IRAN secara rasminya mempunyai seorang Presiden baharu, Ebrahim Raisi yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Parlimen negara tersebut pada Khamis bagi menggantikan Hassan Rouhani. Tempoh dua penggal pemerintahan Rouhani yang juga seorang... Klik di sini untuk terus membaca

IRAN secara rasminya mempunyai seorang Presiden baharu, Ebrahim Raisi yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Parlimen negara tersebut pada Khamis bagi menggantikan Hassan Rouhani.

Tempoh dua penggal pemerintahan Rouhani yang juga seorang peguam, ahli akademik, bekas diplomat dan ulama Syiah sudah berakhir pada Khamis lalu selepas beliau memegang jawatan tersebut pada tahun 2013.

Bagaimanapun, Raisi berdepan dengan cabaran utama apabila beliau yang berumur 60 tahun dan pernah mengetuai badan kehakiman negara tersebut mula memegang jawatan sebagai Presiden Iran ke-8.

Beliau dikatakan akan berusaha memulihkan krisis ekonomi yang ketika ini berlaku di negaranya.

Terdapat harapan yang tinggi bahawa pelaburan asing akan dibawa masuk ke Iran selepas negara tersebut menjalin satu kerjasama nuklear dengan kuasa-kuasa dunia pada tahun 2015.

Dalam perjanjian tersebut, Iran berjanji tidak akan membina atau memiliki senjata nuklear iaitu satu sasaran yang kerap kali dinafikan Tehran.

Bagaimanapun, harapan itu pudar apabila bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik negaranya keluar dari perjanjian berkenaan pada tahun 2018 dan sebaliknya melancarkan sekatan ke atas Iran berhubung isu-isu nuklear.

Negara itu juga kehilangan berbilion-bilion dolar menerusi minyak manakala sistem kewangan antarabangsanya juga terjejas dan kini diburukkan pula oleh pandemik Covid-19.

Baru-baru ini, Raisi menyatakan bahawa kerajaan baharunya akan berusaha untuk keluar daripada sekatan yang merupakan satu penindasan yang dilakukan oleh sebuah kuasa besar.

Bagaimanapun, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran bahawa masalah untuk memperbaiki ekonomi negara tersebut memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan secara semalaman sahaja.

Seorang reformis ekonomi Iran, Saeed Laylaz pernah berkata bahawa tugas utama Presiden baharu tersebut ialah membina semula kehidupan rakyatnya terutamanya kepada golongan yang paling tidak bernasib baik.

Laylas yang sebelum ini pernah menjadi penasihat kepada beberapa Presiden negara berkenaan pernah berkata bahawa Raisi perlu memperbaiki masalah inflasi yang merupakan cabaran utamanya.

Dalam pada itu, Thierry Coville iaitu seorang felo di Institut Hubungan Strategik dan Antarabangsa di Paris, Perancis berkata, jika sekatan ke atas Iran ditarik balik, terdapat satu pergerakan pertumbuhan dan kejatuhan dari segi kadar inflasi.

Namun, Raisi perlu menguruskan pandangan awam, kata Coville yang memberi amaran kerana salah satu risikonya ialah orang ramai berpendapat semua perkara akan diperbaiki dengan segera tetapi akhirnya mereka akan berasa kecewa.

Jika satu tolak ansur tentang isu nuklear dicapai, ia kemungkinan akan membolehkan para pelabur Barat untuk kembali ke pasaran Iran dalam tempoh jangka pendek, kata Clement Therme iaitu seorang penyelidik di Institut Universiti Eropah di Itali.

Beliau tidak menyembunyikan hubungan normal diplomatik antara Tehran dengan Washington diperlukan untuk tujuan tersebut.

Namun, Pemimpin Agung Iran beranggapan bahawa permusuhan terhadap sebarang hubungan baik dengan AS selepas berdekad-dekad berlakunya permusuhan kerap dilabelkan sebagai kesombongan global atau 'syaitan besar' di Iran.

Sungguhpun begitu, Raisi pernah menyatakan bahawa beliau mahu mengutamakan hubungan dengan negara-negara yang hampir dengan Iran.

Ekoran ketegangan dengan Barat semakin berkurangan, proses diplomatik dengan Arab Saudi sepatutnya diteruskan, kata beberapa pakar.

Arab Saudi sebelum ini dianggap sebagai musuh Iran.

"Pemulihan hubungan dengan Riyadh akan menjadi kejayaan diplomatik untuk Tehran," kata Therme. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca