Dilatih oleh Amerika Syarikat (AS) dan dilengkapi dengan teknologi terkini, Pasukan Khas Afghanistan berada di barisan depan bagi menentang Taliban.Namun pengurangan sokongan AS telah menjadikan tugas mereka menjadi sukar di tanah air... Klik di sini untuk terus membaca
Dilatih oleh Amerika Syarikat (AS) dan dilengkapi dengan teknologi terkini, Pasukan Khas Afghanistan berada di barisan depan bagi menentang Taliban.

Namun pengurangan sokongan AS telah menjadikan tugas mereka menjadi sukar di tanah air sendiri.

Berikutan kehadiran anggota tentera AS di Afghanistan semakin berakhir, serangan Taliban telah meningkat di kawasan-kawasan luar bandar manakala bandar-bandar di negara tersebut masih dikuasai oleh tentera kerajaan.

Tugas dan kempen pasukan unit khas itu semakin besar antaranya berada di lokasi serangan Taliban.

Ketua Perintah Operasi Unit Khas itu, Mejar Jeneral Haibatullah Alizai mengakui bahawa kurangnya sokongan udara tentera AS telah menghalang operasi pasukannya di tanah air sendiri.

Bagaimanapun, seperti yang diperkatakan kepada AFP, beliau tidak mempunyai pilihan lain untuk melindungi negara dan terpaksa menempuh kesukaran ketika bertempur di beberapa medan pertempuran.

Pembunuhan seorang anggota elit pasukan khas itu pada Jun lalu menunjukkan kesukaran yang mereka tempuhi ketika ini.

Alat gogal waktu malam, raifal buatan AS dan lain-lain peralatan pertempuran moden, pasukan khas Afghanistan telah mengejutkan Taliban apabila mereka muncul buat kali pertama pada tahun 2008.

Para pelatih mereka yang terdiri daripada warga AS memuji pasukan khas itu dan menaruh harapan akan membantu kerajaan Afghanistan untuk menghapuskan Taliban sekali gus mempercepatkan pengunduran askar-askar Amerika.

Seorang penganalisis pasukan pemikir bukan pertubuhan kerajaan iaitu RAND Coporation, Todd Helmus mengulas bahawa operasi khas di Afghanistan diwujudkan mengikut acuannya tersendiri di negara berkenaan.

Seorang anggota Pasukan Khas Afghanistan diberikan latihan terperinci termasuk menembak bagi menghadapi pertempuran dengan pasukan Taliban. - Foto Reuters


Beliau berkata kepada AFP bahawa, anggota-anggota pasukan itu amat baik, terlatih dan mengetahui cara untuk menembak, bergerak serta berkomunikasi antara satu sama lain.

Helmus pernah menghabiskan masa dengan askar-askar darat di Afghanistan pada tahun 2013.

Berbanding dengan latihan untuk askar-askar negara itu yang kerap menumpukan kepada latihan kemahiran menembak, latihan untuk anggota-anggota pasukan khas adalah lebih terperinci.

Latihan kemahiran menembak selama 14 minggu, skuad taktik, serangan udara dan latihan tembakan sebenar perlu dilalui oleh anggota-anggota pasukan khas tersebut.

Kontraktor pertahanan AS juga memainkan peranan mengiklankan tawaran pekerjaan bagi menyertai Ktah Khas (KKA), menerusi syarikat gergasi Raytheon.

KKA merupakan salah sebuah pasukan khas yang terdiri daripada tentera, polis dan unit-unit perisikan.

Dalam tempoh sedekad sahaja, bilangan anggotanya semakin bertambah dengan dua sumber keselamatan memberitahu AFP, terdapat kira-kira 56,000 anggota pasukan khas di dalam tentera, polis dan perkhidmatan perisikan.

Seorang komander tentera AS yang pernah bertugas di Afghanistan pada tahun 2017, Jeneral John Nicholson telah menyatakan bahawa anggota-anggota pasukan khas tersebut adalah berani dan tidak pernah tewas dalam pertempuran.

Beliau membuat kenyataan itu pada tahun yang sama pasukan khas tersebut mendapat liputan ekoran kejayaan membunuh ketua Daesh di negara itu, Abdul Hasib.

Namun, Helmus dari RAND Corporation mengulas bahawa, pasukan khas itu sebelum ini terlalu bergantung kepada bantuan daripada askar-askar asing iaitu dari segi perisikan sehingga kepada logistik.

Helmus menjelaskan, sepatutnya pasukan itu menjalani latihan sendiri supaya mereka tidak bergantung kepada askar-askar asing.

Bagaimanapun dengan pengunduran pasukan AS hampir selesai di Afghanistan, pasukan khas itu menjadi benteng terakhir bagi menghalang kemaraan Taliban di negara sendiri. - Agensi Klik di sini untuk terus membaca