Debaran dan penantian rakyat Malaysia terhadap status atau keabsahan Perdana Menteri Malaysia yang kelapan akhirnya terjawab apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat perutusan khas tepat jam 12.30 tengah hari tadi. Berbeza dengan perutusan... Klik di sini untuk terus membaca

Debaran dan penantian rakyat Malaysia terhadap status atau keabsahan Perdana Menteri Malaysia yang kelapan akhirnya terjawab apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat perutusan khas tepat jam 12.30 tengah hari tadi.

Berbeza dengan perutusan biasa, kali ini Muhyiddin tampil dengan nada lebih tegas dan berani dalam usaha membuktikan kerajaan Pakatan Nasional (PN) masih ‘kukuh’ dan belum tumbang.

Apa yang menarik, selama lebih satu tahun empat bulan menjadi Ketua Kerajaan, Ahli Parlimen Pagoh itu lebih dikenali dengan sikap defensif dan banyak berdiam diri berbanding membincangkan mengenai isu politik di depan khalayak umum.

Bagaimanapun, selepas menerima tekanan paling genting oleh musuh-musuh politiknya sejak seminggu lalu, Muhyiddin sebentar tadi memperlihatkan 'taring tajam' beliau.

Muhyiddin nampaknya telah menamatkan mod defensif dan mula membalas serangan pihak lawan.Jika sebelum ini Muhyiddin dikatakan takut membuka Parlimen kerana mengelak usul tidak percaya ke atasnya, tengah hari tadi nampaknya dengan penuh yakin beliau memaklumkan sedia berdepan usul keabsahan kerajaan pimpinannya di Parlimen September ini.

Muhyiddin juga dengan penuh yakin mengakui, beliau belum tumbang kerana masih memiliki majoriti dan lebih penting, sembah maklumnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah.

"Saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli- Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini. Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

"Maka, saya telah menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen. Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September,” katanya.

Bagaimanapun, pendedahan paling mengejutkan oleh Muhyiddin sudah tentunya apabila beliau tanpa berselindung akhirnya membongkar kisah yang beliau didesak oleh pemimpin tertentu yang berdepan kes-kes jenayah di mahkamah agar dirinya mencampuri urusan mahkamah dan membebaskan mereka.

Senjata terbaru yang dilepaskan oleh Muhyiddin sangat mengejutkan kerana sebelum ini, isu campur tangan badan eksekutif dalam cabang kehakiman sangat jarang diperkatakan, malah dinafikan oleh ramai pemimpin politik.

"Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

"Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada raja dan negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” kata Muhyiddin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri tersebut.

Walaubagaimanapun, perutusan itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi daripada beberapa pihak bahawa persidangan pada bulan September itu tidak relevan untuk membuktikan kredibiliti Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan hanya alasan untuk ‘memakan masa’.

Menurut satu kenyataan dari Biro Politik MUDA hari ini, kerajaan PN telah pun gagal dan sekiranya benar Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, ia perlu dibuktikan di Parlimen segera dan tidak menunggu sehingga bulan September.

"Tidak ada alasan untuk melambatkan persidangan Parlimen sehingga September. Parti MUDA juga kekal berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional hari ini telah gagal dan perlu berundur. Kami percaya ia juga adalah pendirian yang dipegang oleh semua parti dalam blok pembangkang,” katanya.

Namun begitu, setakat petang ini selepas perutusan khas dan tegas Perdana Menteri, apatah lagi dengan restu Yang di-Pertuan Agong, suhu panas tsunami politik negara reda seketika.

Bagaimanapun, yang pasti ahli politik negara terutamanya ahli-ahli Parlimen pasti tidak dapat tidur lena menantikan apakah selepas ini? Catur politik pastinya tidak akan terhenti, apatah lagi tempoh 32 hari menjelang pembukaan persidangan Parlimen pada 6 September masih agak jauh.

Adakah dengan mod serangan terbaru yang dilancar Muhyiddin, beliau akan berjaya mempertahankan Putrajaya? Atau UMNO yang dilihat menjadi kingmaker hari ini bakal beralih arah membentuk jajaran baharu? Dan adakah Anwar akan mengakhiri penantian selama lebih 20 tahun untuk menjadi Perdana Menteri tercapai?

Klik di sini untuk terus membaca