SHAH ALAM - Gerakan golongan antivaksin yang semakin agresif sehingga mempengaruhi keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan vaksinasi Covid-19 amat membimbangkan.
Presiden Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, ketika ini terdapat peningkatan kematian berpunca daripada mereka yang belum mengambil vaksin.
Ujar beliau, di Amerika Syarikat (AS) ramai pesakit yang meninggal dunia adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin.
"Program vaksinasi di AS sedang meningkat dan kebanyakan populasi mereka sudah mendapatkan vaksin.
"Namun begitu, mengikut data terkini, beberapa negeri di AS menunjukkan trend di mana pesakit yang dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia adalah mereka yang belum divaksin.
"Jadi apabila kita melihat data tersebut, jika golongan antivaksin (berjaya) menyuntik elemen keresahan atau keraguan tentang vaksin, perkara yang sama akan berlaku di Malaysia. Kematian juga akan meningkat akibat daripada sikap mereka yang enggan disuntik vaksin,” katanya kepada Sinar Harian.
Dr Ahmad Firdaus berkata, pelbagai kaedah telah dilaksanakan untuk mendidik dan memberi maklumat yang sahih mengenai vaksin, namun kumpulan berkenaan semakin rancak menyebarkan maklumat yang tidak benar.
"Kita risau akan ada banyak kelompok komuniti yang mempercayai apa yang dikatakan (oleh golongan antivaksin) seratus peratus.
"Jadi kesannya akan berlaku kematian yang tidak terkawal dalam komuniti tersebut,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Firdaus memberitahu terdapat individu tegar dalam golongan antivaksin.
Ujarnya, mereka bukan sahaja enggan menerima maklumat sahih berkenaan vaksin, malah menyebarkan informasi palsu kepada orang ramai.
"Itulah yang kita panggil sebagai antivaksin iaitu mereka menyebarkan maklumat yang tidak betul, contohnya seperti kes kematian kononnya disebabkan oleh vaksin Covid-19.
"Mereka bukan sahaja antivaksin kepada diri sendiri dan keluarga, malah menyebarkan dakyah-dakyah palsu.
Menurut Dr Ahmad Firdaus, ia adalah berbeza dengan kelompok vaccine-hesitant kerana meskipun mereka ragu-ragu namun mereka masih boleh menerima fakta yang benar
"Jadi kita harus bezakan bahawa bukan semua orang yang mempersoalkan tentang vaksin itu boleh dilabel sebagai antivaksin.
"Jika mereka mempersoalkan tetapi kita masih boleh berbincang serta tunjukkan data-data sahih, itu adalah kelompok vaccine-hesitant iaitu mereka ragu-ragu tetapi masih boleh terima fakta-fakta yang betul.
"Tetapi golongan antivaksin, berilah apa-apa fakta sekali pun, mereka akan nyatakan sebaliknya.
"Contohnya dulu, mereka katakan vaksin ini haram sebabnya mempunyai unsur khinzir di dalamnya,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca