SHAH ALAM - Spekulasi kini bertiup kencang mengatakan satu gerakan politik oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang giat dijalankan bagi tujuan mengumpul sokongan ahli-ahli Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Spekulasi kini bertiup kencang mengatakan satu gerakan politik oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang giat dijalankan bagi tujuan mengumpul sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan pembangkang seakan-akan 'Langkah Sheraton'.

Gerakan politik dipanggil 'Langkah Seri Pacific' itu juga dipercayai bertujuan mendapatkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi mengekalkan kerajaan PN.

Sejak awal pagi Khamis, tular satu kiriman WhatsApp di media sosial mendakwa satu pertemuan di antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan sebilangan ahli Parlimen BN telah diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Pertemuan itu juga dikatakan turut disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Antara ahli Parlimen BN dan UMNO yang dipercayai hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Mutalib; Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dan Ahli Parlimen Kuala Lipis, Datuk Seri Hassan Ariffin.

Pertemuan sulit itu difahamkan turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan daripada Bersatu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

"Tujuan perbincangan adalah untuk (mereka) mengumpul MP (ahli Parlimen) UMNO dan pembangkang yang lain.

"Perjuangan masih belum selesai," kata sumber yang dipetik melalui kiriman WhatsApp tular berkenaan.

Sementara itu, dakwaan spekulasi gerakan politik 'Langkah Seri Pacific' itu seolah-olah diakui oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang diketahui menyokong Presiden UMNO.

Mohd Puad menerusi hantaran laman Facebook beliau mendakwa gerakan politik 'Langkah Seri Pacific' berlaku disebabkan segelintir ahli-ahli Parlimen UMNO yang terlibat bersikap 'depan cakap lain, belakang cakap lain'.

Beliau turut mempersoalkan sama ada individu-individu yang merencana gerakan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi 'Langkah Sheraton' tahun lalu turut terlibat membantu gerakan politik berkenaan.

"Sekarang ini ada pula 'Langkah Seri Pacific'. Targetnya UMNO. Siapa terlibat? Apakah ada 'scheme of things'? Siapa pemimpin UMNO yang kerap di situ? "Apakah objektif langkah Seri Pacific? Menjahanamkan UMNO? Apakah pakar 'Langkah Sheraton' diupah untuk jayakan langkah Seri Pacific? Nampaknya, musuh luar terlibat.

"Semua ini berlaku kerana depan cakap lain, belakang cakap lain. Mereka (ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong PN) tipu parti. Tipu ahli parti. Ini musibah bila dapat jawatan," kata Mohd Puad.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen dan akan menentukan keabsahan sokongan terhadap beliau melalui undi usul percaya di Dewan Rakyat pada bulan September ini.

Pengumuman Muhyiddin itu dibuat susulan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan sejumlah ahli Parlimen parti itu sudah menandatangani SD menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Jelas beliau, UMNO kini sudah mempunyai sokongan ahli Parlimen parti itu yang dianggap mencukupi untuk menyebabkan kerajaan PN kini hilang majoriti.

Terbaru, Ahmad Zahid turut mengutuskan warkah kepada Istana Negara memaklumkan tambahan bilangan SD ahli Parlimen parti itu menolak kerajaan PN.

Justeru, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mencabar Muhyiddin untuk mengadakan sidang Parlimen khas bagi menentukan keabsahan sokongan terhadap beliau dengan segera.

Klik di sini untuk terus membaca