Selepas pengumuman tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu, semua mata kemudian tertumpu kepada 'kem' menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen UMNO/Barisan... Klik di sini untuk terus membaca

Selepas pengumuman tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu, semua mata kemudian tertumpu kepada 'kem' menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apatah lagi ketika sidang media Zahid, pemimpin yang kelihatan berdiri di belakang Presiden juga bukan calang-calang.

Daripada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sehinggalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman.

Turut mengejutkan apabila Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menjadi Menteri UMNO pertama melepaskan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada hari yang sama.

Kumpulan ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional (PN) juga dikatakan sedikit 'goyang' dengan tindakan Shamsul Anuar apatah lagi, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan lebih banyak menteri dan timbalan menteri akan mengikut jejak itu.

Setakat Khamis, antara yang turut mengikut jejak Shamsul Anuar ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang meletakkan jawatan dalam Boustead Holding dan Datuk Mohd Razlan Rafii sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kedua-duanya merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagaimanapun mereka bukan ahli Parlimen yang boleh memainkan peranan dalam kiraan undi di Parlimen.

Selepas empat hari menanti, apakah kumpulan menyokong Muhyiddin akan kekal dalam kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bersama Zahid, jawapannya terungkai pagi Jumaat.

Dalam satu sidang media khas, Ismail Sabri yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO berkata, kesemua 31 Ahli Parlimen UMNO/BN tidak akan meletak jawatan atau menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan PN.

Katanya, mereka berpendirian untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbiran.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda telah berkenan agar keabsahan kerajaan PN ditentukan di Parlimen dengan satu usul percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat September ini.

"Jadi jelas bahawa, Seri Paduka Baginda mahu Parlimen diadakan dan penentuan untuk sama ada kerajaan hari ini boleh berfungsi selepas September.

"Ini jelas pihak Istana Negara tidak lagi menerima surat akaun SD atau pun surat-surat sokongan,” kata Ismail Sabri dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Sama seperti sidang media Presiden pada Selasa, Ismail Sabri juga mengumpulkan pemimpin-pemimpin kuat BN di belakangnya.

Antara pemimpin yang berdiri bersama Ismail Sabri dalam sidang media itu termasuklah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Sadique.

Tidak ketinggalan bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahdidan Kassim.

Nampaknya, dengan keputusan 31 menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional makin jelas hubungan dua kem dalam parti terbesar di Malaysia itu makin tegang.

Walaupun nampak tegas dalam sidang medianya baru-baru ini, bagaimanapun untuk kesekian kalinya, Zahid terus gagal sama ada untuk 'memujuk' atau 'menggertak' 31 pemimpin UMNO dan BN bagi bersama beliau.

Persoalannya, kini apakah langkah politik seterusnya di pihak Presiden? Adakah beliau mempunyai keberanian untuk mengambil tindakan disiplin atau memecat ke atas 31 pemimpin UMNO/BN? Atau perlukah Zahid mencongak jalan lain dalam memastikan beliau mendapat lebih banyak sokongan? Yang pasti, keengganan ahli Parlimen UMNO/BN untuk terus menuruti arahan Zahid adalah satu tamparan hebat kepada institusi Presiden parti itu.

Namun, persoalannya juga, sekiranya pada 6 September ini, kerajaan PN tumbang menerusi undi tidak percaya di Parlimen, apakah nasib 31 ahli Parlimen UMNO/BN yang melanggar Presiden?

INFO

31 Ahli Parlimen UMNO/BN yang didakwa tandatangan surat sokong Muhyiddin

1. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

2. Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap)

3. Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau)

4. Datuk Seri Idris Jusoh (Besut)

5. Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak)

6. Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin)

7. Tan Sri Annuar Musa (Ketereh)

8. Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi)

9. Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau)

10. Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis)

11. Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran)

12. Mohd Shahar Abdullah (Payar Besar)

13. Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar)

14. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas)

15. Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu)

16. Datuk Salim Sharif (Jempol)

17. Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam)

18. Datuk Seri M Saravanan (Tapah)

19. Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang)

20. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling)

21. Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin)

Sementara itu, 10 lagi Ahli Parlimen yang tidak hadir tetapi bersetuju secara mulut kerana belum menandatangani pendirian berkenaan.

22. Khairy Jamaluddin (Rembau)

23. Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara)

24. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas)

25. Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong).

26. Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan)

27. Datuk Mohamad Alamin (Kimanis)

28. Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar)

29. Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit)

30. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya)

31. Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai)

INFO SENARAI MENTERI UMNO/BN (YANG MASIH MEMEGANG JAWATAN)

1. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (UMNO/BN)

2. Menteri (Kanan) Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (UMNO/BN)

3. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong (MCA/BN)

4. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan Murugan (MIC/BN)

5. Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (UMNO/BN)

6. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (UMNO/BN)

7. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (UMNO/BN)

8. Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (UMNO/BN)

9. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO/BN)

TIMBALAN MENTERI UMNO/BN (YANG MASIH MEMEGANG JAWATAN)

1. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong (MCA/BN)

2. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon (MCA/BN)

3. Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah (UMNO/BN)

4. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Arthur Joseph Kurup (PBRS/BN)

5. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd Yazid (UMNO/BN)

6. Timbalan Menteri Alam Sekitar, Senator Datuk Ahmad Masrizal Muhammad (UMNO/BN)

7. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said (UMNO/BN)

8. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamazah (UMNO/BN)

9. Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (UMNO/BN)

10. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (UMNO/BN)

11. Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (UMNO/BN)

12. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA/BN)

13. Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (MCA/BN)

TELAH MELETAK JAWATAN

1. Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (UMNO/BN)

Klik di sini untuk terus membaca