SELEPAS Israel melancarkan kempen serangan udara selama 11 hari di Gaza sebelum diakhiri gencatan senjata pada bulan Mei lalu, rejim Zionis kini terlibat pula dengan pertempuran menentang pergerakan Hizbullah di Lubnan yang mendapat... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS Israel melancarkan kempen serangan udara selama 11 hari di Gaza sebelum diakhiri gencatan senjata pada bulan Mei lalu, rejim Zionis kini terlibat pula dengan pertempuran menentang pergerakan Hizbullah di Lubnan yang mendapat sokongan Iran.

Rejim Zionis mula melancarkan serangan udara di kawasan terbuka di selatan Lubnan pada pagi Khamis iaitu yang pertama kali dilakukan sejak tahun 2014.

Dalam serangan udara itu, tiada laporan tentang kecederaan dan kematian dilaporkan.

Sengketa terbaharu itu berlaku ketika Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz dengan angkuh berkata bahawa rejim Zionis bersedia untuk menyerang Iran.

Kenyataan itu dibuat selepas Iran dituduh melakukan serangan dron ke atas sebuah kapal tangki minyak yang dikendalikan oleh sebuah firma Israel sehingga mengakibatkan dua kru terbunuh di utara Laut Arab pada minggu lalu.

Bagaimanapun, Teheran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mendakwa penglibatan mereka.

Ketika ketegangan meningkat di sempadan Lubnan dan Israel itu, Hizbullah turut mengaku melancarkan serangan balas ke atas Tel Aviv buat pertama kali sejak tahun 2019.

Konflik di sempadan utara Israel itu telah berlaku sejak beberapa hari lalu selepas roket-roket dilancarkan dari wilayah Lubnan dan mendarat di utara Tel Aviv hingga mencetuskan kebakaran.

Ketika itu, rejim Zionis menyalahkan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin melakukan serangan roket tersebut selepas tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Pada Jumaat, Hizbullah akhirnya mengaku bahawa ia telah melancarkan siri roket di Ladang Shebaa sebuah kawasan berhampiran dengan sempadan Lubnan sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel di selatan negara berkenaan.

Ketegangan yang berlaku di sempadan Israel dengan Lubnan semakin memuncak sejak beberapa hari lalu. - AFP

Sistem Pertahanan Peluru Berpandu Iron Dome milik tentera Israel dilaporkan berjaya memintas 10 roket dengan enam roket lagi jatuh di kawasan terbuka dan beberapa roket lagi dikatakan jatuh di Lubnan.

Siren-siren amaran serangan turut diaktifkan di utara Israel yang bersempadan dengan Lubnan dan Syria termasuk di Ein Quiniyye, Neveh Ativ serta Snir, berdekatan sempadan utara negara haram tersebut dengan Lubnan dan Syria.

Tiada laporan berlaku sebarang kecederaaan atau kematian akibat serangan roket tersebut.

Bagaimanapun, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melakukan tindak balas dengan melepaskan bedilan ke arah Gunung Dov di Ladang Shebaa iaitu kawasan di Lubnan sebagai tindak balas terhadap serangan roket tersebut.

Menurut laporan pada Sabtu lalu, jurucakap IDF, Brigedier Jeneral Ran Kohav memberitahu Hizbullah melancarkan serangan roket di kawasan terbuka.

Hizbullah beri amaran

Timbalan Ketua Hizbullah, Sheikh Naim Qassem berkata pergerakan itu percaya pertempuran tersebut tidak akan memuncak, namun ia bersedia untuk melakukan tindak balas jika Israel menyerang Lubnan sekali lagi.

Amaran itu menunjukkan Hizbullah tidak teragak-agak akan melakukan serangan balas jika tentera Israel melancarkan serangan udara dan darat ke atas wilayah Lubnan.

Tentera Israel melepaskan bedilan meriam howitzer ke arah Lubnan dari bandar Kiryat, utara negara haram itu pada Jumaat lalu. - AFP

Presiden baharu Iran, Ebrahim Raisi turut memuji Hizbullah kerana bangkit menentang rejim Zionis ketika melakukan pertemuan dengan Qassem di Teheran.

Qassem turut menyatakan bahawa Hizbullah merupakan satu-satunya kumpulan yang mampu untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat Lubnan bagi menghadapi serangan dan rancangan jahat rejim Zionis.

Berikutan situasi semakin tegang, Pasukan Sementara Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan meminta Israel dan Hizbullah mengadakan gencatan senjata kerana menganggap keadaan di sempadan negara haram tersebut sudah bertukar menjadi serius.

Konflik itu berlaku ketika Lubnan dilanda krisis ekonomi dan kebuntuan politik yang menyebabkan negara itu tidak mempunyai sebuah kerajaan yang berfungsi dengan sepenuhnya sejak tahun lalu.

Klik di sini untuk terus membaca