SHAH ALAM - Selepas Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan pendirian mereka menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, teka-teki seterusnya terarah kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan pendirian mereka menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, teka-teki seterusnya terarah kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Setakat petang tadi, usaha media untuk mendapatkan penjelasan Bung Moktar masih gagal selepas difahamkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengambil sikap mengunci mulut.

Bagaimanapun, pada sebelah malam tadi, UMNO Sabah kemudian tampil dengan satu kenyataan media yang mungkin sedikit sebanyak memberikan petunjuk kepada pendirian Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Dalam kenyatan itu, UMNO Sabah membuat keputusan untuk terus kekal dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa juga keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakur oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah.

"Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) yang lalu akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.

"Oleh itu, UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal dan menyokong GRS di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor," katanya.

UMNO Sabah difahamkan perlu mengambil pendirian tersebut bagi mengelak konflik kerajaan Persekutuan melarat sehingga ke Negeri Di Bawah Bayu.

Ini kerana sekiranya, UMNO Sabah tidak menyokong Hajiji dan kekal bersama GRS, kerajaan negeri Sabah hari ini juga akan tumbang dan menjadi milik Warisan.

Ini kerana dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, GRS memiliki 38 kerusi DUN dengan UMNO mewakili 14 kerusi, Bersatu (11), Parti Bersatu Sabah (7) dan Parti Solidariti Tanah Airku (6).

Blok pembangkang pula tidak jauh di belakang dengan Warisan paling tinggi 23 kerusi, DAP (6), PKR (2) dan UPKO (1). Tiga lagi kerusi DUN dimiliki ADUN Bebas.

Untuk rekod rakyat Sabah baru sahaja memilih kerajaan negeri kira-kira 10 bulan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan pada September tahun lalu.

Klik di sini untuk terus membaca