PENTAS politik negara kembali panas apabila satu lagi usaha yang digerakkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa parti itu mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekali... Klik di sini untuk terus membaca

PENTAS politik negara kembali panas apabila satu lagi usaha yang digerakkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa parti itu mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekali gus menyaksikan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri terbatal.

Ahmad Zahid menampilkan 10 ahli Parlimen UMNO bersamanya sambil mendakwa Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti untuk terus mentadbir negara dan perlu segera berundur.

Namun pada Rabu, Muhyiddin yang digelar Abah mempertahankan diri menerusi satu perutusan khas pada Rabu sambil menjelaskan hanya lapan ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan.

Secara jelasnya Muhyiddin menyatakan, beliau masih mempunyai majoriti untuk terus memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain turut berkata pengundian usul percaya akan dilakukan pada sidang Dewan Rakyat bulan September depan bagi membuktikan keabsahan beliau selaku Perdana Menteri.

Bercakap soal menentukan keabsahan jawatan Perdana Menteri dan kerajaan, taktik paling popular digunakan sejak sekian lama oleh pemain politik adalah akuan bersumpah (SD).

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah SD itu satu mekanisme penentuan yang berisiko? Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar mengakui, penggunaan SD bagi menentukan keabsahan adalah berisiko berikutan kebergantungan kaedah tersebut semata-mata boleh menimbulkan masalah.

"Selain penggunaan SD berisiko untuk diseleweng, ia boleh menimbulkan masalah dan tidak dapat memberi jalan penyelesaian yang tuntas dalam menentukan keabsahan," ujar Khairil Azmin kepada Sinar Harian pada Rabu.

Khairil Azmin

Khairil Azmin menambah, sekiranya ahli Dewan Rakyat membuat SD baharu untuk menyatakan perubahan pendirian atau sokongan, maka ia bukan akuan palsu dan tidak menjadi kesalahan namun perlu diingat bahawa sesuatu akuan palsu boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 199 dan Seksyen 200.

Seksyen 199 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa sesiapa yang membuat kenyataan palsu dalam sesuatu akuan yang diterima di sisi undang-undang sebagai keterangan, "hendaklah dihukum sama seperti seolah-olah ia telah memberikan keterangan palsu".

Seksyen 200 Kanun Keseksaan pula menyatakan bahawa sesiapa yang menggunakannya sebagai benar sesuatu akuan yang diketahui sebagai palsu, "hendaklah dihukum sama seperti seolah-olah ia telah memberi keterangan palsu".

Hukuman berkaitan keterangan palsu seperti dinyatakan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan antaranya ialah sesiapa dengan sengaja memberi atau mereka keterangan palsu hendaklah dihukum penjara maksima tiga tahun dan denda.

Untuk rekod, SD boleh dibuat oleh sesiapa dan pada bila-bila masa yang difikirkan perlu dan ia tertakluk kepada Akta Akuan Berkanun 1960.

Dalam hal menentukan nasib Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tidak keterlaluan jika dikatakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri jelas menzahirkan bahawa ia sebaiknya diselesaikan di Parlimen mengikut lunas undang-undang yang sah.

Ini terbukti apabila baginda memperkenankan cadangan Muhyiddin agar diadakan usul undi percaya dibuat di Parlimen.

Khairil Azmin menambah, berbanding SD, pengundian usul percaya adalah langkah yang boleh diterima dalam menentukan keabsahan kerajaan sedia ada dan kepimpinan Perdana Menteri.

"Cara ini telus dan terbuka kerana sokongan setiap ahli Dewan Rakyat boleh diketahui umum serta dibuat secara rasmi di Parlimen.

"Rakyat boleh tahu pendirian setiap ahli Dewan Rakyat dalam menentukan sokongan kepada Perdana Menteri dan Kabinet sedia ada. Jika majoriti ahli Dewan Rakyat menyokong usul tersebut, maka tidak timbul isu peletakan jawatan Perdana Menteri dan pertukaran kerajaan," katanya lagi.

Jelas beliau, walaupun tiada dinyatakan dalam Perlembagaan berkenaan usul undi percaya atau tidak percaya secara khusus namun jika terdapat keraguan atau persoalan terhadap ahli Parlimen yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri, maka sewajarnya isu ini diselesaikan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dalam Parlimen.

Tambahnya, usul undi percaya atau tidak percaya sememangnya akan menjadi bukti sama ada sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri masih wujud ataupun tidak.

Namun perlu diingat katanya, berdasarkan kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini di mana berlaku pertukaran kerajaan tanpa perlu kepada persidangan untuk meluluskan usul undi percaya atau tidak percaya.

"Apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan secara sukarela ataupun Yang di-Pertuan Agong yakin bahawa majoriti ahli Dewan Rakyat beralih sokongan pada ahli Dewan Rakyat yang lain, maka pertukaran kerajaan berlaku tanpa melibatkan persidangan bagi membincangkan usul percaya atau tidak percaya," katanya lagi.

Ditanya apakah episod seterusnya sekiranya usul undi percaya September depan tidak menyebelahi Muhyiddin, Khairil Azmin berkata, apa yang bakal berlaku agak sulit untuk dijangka berikutan ia bergantung kepada perkembangan politik semasa.

Klik di sini untuk terus membaca