SEJARAH berulang lagi. Sebelum ini pada 2020, kita dihidangkan dengan langkah Sheraton, tahun ini dengar cerita ada langkah Seri Pacific pula. Mungkin untuk tahun seterusnya akan berlaku langkah inap desa, langkah rumah sewa dan lain-lain... Klik di sini untuk terus membaca

SEJARAH berulang lagi. Sebelum ini pada 2020, kita dihidangkan dengan langkah Sheraton, tahun ini dengar cerita ada langkah Seri Pacific pula.

Mungkin untuk tahun seterusnya akan berlaku langkah inap desa, langkah rumah sewa dan lain-lain lagi. Ia akan berulang dan terus berulang selagi pelakunya melibatkan orang-orang tua yang sepatutnya sudah bersara.

Contohnya, beberapa hari lalu pada sidang akhbar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau menyatakan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Perdana Menteri.

Dikhabarkan juga kerajaan Perikatan Nasional telah kehilangan majoriti. Beberapa nombor bilangan sokongan ahli Parlimen ada juga disebut oleh netizen menandakan sokongan telah ditarik balik.

Beberapa hari kemudian, sidang akhbar kerajaan PN pula diadakan. Dikhabarkan oleh Perdana Menteri, masih ada sokongan padu daripada ahli-ahli Parlimen. Maka, kerajaan PN masih berdiri utuh dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri. Dikhabarkan juga untuk keabsahan, akan dibentangkan usul percaya sidang Parlimen September ini.

Sebelum ini pun berlaku peristiwa begini, selain langkah-langkah hotel terkemuka yang saya sebutkan iaitu dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan mempunyai nombor sokongan ahli Parlimen. Ia mengelirukan rakyat jelata. Tidak diketahui nombor yang mana.

Terbukti, demokrasi telah hancur. Seperti kata Malcom X: "Kamu dan saya tidak pernah melihat demokrasi. Yang kita lihat hanya hipokrasi.”

Dan kata Benjamin Franklin pula: ”Demokrasi adalah dua ekor serigala dan seekor kambing biri-biri, mengundi untuk makan apa tengah hari ini.”

Namun, demokrasi boleh diselamatkan seperti kata Franklin D Roosevelt: "Demokrasi tidak akan berhasil melainkan mereka yang menyatakan pilihan mereka, bersedia untuk memilih dengan bijak.”

Prihatin dengan masalah negara, maka saya ada membuat temu ramah dengan beberapa orang rakyat marhaen tentang keadaan semasa politik negara.

"Encik Mat, apa pandangan saudara tentang permasalahan politik negara yang tidak berkesudahan ini?”

"Oh, saya tidak ada masa ambil tahu. Saya sedang susah hati dengan pembelajaran anak-anak saya. Talian internet kadang-kadang tidak stabil. Sekejap ada, sekejap tidak ada dan sekejap lagi, kuota capaian internet dah habis pula,” jawab Encik Mat menggaru-garu kepala sambil membelek dompetnya untuk menambah nilai kredit internet.

Saya ada juga menemuramah seorang usahawan wanita sambilan yang perlu menjaga lima orang anak setelah kematian suami disebabkan Covid-19. Saya ingin tahu apa pendapat beliau tentang politik negara yang tidak habis-habis bergolak.

"Saya sibuk sekarang dengan perniagaan. Terpaksa cari duit lain sebab gaji kena potong. Tak sempat nak fikir,” jawab Puan Ina sambil tangannya ligat membungkus barang jualan untuk dipos.

"Puan Ina meniaga apa tu?” tanya saya ingin tahu.

"Saya jual daun lemuni dan nanas batu dalam talian. Banyak juga tempahan. Itu yang tak menang tangan, cuma bekalan dah berkurang. Saya terpaksa beritahu pelanggan untuk tunggu stok baharu,” jawab Puan Ina lagi.

"Bekalan ambil di mana?” tanya saya.

"Ada yang saya tanam sendiri tapi dah habis. Saya terpaksa meronda di kampung minta dengan orang kampung. Saya dapat percuma sahaja. Ada orang kampung beritahu, lain kali hendak ambil, ambil sahaja tak perlu beritahu. Tapi saya segan kalau selalu sangat ambil. Nanti habis pokok lemuninya saya pangkas,” jawab Puan Ina.

Saya hanya mengangguk sambil berfikir macam mana rupanya daun lemuni. Ada permintaan rupanya.

Seterusnya, secara kebetulan saya berjumpa Pak Din, seorang aktivis bersara dan kini jurujual produk kecantikan milik isterinya.

"Apa pendapat Pak Din?” "Hah? Pendapat tentang apa? " tanya Pak Din.

"Politik negara?” tanya saya.

"Tak sempat nak fikir. Aku dok fikir macam mana nak jual pencuci muka ni. Bini aku dah beri sasaran jualan untuk bulan ini. Kalau tak capai sasaran, tak dapat komisen pula, haih,” jawab Pak Din mengeluh.

Saya tersenyum dan angguk-angguk sahaja mendengar jawapan beberapa orang rakyat marhaen mengenai politik negara. Keadaan pun masih tidak menentu. Dengar cerita masih ada tidak puas hati dan masih berusaha keras untuk merebut kuasa.

Dengar cerita lagi, mungkin ada perubahan lagi tentang nombor. Dan kita pula rakyat jelata, ibarat besi dengan penempa. Hadap sahajalah selagi ada daya.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca