Hari ini menampilkan dua perkara yang menjadi tumpuan iaitu kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri masih sah dan juga kes harian Covid-19 mencecah hampir 20,000, iaitu rekod tertinggi negara setakat ini. Sejak petang... Klik di sini untuk terus membaca

Hari ini menampilkan dua perkara yang menjadi tumpuan iaitu kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri masih sah dan juga kes harian Covid-19 mencecah hampir 20,000, iaitu rekod tertinggi negara setakat ini.

Sejak petang Selasa, politik negara kembali berkocak selepas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang majoriti dan keabsahan beliau selaku ketua kerajaan ini telah terbatal.

Pada sidang medianya itu, beliau menampilkan 10 ahli Parlimen UMNO yang mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menyaksikan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah terbatal.

Bagaimanapun pada Rabu, selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Muhyiddin menegaskan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk kekal memimpin negara buat masa ini.

Sehubungan itu katanya, peletakan jawatan beliau di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

Malah beliau turut menyatakan satu usul undi percaya kepada Perdana Menteri, akan dibentangkan di Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September ini.

Secara signifikannya, di sebalik krisis politik yang hangat, negara sekali lagi digemparkan dengan rekod jangkitan Covid-19 tertinggi pada Rabu dengan 19,819 kes baharu.

Selangor melaporkan peningkatan ketara daripada sekitar 5,000 sebelum ini kepada 8,377 kes.

Ia diikuti Kuala Lumpur (2,467), Kedah (1,371), Kelantan (1,003), Johor (1,162), Sabah (949), Pulau Pinang (867), Negeri Sembilan (800), Perak (662),Pahang (558), Melaka (508), Terengganu (481), Putrajaya (48), Perlis (11) dan Labuan (lima).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 1,183,110.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berdasarkan laporan sebuah portal berita meramalkan kes harian Covid-19 boleh mencecah sehingga 20,000 seminggu selepas Aidiladha sekiranya masih ramai berdegil mahu pulang ke kampung.

Hari ini sudah membuktikan bahawa kes harian sudah hampir mencecah 20,000 di sebalik pergelutan politik yang terus berlaku.

Tidak mustahil angka itu akan terus bertambah sekiranya tiada pendekatan yang serius diambil oleh kerajaan walaupun negara berdepan dengan Pelan Pemilihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Pemain politik perlu memandang bencana Covid-19 ini secara serius kerana setiap hari lebih seratus individu terkorban sedangkan pemimpin politik terus bertelagah, berebut tampuk pemerintahan negara.

Klik di sini untuk terus membaca