SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mencadangkan agar harga kit ujian kendiri (self-test kit) Covid-19 dikawal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan satu harga siling ditetapkan.
Ahli Jawatankuasa PAC, Nurul Izzah Anwar berkata, penetapan harga siling bagi kit ujian kendiri (self-test kit) menggunakan kaedah air liur manusia itu juga wajar demi memastikan strategi FTTIS iaitu Finding (kenal pasti), Testing (ujian), Tracing (kesan), Isolation (kuarantin) dan Support (sokongan) dapat dilaksanakan selaras dengan agenda pemulihan negara.
Jelas beliau, ketika ini kerajaan menetapkan harga siling untuk ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) berharga RM150 dan Rapid Test Kit (RTK) Antigen (RTK-Ag) pada harga RM60 dengan ketetapan itu sudah diwartakan dalam Ordinan Darurat 11 Mei lalu.
"Pengawalan harga kit ujian kendiri (self-test kit) Covid-19 telah dicadangkan kepada KKM oleh anggota PAC semalam (Rabu).
"Seharusnya, harga siling bagi kit ujian kendiri (self-test kit) yang menggunakan kaedah air liur manusia juga diwartakan bersekali semasa Ordinan Darurat berkuatkuasa.
"Harga mampu milik ini wajar diperkenal demi memastikan FTTIS dapat dilaksana selaras dengan agenda memulihkan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada 3 Ogos lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengawal harga kit ujian Covid-19.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan maklum balas orang ramai ketika ini, harga kit ujian tersebut agak membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang memiliki ramai anak.
"Kita dapat maklumat harganya RM39.90 seunit, tidak ramai yang mampu membelinya pada harga tersebut.
"Jadi, kita sedang buat advokasi dengan pengilang, pengimport dan penjual untuk dapatkannya pada harga yang munasabah agar tidak merugikan peniaga dan tidak bebankan rakyat," kata Rosol dalam satu kenyataan media sebelum ini.
Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut mendedahkan ahli Jawatankuasa PAC bersetuju mencadangkan agar kit ujian kendiri itu diberi secara percuma kepada keluarga berpendapatan rendah (B40).
"Cadangan ini bagi meringankan beban mereka memandangkan harga semasa kit ujian yang tinggi," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca