SUATU ketika dahulu negara sering digemparkan dengan penipuan seperti peraduan gores dan menang, skim cepat kaya dan pelbagai lagi taktik penipuan menggunakan cara konvensional. Seiring dengan perkembangan semasa, sindiket penipuan kini... Klik di sini untuk terus membaca

SUATU ketika dahulu negara sering digemparkan dengan penipuan seperti peraduan gores dan menang, skim cepat kaya dan pelbagai lagi taktik penipuan menggunakan cara konvensional.

Seiring dengan perkembangan semasa, sindiket penipuan kini bergerak lebih pantas dengan menyasarkan mangsa menerusi kaedah yang lebih mudah untuk mengaut keuntungan berganda.

Penipuan secara dalam talian atau lebih dikenali sebagai Macau Scam antara kaedah penipuan yang membuatkan ramai rakyat Malaysia masuk ke dalam perangkap penjenayah.

Hanya bermodalkan air liur dan sedikit kata-kata yang mampu membuatkan mangsa panik, secara sedar atau tidak, mangsa akan terperdaya sekali gus mengakibatkan kerugian ratusan ribu bahkan jutaan ringgit.

Menyamar sebagai pegawai bank dan memaklumkan akaun bank telah disekat gara-gara ada transaksi luar biasa yang dikesan merupakan antara taktik digunakan sindiket Macau Scam dalam mengumpan mangsa.

Belum cukup dengan itu, malah ada mangsa yang mendakwa mereka dihubungi pihak berkuasa memaklumkan kononnya mereka mempunyai tunggakan saman yang perlu dijelaskan.

Dalang sindiket Taiwan, China

Subang Jaya sebagai sebuah bandar raya di Selangor turut tidak terlepas menjadi sasaran sindiket Macau Scam ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Suprintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, kadar kerugian yang dicatatkan melibatkan sindiket penipuan Macau Scam di daerah ini adalah sebanyak RM937,000.

"Berdasarkan data yang dicatatkan, jumlah kerugian berkenaan berdasarkan 14 kes bermula pada awal Januari sehingga 31 Julai lalu.

"Mangsa terdiri daripada pelbagai pihak. Ada dalam kalangan kakitangan awam, swasta dan golongan berpencen,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Amihizam

Menceritakan lebih lanjut, Amihizam berkata, jenayah Macau Scam kebanyakannya didalangi sindiket Taiwan dan China.

Jelasnya, berdasarkan laporan yang diterima, pihaknya mendapati sindiket menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan ada juga tempatan untuk menghubungi mangsa.

"Macau Scam menggunakan taktik mengaburi mangsa dengan menggunakan teknik spoofing di mana pemanggil akan berkomunikasi menggunakan Voice Over Internet Protocol (VoIP).

"Ia sekali gus membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya penerima atau mangsa bahawa pemanggil adalah pihak daripada nombor yang tertera pada skrin telefon mangsa,” jelas beliau.

Cabutan bertuah

Selain itu, beliau berkata, sindiket berkenaan turut menggunakan kaedah memperdaya mangsa menerusi cabutan bertuah.

"Melalui kaedah ini, mangsa akan dihubungi dan mendakwa mangsa memenangi pertandingan cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan.

"Mangsa akan diberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya mahu menuntut hadiah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan mangsa mudah terpengaruh sekali gus akan segera mempercayai sindiket terbabit.

"Setelah bersetuju untuk menuntut hadiah tersebut, mangsa akan diminta memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah.

"Mangsa yang terjerat kemudian akan menuruti dan setelah selesai transaksi, pemanggil iaitu sindiket berkenaan akan gagal dihubungi dan wang dijanjikan tidak akan diterima,” ujarnya.

Amihizam berkata, sebilangan besar mangsa turut mendakwa sindiket Macau Scam ini turut menyamar sebagai pegawai kerajaan atau pihak berkuasa.

Beliau berkata, kaedah ini dikenali sebagai spoofing pegawai polis atau pegawai kerajaan.

Menyamar pegawai bank

"Menerusi kaedah ini, sindiket akan menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai agensi kerajaan ketika menghubungi mangsa.

"Ketika dihubungi, mangsa akan diberitahu bahawa mangsa terlibat dalam kegiatan haram; antaranya ah long, kongsi gelap dan pengedaran dadah,” kata Amihizam.

Jelas beliau, kebanyakan mangsa akan menjadi panik dan tertipu dengan kaedah berkenaan.

"Mangsa dalam keadaan terkejut akan segera menuruti apa yang diberitahu sindiket yang menyamar ini.

"Sindiket akan meminta mangsa supaya memindahkan wang ke dalam akaun tertentu dengan alasan kononnya bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa,” tambah beliau.

Antara sindiket Macau Scam yang berjaya ditumpaskan IPD Subang Jaya.

Dedah Amihizam lagi, terdapat sindiket Macau Scam menggunakan taktik penyamaran sebagai pegawai bank.

Menerusi kaedah ini, katanya, mangsa akan menerima panggilan yang mengaku sebagai pegawai bank.

"Dalam kebanyakan laporan diterima, menerusi kaedah ini mangsa didakwa gagal membuat bayaran kad kredit.

"Mangsa kemudian diarahkan untuk menghubungi seseorang kononnya pegawai Bank Negara bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank mangsa dibekukan,” katanya.

Menurut beliau, ramai mangsa terperangkap dengan penipuan itu dan menuruti arahan yang diberikan pemanggil.

"Kebanyakan laporan diterima mendapati mangsa terperdaya kerana bimbang akaun mereka disenarai hitam.

"Mangsa kemudiannya membuat pemindahan wang ke akaun tertentu melaui e-banking atau mesin deposit tunai (CDM),” jelas beliau.

Elak jadi mangsa

Masyarakat seharusnya lebih peka dan tidak meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap mana-mana pihak yang menghubungi mereka.

Amihizam berkata, dalam soal ini, semakan dan penelitian harus dilakukan ketika menerima panggilan terutamanya melibatkan perkara penting.

"Masyarakat harus sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tipu muslihat atau helah pihak tidak bertanggungjawab ini.

"Jangan panik dan mengikut arahan pemanggil tanpa menghubungi atau mendapatkan pengesahan daripada polis atau mana-mana institusi kewangan,” katanya.

Tegas beliau, masyarakat perlu sentiasa berhati-hati dan pada masa sama berwaspada apabila menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali.

Sindiket Macau Scam yang beroperasi secara dalam talian berjaya ditumpaskan Polis Subang Jaya.

"Polis Subang Jaya amat berharap masyarakat sentiasa berwaspada, dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu sekiranya menerima panggilan berunsur Macau Scam ini.

"Dapatkan pengesahan daripada polis atau mana-mana institusi kewangan terlebih dahulu serta jangan sesekali memberikan maklumat peribadi menerusi telefon sekiranya diminta,” nasihat Amihizam.

Kerugian akibat Macau Scam cecah RM328 juta

Sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam melibatkan kerugian berjumlah lebih RM328 juta direkodkan sepanjang tahun 2019 sehingga Jun 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sejumlah 2,466 kes dicatatkan pada tahun 2019 dengan kerugian RM12,855,100 manakala 2,247 kes pada 2020 dengan nilai kerugian RM172,710,823.

"Sepanjang Januari hingga Jun 2021 pula mencatatkan 814 kes dengan nilai kerugian RM33,344,911,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Mohd Kamarudin, berpandukan analisis yang dijalankan, golongan mereka yang berumur 51 tahun dan ke atas cenderung menjadi mangsa penipuan kerana kurang informasi serta tidak mengikuti perkembangan semasa kes penipuan berkenaan.

"Selain itu, atas faktor kedudukan ekonomi, golongan ini lazimnya mempunyai aliran kewangan yang stabil selain mempunyai wang simpanan untuk hari tua atau persaraan.

"Ini sekali gus menjadikan peratusan mereka yang menjadi mangsa penipuan adalah lebih tinggi,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca