JIKA seseorang itu diracuni secara fizikal, petandanya amat jelas iaitu muka yang pucat, mulut berbuih, badan menjadi kejang dan pelbagai tanda lagi. Justeru, kita tidak akan teragak-agak untuk membawa mereka ke hospital bagi menerima rawatan.
Namun, jika seseorang itu ‘diracuni’ pemikiran atau kita sendiri yang terkena ‘racun’, amat sukar untuk mengetahui impak ‘racun’ tersebut kepada kita.
Apa yang jelas, pemikiran dan jiwa yang diracuni akan memberi kesan besar kepada kemakmuran masyarakat serta amat sukar untuk dipulihkan.
Sebetulnya, ramai yang cukup meluat apabila seseorang itu menghampiri kita dan membuat pengakuan atas kesilapannya mempercayai berita tidak benar daripada orang lain.
Alasan yang dikemukakan adalah orang itu baik, nampak jujur dan ikhlas, sedangkan kebanyakan berita tersebut adalah palsu dan bertujuan menjatuh serta memalukan kita.
Apa yang menyebabkan kita meluat, kerana mereka tidak pernah berusaha mendapatkan kebenaran daripada kita dan membuat kesimpulan berdasarkan penceritaan orang lain. Pendek kata, pemikiran dan jiwanya telah ‘diracuni’.
Sesungguhnya, seseorang itu akan mudah diracuni sekiranya membiarkan diri mereka dimanipulasi atau dikuasai orang lain. Tambahan pula dengan sikap malas berfikir, kurang berusaha mencari kebenaran dan sudah ketagih sebagai penyebar cerita, tentunya lebih cepat dimanipulasi oleh seseorang.
Menurut Hafs bin Asim RA, Nabi SAW bersabda: "Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun). (Hadis Riwayat Muslim) Menurut perspektif psikologi, manipulasi adalah suatu bentuk pengaruh sosial untuk mengubah tanggapan seseorang terhadap sesuatu bagi memenuhi kepentingan individu atau kelompok tertentu.
Pun begitu, tidak semua manipulasi adalah bersifat negatif, sebaliknya ada juga bersifat positif seperti kempen mengubah cara masyarakat berfikir dan bertingkah laku.
Sesiapa pun boleh menjadi pemanipulasi, sama ada mereka adalah ahli politik, usahawan, majikan, pekerja dan juga rakyat biasa, yang penting matlamat mereka tercapai.
Merujuk kepada pendekatan psikologi sosial, terdapat beberapa teknik yang digunakan untuk memanipulasi seseorang, antaranya teknik foot-in-the-door.
Menerusi teknik tersebut, pemanipulasi cuba meyakinkan kita untuk memenuhi permintaan kecil daripada mereka. Jika permintaan itu dipenuhi, mereka akan mempengaruhi kita untuk bersetuju dengan permintaan lebih besar pula. Pun begitu, sekiranya teknik tersebut tidak berjaya, mereka akan menggunakan teknik door-in-the-face.
Berdasarkan teknik itu, pemanipulasi akan mendorong kita memenuhi permintaan yang besar daripada mereka. Sekiranya kita tidak dapat memenuhi permintaan itu, mereka akan merayu agar kita memenuhi permintaan yang kecil sahaja berbanding permintaan sebelum ini.
Akhirnya kita bersetuju memenuhi permintaan itu dengan anggapan tidak memberi mudarat dengan hanya memenuhi permintaan yang kecil.
Walhal, apabila kita bersetuju dengan permintaan tersebut, mereka akan memulakan semula proses seperti mana teknik pertama tadi. Lantaran itu, lama-kelamaan kita akan terjerat dengan penguasaan mereka.
Secara realiti, itulah yang berlaku hari ini. Jika mereka tidak berjaya meracuni jiwa dan pemikiran kita dengan cerita-cerita besar, maka akan memujuk kita mempercayai cerita-cerita kecil. Natijahnya, kita bukan sahaja mempercayai cerita tersebut, malah didorong untuk taasub dengan mereka.
Bagi mengelak daripada diracuni, ALLAH SWT telah berfirman: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap ditanya akan apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’, 17:36).
Ingatlah, racun itu benar dan mudaratnya pun benar. Penawar keracunan jiwa dan akal adalah kebenaran. Semoga kita tidak ‘diracuni’.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca