[WAWANCARA EKSKLUSIF] Pada saat krisis pandemik Covid-19 semakin memuncak, negara kita turut dikejutkan dengan polemik politik perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin politik tanah air bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lebih malang, sidang khas Parlimen minggu lalu yang sepatutnya memberi ruang ahli-ahli Parlimen menyuarakan permasalahan rakyat serta memberi buah fikiran kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), berakhir dengan sesi jerit-menjerit yang akhirnya membawa kepada gesaan Muhyiddin meletak jawatan.
Bagaimanapun, bagi seorang pemimpin wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berpotensi besar serta dianggap calon Perdana Menteri masa hadapan, Nurul Izzah Anwar, beliau sebaliknya mempunyai sudut panjang lebih jauh daripada sekadar menyentuh isu perebutan kuasa politik.
Ahli Parlimen Permatang Pauh yang merupakan anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu lebih selesa membicarakan soal mendepani krisis Covid-19 yang kini melangkaui jumlah 20,000 kes, transformasi ekonomi dan pendidikan negara serta keperluan transisi peralihan kepimpinan Malaysia oleh generasi baharu.
Ikuti wawancara eksklusif Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu bersama wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN AMIN bagi menyelami pandangan beliau terhadap krisis ekonomi, kesihatan dan politik yang melanda negara ketika ini.
SINAR PREMIUM: Yang Berhormat (YB), pandemik Covid-19 nyata memberi impak sangat dahsyat terhadap pertumbuhan ekonomi, sistem kesihatan dan kestabilan politik tanah air.
Bagaimana YB melihat kemampuan negara mendepani krisis yang terburuk dalam sejarah ketika ini?
NURUL IZZAH: Kita harus akui bahawa pandemik Covid-19 sebenarnya telah mendedahkan kita kepada kerapuhan sistem jaringan keselamatan sosial, ekonomi, kesihatan dan capaian pendidikan.
Sehubungan itu, kebolehan negara mendepani krisis dilihat menerusi tahap capaian rakyat kepada bantuan ekonomi yang diumum kerajaan, akses anak-anak kepada pendidikan dan khidmat sistem kesihatan.
Perkara ini khususnya merujuk segmen golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) berbanding dengan golongan golongan berpendapatan tinggi (T20).
Rakyat dahagakan perlindungan, bantuan dan pengupayaan. Saya bertemu ramai daripada segmen B40 menerusi ziarahan dan survei Kajian Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) di Permatang Pauh, bermula segmen M40 dan juga T20 termasuklah para peniaga serta pengusaha Uptown Perda.
Luahan mereka adalah supaya bantuan serta geran yang ditawar menepati keperluan setiap segmen.
Sektor informal kita besar dan perlu juga diutamakan khususnya 83.5 peratus daripada tenaga kerja Malaysia yang tidak mendapat gaji yang mencukupi pun untuk dicukai.
Rata-rata selain daripada bantuan tunai, yang harus diutamakan juga adalah geran atau pinjaman tanpa faedah dan jangka panjang buat peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya penstrukturan perniagaan dapat dilakukan sebaiknya demi kelangsungan perniagaan, lanjutan moratorium pinjaman bank tanpa faedah dan moratorium bagi isi rumah meliputi juga sewaan bulanan.
Cadangan-cadangan ini seiring dengan maklumbalas Laporan Bank Dunia yang menyimpulkan bantuan kerajaan Malaysia untuk perniagaan dan pekerja walau membantu, agak kecil jumlahnya dan bersifat jangka pendek.
Realitinya, usaha kita harus berakar kepada keperluan dan keluhan rakyat. Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga harus lebih telus dalam mempamerkan berapa banyak denda dan juga tangkapan yang telah diambil sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga ke PKP 3.0 dan memperincikannya mengikut segmen B40, M40 dan T20.
Kena perincikan juga sebab-sebab utama perlanggaran. Adakah kebanyakannya melibatkan kilang-kilang, atau pun peniaga-peniaga kecil dan pekerja biasa yang berada dalam kategori berpendapatan rendah beserta alasan yang munasabah.
Tentunya denda tidak boleh sekadar pukul rata. Lebih-lebih lagi dalam menangani persepsi pangkat dan kedudukan selalunya berakhir dengan pelepasan.
Memandangkan kuasa di dalam tangan kerajaan pusat, segala tumpuan dan kekuatan harus ke arah usaha menyelamatkan rakyat.
Sekiranya usaha bertunjangkan keprihatinan sebenar, saya percaya setiap segmen lapisan masyarakat termasuklah pembangkang akan sedia membantu.
Malangnya, menerusi penangguhan sidang Parlimen serta penutupan bangunan Parlimen hanya disebabkan beberapa kes Covid-19, tanpa alternatif dan usaha berterusan untuk pembukaan termasuk tindakan keras dan terlalu menindas ke atas kritikan dan protes yang lahir daripada kekecewaan rakyat.
Situasi ini menyebabkan kerajaan dilihat kurang mempamer keprihatinan yang sebenar. Hal ini bakal melahirkan skeptisisme dan penolakan kepada kerajaan.
SINAR PREMIUM: Adakah sidang khas Parlimen itu mampu memenuhi aspirasi rakyat sekiranya tiada ruang diberikan kepada ahli Parlimen untuk mengemukakan usul atau berbahas?
NURUL IZZAH: Pertamanya, kita rasa bersyukur kerana menerusi gambaran yang kita boleh lihat, desakan rakyat akhirnya membuahkan hasil.
Apabila Parlimen ditunda sekian lama, ramai yang melihat alasan yang diguna pakai tidak munasabah kerana dalam menguruskan pandemik, kita memerlukan semua cabang kerajaan berfungsi sepenuhnya supaya ruang perbincangan fan kerjasama akhirnya membuahkan hasil pengenalan undang-undang, dasar serta program berkebajikan yang mampu menjaga dan melindungi rakyat.
Contohnya, kita diberikan ruang kecil untuk bertanya dan memberi cadangan selepas mendengar penerangan berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat selama hanya lima hari.
Dalam kapasiti sekecil apa pun dan usaha yang terdaya, aspirasi rakyat tetap kita perjuangkan. Natijahnya, jangan dipinggirkan peranan semak imbang parlimen.
SINAR PREMIUM: YB merupakan antara pemimpin muda yang sering memberikan idea-idea baharu bagi membolehkan negara mendepani ancaman pandemik Covid-19.
Idea-idea YB yang memfokuskan kepada masa hadapan golongan belia, masalah pekerjaan dihadapi mereka terkesan serta keperluan syarikat besar kembali menyumbang kepada kerajaan untuk pemulihan ekonomi antara perkara yang menjadi tumpuan rakyat.
Pada pandangan YB, adakah Majlis Pemulihan Negara yang ditubuhkan kerajaan PN akan menyentuh sepenuhnya soal rakyat marhaen yang menderita akibat pandemik Covid-19?
NURUL IZZAH: Kes harian tertinggi telah mencatat lebih 20,000 kes di Malaysia. Terlalu ramai yang kehilangan nyawa, terlalu menjolok mata pemberian kompaun yang melulu dan menyasar rakyat bukannya individu berpangkat, rakyat kehilangan mata pencarian, kehidupan yang bermakna dan selesa.
Jadi kita harus perbaiki pelaksanaan dasar, undang-undang dan melebar luas bantuan, geran pinjaman dan pengkhususan prosedur operasi standard (SOP) yang memudahkan semua pihak.
Sebab itu, saya rasakan penting untuk mendapatkan jajaran realiti sebenar rakyat untuk kita membawa solusi yang bersifat realistik.
Rang Undang-Undang (RUU) yang kita pinta diluluskan semenjak awal tahun ini seperti RUU Akta Profesion Pekerja Sosial, pemanjangan dan pelebaran RUU Langkah-Langkah Sementara Covid-19 untuk mengecualikan caj faedah yang dikenakan bank, RUU Akta Gangguan Seksual, Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan RUU Penyalahgunaan Dadah dan Substan mengambil kira pertambahan pengguna dadah sewaktu pandemik.
Semua undang-undang ini telah mendapat dukungan majoriti ahli parlimen semasa sidang berlangsung dan boleh diabsahkan menjelang sidang September kelak.
Idea-idea ini hanya memerlukan iltizam politik supaya perubahan dapat berlaku menerusi pelaksanaan serta merta.
Bak kata WS Rendra, "Kesedaran adalah Matahari; Kesabaran adalah Bumi; Keberanian menjadi Cakerawala; dan Perjuangan adalah Pelaksanaan Kata-Kata”
Saya juga berharap kerajaan menerima cadangan PKR supaya diwujudkan Jawatankuasa Pemilih bagi memantau pelaksanaan PPN.
Berikan saluran yang tepat; mana lagi hendak kami salurkan keluh kesah rakyat dan memastikan setiap cadangan yang ditolak atau diterima, datang dengan rasional dan tanggungjawab daripada pihak kerajaan.
SINAR PREMIUM: YB, hasil keputusan kaji selidik dibuat Sinar Harian dan sebuah firma penyelidikan politik baru-baru ini mendapati majoriti pengundi mahukan calon-calon PM baharu untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9.
Pada pandangan YB mengapakah golongan pengundi menuntut perkara sedemikian? Adakah ini petanda pemimpin-pemimpin lama yang menjadi ketua parti-parti utama politik tanahair sudah tidak lagi relevan?
NURUL IZZAH: Senario semasa politik tanah air harus dilihat secara rasional dan holistik. Bukan soal umur sahaja, tetapi kerangka dan idea yang dipakai harus seiring dengan kemahuan rakyat.
Kita kena cari jalan untuk menilai kredibiliti seseorang berdasarkan penyelesaian konstruktif dan keikhlasan kerja di lapangan.
Contohnya, sesiapa sahaja yang memegang jawatan, umur apa sekalipun, harus wujud dalam diri masing-masing tentang meraikan perbezaan pendapat dan kritikan konstruktif, keberanian untuk belajar, melenyapkan proses pembelajaran lampau yang tempang dan digantikan dengan idea baik dan berkesan selari dengan peredaran zaman dan keperluan rakyat. Jika ini tidak dicerminkan, maka hilanglah kerelevanan.
SINAR PREMIUM: Nama YB sendiri disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri akan datang oleh pemerhati politik tanah air. Sejauh mana penerimaan YB terhadap perkara itu?
NURUL IZZAH: Pada saya, kita kembali ke tugasan hakiki kita, kita kena teruskan amanah yang diberi rakyat. Hal ini kerana ia adalah tanggungjawab sangat berat.
Kita bakal diadili nanti maka jangan begitu mudah menerima tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Ianya amanah, bukannya prasyarat meraih kuasa.
Sama-samalah kita berdoa agar Malaysia mendapat pimpinan yang benar-benar prihatin terhadap rakyat, termasuklah mereka di lapangan tidak kiralah para petugas kesihatan, guru, pengamal media, suri rumah, pekerja-pekerja sektor informal, penghantar makanan sektor ekonomi gig yang bertarung nyawa demi kelangsungan hidup kita bersama dan para barisan hadapan.
Kita lakukan sebaik mungkin walau keadaan ketika ini bukan mudah dan sangat mencabar.
Daripada sekecil-kecil usaha sehinggalah kuasa yang tertinggi dalam negara.
Pembangunan ekonomi dan industri yang fokusnya menjadikan Malaysia kalis masa hadapan perlu diterjemahkan dalam perangkaan, pengenalan dasar dan program sehingga ke peringkat penghasilan kerja dan perwujudan jaringan keselamatan sosial untuk rakyat.
SINAR PREMIUM: Apakah sisi perjuangan PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang YB rasakan mampu memberi tarikan kepada golongan pengundi terutama pengundi muda bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15)?
NURUL IZZAH: Pada hemat saya, kita perlu merealisasikan keupayaan anak muda. Jadikan mereka sebagai teman seangkatan untuk mencorak masa hadapan bersama, dan bukan hanya sekadar pelengkap di peti undi.
Selain meraikan gerakan Undi18, kita mahukan anak muda selaku pemegang taruh sebenar dalam mencorak masa depan Malaysia.
Segala perancangan termasuk bagi anak-anak muda dalam industri Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah amat diperlukan dengan kerajaan mengenal pasti industri yang berpotensi menjadi industri utama dalam jangka masa lima hingga 10 tahun mendatang, jaminan kerjaya yang bermaruah, serta kehidupan yang berkualiti dan seimbang harus menjadi sebahagian daripada intipati perancangan kita.
Kami juga menggesa pewujudan jaringan keselamatan sosial yang mampan bagi semua yang bekerja sama ada secara ekonomi gig, separa masa, atau sepenuh masa, dependent or independent contractors.
Hal ini kerana berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 62 peratus tenaga kerja Malaysia bekerja secara tidak formal yang merangkumi pekerjaan platform gig, pekerjaan digital secara jarak jauh, dan peralihan kepada kontrak pekerjaan sementara atau pekerjaan berdasarkan projek (project-based work) seperti penggiat filem independen dan sebagainya.
Mereka ini semua perlu dilindungi oleh undang-undang dan wajib diberi hak membela diri.
SINAR PREMIUM: YB, dunia kini menyaksikan beberapa negara sudah mula mengetengahkan Perdana Menteri pada usia sangat muda seperti di New Zealand, Kanada dan Perancis.
Pada pandangan YB, mengapa transisi peralihan generasi kepimpinan negara amat penting untuk kemajuan sesebuah negara berkenaan?
NURUL IZZAH: Pada awal tahun ini, kita minta kepimpinan negara mengangkat agenda persekitaran lebih selamat untuk wanita dan kanak-kanak menerusi pengenalan undang-undang, pelaburan dan perbelanjaan yang mencukupi serta pemerkasaan Jabatan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) kita.
Peningkatan risiko kanak-kanak terhadap eksploitasi dan pemangsa seksual dalam talian akibat lonjakan penggunaan internet semasa PKP dan peralihan kepada pembelajaran atas talian yang melibatkan hampir 5 juta pelajar sekolah hari ini.
Bayangkan adanya 45 kes berkait pornografi kanak-kanak dilaporkan bagi tempoh pandemik (18 Mac 2020 hingga April 2021) berbanding 18 kes bagi tempoh Februari 2019 hingga 17 Mac 2020.
Begitu juga dengan RUU Akta Gangguan Seksual. Sehingga kini, kelompongan ketiadaan akta khusus berkaitan gangguan seksual ini masih belum terisi meski sudah sekian lama ianya diperjuangkan.
Dasar New Zealand, yang bertemakan ‘Strategi Kesejahteraan Kanak-kanak dan Belia,’ terus memberi inspirasi kerana mampu melindungi golongan rentan.
Perkara itu dibuktikan negara itu menerusi pemberian sokongan kewangan, pelepasan pendapatan, pembekuan sewa, peningkatan dana dalam penyaluran bantuan makanan, pengajaran dan pembelajaran dalam talian.
Diingatkan juga bahawa perkhidmatan bantuan tangani keganasan rumah tangga menjadi keutamaan dan dirangkumkan dalam senarai langkah keselamatan Covid-19.
Intipati yang kita boleh ambil dari New Zealand adalah seluruh kepimpinan bertumpu kepada keselamatan kanak-kanak. Boleh saja mengenal pasti kepentingan Malaysia bagi membolehkan kerajaan mengutamakan golongan rentan.
SINAR PREMIUM: YB merupakan seorang pemimpin muda yang konsisten memperjuangkan isu rasuah, salah guna kuasa dalam kerajaan serta transformasi sektor ekonomi dan pendidikan ke arah mewujudkan generasi lebih pragmatik pada masa hadapan.
Sejauh mana YB melihat perkara-perkara itu mampu dicapai negara? Adakah YB berkeyakinan akan ada satu kesungguhan politik oleh ahli-ahli politik di negara ini bagi mencapai objektif berkenaan pada masa hadapan?
NURUL IZZAH: Saya fikir kita perlu menyelami dengan lebih dalam lagi kesungguhan politik yang sedia ada. Hal ini kerana ia terlalu bertumpu kepentingan peribadi berbanding kepentingan rakyat.
Pemimpin perlu belajar lagi daripada kesungguhan solidariti bantuan menerusi gerakan rakyat seperti #KitaJagaKita dan mengulangi semangat yang sama.
Klik di sini untuk terus membaca