LAZIMNYA politik adalah suatu aktiviti bernegara yang dibentuk melalui hubungan antara rakyat dan pemerintah (kerajaan). Oleh yang demikian, ia tidak dapat dipisahkan dengan aspek perlembagaan sebagai undang-undang asas yang membentuk dan... Klik di sini untuk terus membaca

LAZIMNYA politik adalah suatu aktiviti bernegara yang dibentuk melalui hubungan antara rakyat dan pemerintah (kerajaan). Oleh yang demikian, ia tidak dapat dipisahkan dengan aspek perlembagaan sebagai undang-undang asas yang membentuk dan mengawal hubungan tersebut.

Justeru, perlembagaan harus disepakati dan dihormati sebagai suatu kerangka yang hidup daripada hanya sekadar sebuah dokumen perundangan ataupun manual bernegara.

Perlembagaan wujud sebagai kerangka penyelesaian kepada permasalahan yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan bernegara.

Perlembagaan menetapkan kalau pun pemerintah semasa dilihat bermasalah, rakyat masih perlu menghormati keabsahannya (legitimasi) sebagai sebuah autoriti (kekuasaan). Sebab itulah negara yang menjunjung tinggi ketertinggian perlembagaan dikaitkan dengan masyarakatnya yang setia dan stabil.

Namun, perkataan keabsahan itulah yang ketika ini menjadi tumpuan ramai. Perkembangan semasa menunjukkan bagaimana persoalan keabsahan menjadi punca kekalutan politik negara.

Tidak perlulah ia disentuh secara terperinci di sini. Maklumlah semua sudah tahu dengan apa yang berlaku, cuma mungkin ramai masih kurang faham tentang keabsahan sama ada daripada perspektif perundangan atau politik.

Sebagai permulaan, konsep keabsahan adalah suatu konsep yang kompleks dan luas. Ia bukan sekadar ‘menang pilihan raya’ atau ‘ada majoriti’.

Intepretasinya sering dipengaruhi oleh konsep-konsep yang berkembang mengikut epistemologi ilmu tertentu. Konsep itu paling banyak dibahaskan melalui disiplin Falsafah, Sosiologi dan Sains Politik. Namun umumnya, kesemua disiplin itu melihat keabsahan dan autoriti adalah konsep yang saling berkaitan.

Keabsahan berkait rapat dengan autoriti. Keabsahan adalah reaksi penerimaan terhadap autoriti pemerintahan, manakala autoriti pula berkait dengan kuasa pemerintah untuk melakukan atau memutuskan sesuatu secara sah.

Ringkasnya, konsep keabsahan itu bergantung kepada penerimaan ke atas autoriti mereka yang diberikan mandat memerintah.

Persetujuan

Bagi memudahkan kefahaman tentang konsep keabsahan, hujah John Locke wajar dijadikan asas perbincangan.

Locke mengaitkan konsep itu dengan istilah ‘persetujuan yang diperintah’ (consent of the governed) yang menerangkan perihal keabsahan kuasa pemerintah berdasarkan persetujuan rakyat yang menerimanya secara perundangan (legal) dan perkiraan moral-rasional.

Secara normatif, Locke menganjurkan bahawa penerimaan rakyat (keabsahan) terhadap autoriti pemerintah sama ada institusi ataupun keputusannya mestilah disandarkan kepada empat faktor utama - persetujuan bersama (consent), kemanfaatan (beneficial consequences), kemusabahan umum (public reasons) dan pengesahan secara demokratik (democratic approval).

Ringkasnya, keabsahan itu hanya disahkan jika ia memenuhi keempat-empat faktor tersebut dan dilakukan secara berperlembagaan.

Dari satu sisi lain pula, keabsahan wajib diperoleh. Ia tidak datang sendiri. Sebab itu keabsahan dan autoriti dilihat saling berkaitan.

Dalam hal itu, kerajaan bukan sahaja harus berupaya memperolehnya tetapi juga mampu mempertahankan keabsahan tersebut. Keterikatan itu timbul kerana wujudnya simbiosis antara perakuan dan penerimaan rakyat terhadap kerajaan.

Secara mudah, mana-mana kerajaan dengan mudahnya akan memperoleh keabsahan itu jika ia melakukan sesuatu yang betul dan memenuhi kemahuan rakyat. Dan begitu pula sebaliknya.

Persoalannya, adakah keabsahan hanya datang dengan memenuhi kemahuan rakyat semata-mata? Kalau menurut David Beetham dalam bukunya The Legitimation of Power, ia tidaklah semudah itu.

Beetham melihat dua kriteria penting terhadap keabsahan. Pertama, aspek perundangan yang mengikat dan menjustifikasikan keabsahan terhadap autoriti. Kedua, aspek nilai etika dan estetika dalam mengekalkan keabsahan tersebut.

Kesimpulannya, keabsahan bukanlah datang daripada perspektif yang tunggal semata-mata.

Pertama, keabsahan sentiasa melihat pada aspek penerimaan dan kepercayaan masyarakat terhadap autoriti yang memerintah. Kedua, keabsahan juga sering muncul dalam perspektif yang formal dan tidak formal secara bersilih ganti.

Sebab itu, takrifan ke atas konsep keabsahan dilihat merangkumi pelbagai aspek sama ada secara simbolik, moral, formal dan rasional yang disesuaikan dengan keadaan semasa.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca