
Pada 6 April lalu, kapal kontena milik Iran, Saviz terkena periuk api magnet letupan ketika dalam pelayaran di luar perairan Djibouti manakala akhbar New York Times melaporkan Israel telah menghubungi AS bahawa ia melancarkan serangan ke atas sebuah kapal milik Teheran.
Serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilakukan Iran ke atas kapal-kapal milik Israel.
Kapal kontena Hyperion Ray turut diserang dengan sejenis misil dan mengalami kerosakan kecil dekat Pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iran disyaki melakukan serangan tersebut pada 13 April lalu.
Justeru, setakat ini tiada bukti kukuh bahawa Iran melancarkan serangan terbaharu ke atas kapal yang diuruskan oleh Israel itu tetapi bayangan peperangan antara kedua-dua negara masih lagi belum berakhir. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca