SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempersoalkan tindakan pihak tertentu dalam UMNO memainkan dakwaan 'penderhakaan' kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjustifikasikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempersoalkan tindakan pihak tertentu dalam UMNO memainkan dakwaan 'penderhakaan' kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjustifikasikan keputusan parti menarik diri daripada kerajaan.

Ujar beliau, memandangkan barisan Jemaah Menteri kerajaan PN majoritinya dianggotai ahli-ahli Parlimen UMNO termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dakwaan kerajaan tidak menghormati institusi diraja juga secara tidak langsung ditujukan kepada pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan.

Jelasnya, agak menghairankan pada saat pemimpin-pemimpin UMNO dalam kerajaan PN seolah-olah dituduh menderhaka, keputusan penarikan diri UMNO sebaliknya mendapat sokongan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai rekod pernah mencabar institusi raja-raja Melayu.

"Tiada orang UMNO hendak derhaka raja. Ini semua mainan pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan PN dianggotai orang UMNO, secara tidak langsung mereka mengatakan pemimpin UMNO dalam kerajaan pun derhaka.

"Kalau macam itu, derhakakah Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan)? Derhakakah KJ (Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin) yang bertungkus-lumus memastikan proses vaksinasi berjalan lancar? Derhakakah Ismail Sabri?

"Mereka ini cuba untuk melakukan persepsi memburukkan kerajaan dengan tujuan sebenar mereka sudah menjadi rahsia terbuka, mahu menubuhkan satu kerajaan lebih hebat daripada kerajaan PN bersama pembangkang, kononnya untuk menyelesaikan krisis Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa semua ahli Parlimen UMNO yang mempunyai jawatan dalam kerajaan, untuk meletak jawatan sekali gus menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, tindakan disiplin termasuk pemecatan daripada parti bakal menanti mana-mana ahli Parlimen UMNO yang ingkar keputusan ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, termasuklah Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO.

Tegas Zahid, tindakan disiplin kemungkinan dikenakan terhadap Ismail Sabri disebabkan beliau berdiri bersama Muhyiddin sewaktu sidang pengumuman khas Perdana Menteri itu pada Rabu.

Terdahulu, UMNO mendesak Muhyiddin untuk menyegerakan pelaksanaan sidang khas Parlimen bagi membolehkan proses penentuan keabsahan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau dapat ditentukan secepat mungkin.

Mengulas lanjut mengenai penentuan status keabsahan Muhyiddin, Tajuddin yang juga ahli MKT UMNO berpendapat perkara itu terpulang kepada Muhyiddin untuk beliau menetapkan waktu mengesahkan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, pucuk kepimpinan UMNO juga tidak boleh menuduh ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan PN tidak mengikut keputusan parti.

Menurut Tajuddin, hal ini kerana ketetapan UMNO kekal menyokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, badan pembuat keputusan parti yang lebih besar daripada MKT.

"Sepatutnya UMNO kena tunggu sehingga PRU15, baru keluar daripada kerajaan PN. Jangan dituduh kita tidak ikut keputusan parti.

"Sebaliknya, orang yang desak keluar kerajaan PN yang tidak ikut keputusan PAU. Kena konsisten ikut keputusan PAU, jangan berubah-ubah.

"Sepatutnya kita semua kena tumpu usaha mengatasi krisis Covid-19 bersama kerajaan PN. Apa yang hendak direbut kuasa lagi, UMNO sudah dapat jawatan TPM. Masih tidak cukup lagikah?" katanya.

Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO itu turut menyifatkan dakwaan kerajaan PN gagal oleh segelintir pemimpin UMNO ibarat 'meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri'.

"Kabinet menteri kerajaan PN sebahagian besarnya adalah orang UMNO. Jadi bila orang UMNO sendiri dakwa kerajaan gagal, maka UMNO itu turut gagal.

"Jangan angkuh sangat kata mereka boleh tubuh kerajaan yang mampu menyelesaikan krisis Covid-19 serta-merta. Kerajaan lain yang lebih maju di dunia seperti Jepun pun berdepan masalah Covid-19 dan masih gagal cari penyelesaian sehingga sekarang,"katanya.

Klik di sini untuk terus membaca