SHAH ALAM – Golongan antivaksin yang ekstrem dan semakin agresif menyebarkan fahaman negatif boleh didakwa di bawah Seksyen 3, Akta Hasutan 1948 kerana cenderung membawa kebencian terhadap kerajaan yang berusaha mencapai imuniti kelompok... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Golongan antivaksin yang ekstrem dan semakin agresif menyebarkan fahaman negatif boleh didakwa di bawah Seksyen 3, Akta Hasutan 1948 kerana cenderung membawa kebencian terhadap kerajaan yang berusaha mencapai imuniti kelompok Covid-19 di negara ini.

Pensyarah Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sekiranya kumpulan antivaksin menjalankan kempen yang menyebabkan kebencian terhadap kerajaan dengan cara menghasut, individu berkenaan boleh dituduh di bawah Akta Hasutan.

"Jika dia hendak mempengaruhi orang supaya jangan mengambil vaksin, dia akan menggunakan cara melalui perkataan dan kempen supaya rakyat tidak bersetuju dengan vaksin."Apabila rakyat tidak bersetuju dengan vaksin, seolah-olah rakyat telah bertindak bertentangan dengan apa yang kerajaan mahu lakukan (capai imuniti kelompok). Itu secara tidak langsung membawa kebencian rakyat kepada kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.Bagaimanapun, jelas beliau, ketika ini golongan antivaksin cenderung menggunakan platform media sosial dalam menyebarkan fahaman.

Justeru, katanya, tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 merupakan undang-undang yang paling asas untuk diguna pakai.

Katanya, denda di bawah akta tersebut juga lebih tinggi iaitu sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Selain itu, terdapat peruntukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menghina dan membuat provokasi menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam.

"Saya nampak seksyen ini lebih mudah jika terdapat kegiatan antivaksin yang ekstrem.

"Namun, pilihan pendakwa raya bergantung kepada fakta iaitu adakah cukup bukti untuk menuduh dan undang-undang yang akan mengenakan hukuman lebih berat jika kesalahan yang serius.

"Akan tetapi fakta itu perlu selaras dengan undang-undang yang ada,” jelas beliau.

Dr Nik Ahmad Kamal berkata, jika gerakan antivaksin itu benar-benar mengganggu usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok dalam perang pandemik Covid-19, wajar untuk Malaysia meneliti pelaksanaan akta khusus melawan golongan tersebut.

"Dalam keadaan sekarang, isu antivaksin bukan isu serius sehingga mengganggu gugat proses vaksin sebab yang menerima vaksin kini hampir capai 50 peratus populasi.

"Namun, kalau perkara itu menjadi sangat serius dan kerajaan perlu ambil tindakan, maka tiada pilihan lain perlu undang-undang sendiri,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca