SUKAN Olimpik 2020 Tokyo telah berjaya menobatkan kecemerlangan aspek kejuruteraan dalam kehidupan seharian. Temasya sukan terbesar itu menjadi medan kejayaan kepada Jepun. Dunia melihat bagaimana Jepun melestarikan bahan terbuang daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SUKAN Olimpik 2020 Tokyo telah berjaya menobatkan kecemerlangan aspek kejuruteraan dalam kehidupan seharian. Temasya sukan terbesar itu menjadi medan kejayaan kepada Jepun. Dunia melihat bagaimana Jepun melestarikan bahan terbuang daripada teknologi klasik seperti peralatan peranti dan kelengkapan elektrik menjadi medal pemenang.

Ia melibatkan bahan terbuang pelbagai jenama yang biasa kita lihat seperti Brother, Canon, Casio, Citizen, Fujifilm, Fujitsu, Hitachi, Kenwood, Konica Minolta, Kyocera, Mitsubishi Electric, Nintendo, Olympus, Panasonic, Ricoh, Seiko, TDK dan Yamaha.

Penulis juga melihat penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan temasya sukan berprestij itu. Sistem 3D athlete tracking, facial recognition, Video Reality (VR) dan penggunaan pelantar komunikasi 5G digunakan secara meluas sepanjang temasya.

Penulis turut menerima laporan kepakaran pasukan jurutera yang dilantik menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) secara meluas.

Sebagai contoh, penggunaan sistem teknologi VR dan 3D athlete tracking membolehkan atlet dikesan agar berada pada blok mula sebelum pertandingan. Paling menarik, wartawan dan media elektronik kini mampu membuat ujian percubaan penyiaran dengan kedudukan kamera paling sesuai dengan adanya sistem broadcasting over the cloud.

Menerusi aplikasi teknologi digital twinning of stadiums, penonton juga boleh melihat pemandangan keseluruhan temasya pertandingan pada setiap sudut menerusi simulasi digital.

Penulis juga melihat paparan maklumat dalam talian dan fizikal serta ulasan analisis pasca latihan, teknologi meningkatkan potensi atletik dengan merevolusikan latihan sukan dan pengesanan persembahan boleh menyempurnakan pergerakan atlet, selain meningkatkan komunikasi dan mengurangkan kecederaan atau kemalangan ketika latihan.

Olimpik kali ini membuktikan kewujudan teknologis dan jurutera berkemahiran serta pakar profesional berinovasi tinggi. Timbul persoalan betapa masih ada rakyat Malaysia meragui kepentingan program Technical and Vocational Educational and Training (TVET).Penulis juga ingin melontar persoalan bagaimana jurutera dan teknologis boleh berperanan membangun negara ketiga? Jurutera mampu memainkan peranan penting dalam memperbaiki kehidupan manusia dengan memperbaiki sanitasi, mengembangkan sumber air, sistem pengangkutan dan komunikasi. Jurutera juga berperanan meningkat kemampuan peralatan bantuan kesihatan dan pemulihan kerosakan.

Secara harfiahnya, peranan jurutera dan teknologis masa kini serta akan datang boleh menyelesaikan krisis perubahan iklim, kemudahan bekalan air bersih, penyediaan makanan, pendidikan, kemahiran mengikut kepakaran, penjagaan kesihatan dan alam sekitar.

Jurutera juga boleh membantu krisis pelarian, meningkatkan perhubungan maya, menyelamatkan siber daripada diceroboh menerusi penggunaan analisis data berselerak.

Paling ketara, kemunculan Revolusi Industri Ke-4 (IR4.0) telah mengangkat kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), data raya (BD), Internet of Things (IoT) dan blockchain (BC). Ia juga mengubah cara manusia berinteraksi dalam ruang lingkup fizikal, biologi dan digital. Bidang kejuruteraan kini mempengaruhi sistem industri, pengeluaran, pengurusan dan penyelesaian secara keseluruhan.

Inovasi kejuruteraan sedang berkembang pesat secara global dan tersangat penting bagi menyelesaikan cabaran semasa untuk membina masa depan, dan teknologis sedang menjadi tumpuan bagi penyelesaian kreatif termasuk dalam menangani Covid-19.

Sebenarnya kepentingan jurutera telah disebut dalam surah al-Alaq ayat [96:1-5] yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada seketul darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Keperluan mendesak akibat pandemik jelas terpapar dalam sistem pendidikan teknik untuk melatih jurutera berkemahiran menangani cabaran. National Science Foundation (NSF) dalam laporannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal bulan ini telah menegaskan kepentingan nisbah jurutera kepada bilangan penduduk.

Sekiranya Malaysia ingin menjadi negara maju, negara memerlukan lebih 300,000 jurutera profesional dan saintis kemahiran tinggi. Ketika ini, Malaysia hanya mempunyai lebih kurang 128,000 jurutera profesional berbanding jumlah penduduknya melebihi 32 juta orang berdasarkan laporan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

Justeru, Malaysia perlu segera mengiktiraf TVET bagi membolehkan sistem pendidikan dan kejuruteraan bangkit seiring, sekali gus menjadikan negara ini medan kebangkitan jurutera berkualiti tinggi.

* Profesor Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca