ANGGOTA-ANGGOTA Dewan Senat, Washington akan menentukan pada hari ini sama ada rancangan pelaburan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bernilai AS$1.2 trilion (RM5.06 trilion) dalam bidang infrastruktur di negara berkenaan akan... Klik di sini untuk terus membaca

ANGGOTA-ANGGOTA Dewan Senat, Washington akan menentukan pada hari ini sama ada rancangan pelaburan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bernilai AS$1.2 trilion (RM5.06 trilion) dalam bidang infrastruktur di negara berkenaan akan diluluskan dalam undian akhir.

Rancangan itu dianggap penting oleh pentadbiran Biden bagi memulihkan semula infrastuktur AS yang dianggap lama diabaikan oleh kerajaan negara berkenaan sebelum ini.

Melalui rancangan tersebut, ia akan menyalurkan wang untuk kerja-kerja infrastruktur seperti pengangkutan, membaiki jalan-jalan raya, membesarkan lagi jalur lebar dan menghijaukan sektor tenaga.

Selepas menghabiskan masa selama berjam-jam untuk membina konsensus pada Khamis lalu, Ketua Dewan Senat Parti Demokrat, Chuck Schumer mengumumkan sebelum tengah malam bahawa undian untuk meluluskan rancangan tersebut akan diadakan pada tengah hari Sabtu waktu AS.

Beliau juga telah berjumpa dengan anggota-anggota Dewan Senat daripada parti Republikan berhubung rancangan infrastruktur tersebut yang selama ini menentangnya dan menghalang supaya satu undian diadakan di Dewan Senat.

Schumer tidak menolak keyakinannya bahawa parti Demokrat mahu supaya isu rang undang-undang tersebut diselesaikan menyebabkan pihaknya akan mengadakan undian pada Sabtu ini untuk ia diluluskan.

Rang undang-undang itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 10 anggota parti Republikan dengan tambahan 50 senator daripada parti Demokrat untuk dikemukakan di Dewan Senat.

Ia kemudian akan diundi buat kali terakhir bagi mendapatkan majoriti mudah di Dewan Senat sama ada pada hari Sabtu atau hari Ahad mengikut waktu AS.

Kalau diluluskan, ia akan diundi pula di Dewan Perwakilan dalam tempoh beberapa minggu lagi dan setelah diluluskan, rang undang-undang tersebut ditandatangani oleh Biden.

Joe Biden - Foto AFP

Jika rang undang-undang tersebut diluluskan, ia merupakan satu kejayaan buat Biden yang juga bekas Senator dalam pentadbiran penggal pertamanya sebagai Presiden.

Jumlah keseluruhan nilai rang undang-undang itu ialah AS$1.2 trilion iaitu bersamaan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sepanyol pada tahun 2020.

Menurut Rumah Putih pada Khamis, ia akan menjadikannya sebagai pelaburan jangka panjang untuk projek infrastruktur dan akan menjadikan infrastrukur AS lebih berdaya tahan untuk hampir seabad.

Biden sebelum ini pernah berhujah bahawa kerajaan boleh digunakan sebagai satu pasukan untuk menaikkan taraf hidup sebahagian rakyat yang tidak pernah menikmati kemakmuran ekonomi selama bertahun-tahun.

Justeru, menurut CNN pakej perbelanjaan yang besar itu akan membolehkan Biden menyatakan bahawa beliau telah membentuk semula ekonomi negara tersebut untuk kepentingan kelas pertengahan AS.

Bagaimanapun, menurut Pejabat Bajet Kongres AS, rang undang-undang tersebut akan menambahkan lagi sebanyak AS$256 bilion (RM1.07 trilion) defisit dalam bajet AS dalam tempoh lebih sedekad.

Laporan tersebut yang dibuat oleh agensi tidak menyebelahi mana-mana pihak tidak mengambil kira potensi peningkatan pendapatan yang wujud akibat pertumbuhan ekonomi.

Walaubagaimanapun, pada awalnya rang undang-undang tersebut bernilai AS$2.3 trilion (RM9.7 trilion) tetapi dikurangkan kepada AS$1.2 trilion.

Dalam rang undang-undang tersebut, pasaran kenderaan elektrik akan dipertingkatkan apabila satu rangkaian pengecas kereta-kereta elektrik akan dibina.

Rang undang-undang tersebut memperuntukkan sebanyak AS$15 bilion (RM63.26 bilion) untuk menggantikan paip-paip air di AS. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca