SHAH ALAM - Tertekan akibat berterusan dilarang beroperasi sewaktu Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), gabungan tujuh persatuan penggunting dan pendandan rambut sepakat untuk menghantar petisyen ke Istana Negara dalam masa terdekat.
Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir berkata, satu petisyen akan diserahkan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi merayu supaya kerajaan membenarkan kembali perkhidmatan menggunting dan dandanan rambut beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat.
Jelas beliau, penyerahan petisyen itu adalah pilihan terakhir MBBA bersama sebahagian besar persatuan penggunting rambut di seluruh negara untuk kembali dibenarkan beroperasi pada saat pandemik ketika ini memandangkan saluran perbincangan dengan semua agensi kerajaan yang bertanggungjawab, tidak berhasil.
"Dengan kes harian Covid-19 terus meningkat, bagi peniaga-peniaga kecil seperti kami sudah tiada pilihan selain mengharapkan operasi perniagaan kami kembali dibenarka dibuka demi meneruskan kelangsungan hidup.
"Kami tidak mampu bertahan lagi dan tidak mahu melihat rakan-rakan dalam industri ini terus bungkus dan gulung tikar. Situasi ini akan lebih memburukkan keadaan di mana ramai pekerja kami yang akan hilang pekerjaan," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Susulan pelaksanaan Fasa Pertama PPN sejak 1 Julai lalu, industri gunting dan dandanan rambut masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun secara SOP ketat.
Hal ini disebabkan industri gunting dan penggayaan rambut dianggap sebagai bisnes yang memerlukan kontak langsung bersama pelanggan, sebagaimana perniagaan spa, pusat urut dan rawatan tradisional serta perkhidmatan merias kuku.
Untuk rekod, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac 2020, tidak kurang daripada 800 usahawan gunting dan pendandan rambut di seluruh negara difahamkan sudah menutup operasi dan gulung tikar susulan tidak dibenarkan beroperasi untuk tempoh hampir setahun.
Mengulas lanjut, TN Winda menegaskan MBBA bersama beberapa persatuan penggunting rambut lain telah beberapa kali mengemukakan surat permohonan rayuan dan cadangan kepada Kementrian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar sektor perkhidmatan gunting rambut dibenarkan beroperasi dengan SOP ketat.
Jelas beliau, permohonan itu sudah dikemukakan bermula pelaksanaan PKP 3.0 sehingga Rabu lalu, namun pihaknya kesal kerana tiada sebarang jawapan balas diberikan.
Tambah beliau, susulan perkhidmatan gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi, secara realiti ramai usahawan gunting rambut terpaksa mencari rezeki menggunting rambut pelanggan melalui 'house call'.
"Semua orang bimbang dengan angka kes Covid-19 terus meningkat, tetapi realitinya operasi menggunting rambut melalui 'house call' tetap berlaku di mana-mana.
"Senario Ini lebih membimbangkan sebenarnya, seolah sudah tidak terkawal, malah sangat rancak ketika ini dan lebih berisiko mencetuskan kluster baharu.
"Atas sebab itu, kami minta perkhidmatan gunting rambut kembali dibenarkan beroperasi dengan SOP ketat di premis masing-masing supaya sebarang kebimbangan tercetusnya kluster baharu tidak berlaku," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca