RAMAI orang marah dan salahkan kerajaan apabila kes Covid-19 meningkat hari demi hari dan punca penularan utama adalah tempat kerja. Kita boleh mengurangkan kadar jangkitan dengan cepat dan mudah dengan tidak membenarkan kilang beroperasi.... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI orang marah dan salahkan kerajaan apabila kes Covid-19 meningkat hari demi hari dan punca penularan utama adalah tempat kerja.

Kita boleh mengurangkan kadar jangkitan dengan cepat dan mudah dengan tidak membenarkan kilang beroperasi.

Tetapi kalau serombong sebuah kilang tidak berasap, maka dapur beratus-ratus, malah beribu-ribu isi rumah tidak berasap.

Kita ambil contoh pengeluar sarung tangan utama di Malaysia dan terbesar dunia iaitu Top Glove Corporation Berhad.

Ramai orang tahu syarikat tersebut dan menyalahkannya kerana ramai pekerjanya dijangkiti.

Kita boleh arah syarikat itu menghentikan operasinya. Satu panggilan telefon yang dituruti oleh sepucuk surat sudah cukup.

Tetapi apabila serombong kilang-kilang syarikat berkenaan tidak mengeluarkan asap kerana mematuhi arahan pihak berkuasa, dapur 21,000 orang pekerjanya juga mungkin tidak berasap.

Kita kena ingat, pada zaman kegemilangan ekonomi kita yang bermula pertengahan dekad 1980-an sehingga beberapa tahun lalu, banyak syarikat dan industri raksasa berjaya ditubuhkan di Malaysia sehingga kita diberi jolokan The Asian Tiger atau Harimau Asia.

Top Glove adalah antara perusahaan raksasa yang didirikan pelabur swasta dengan mengambil kesempatan daripada dasar mesra pelabur kerajaan, kestabilan politik dan pertumbuhan teknologi yang pesat.

Hari ini Top Glove mempunyai 28 buah kilang di Malaysia dan di beberapa lokasi di luar negara dengan seramai 21,000 pekerja dan jumlah perniagaan RM7.24 bilion bagi tahun 2020.

Ia bukan soal menyokong pembukaan kilang atau memihak kepada pelabur tetapi memahami hubung kait antara operasi ekonomi dengan kebajikan rakyat. Boleh dikatakan satu dunia telah mencuba mengawal penularan Covid-19 bermula awal tahun lalu dengan menguatkuasakan kawalan pergerakan, penjarakan sosial dan vaksinasi besar-besaran.

Kesan kawalan pergerakan telah melumpuhkan ekonomi, khususnya sektor pengeluaran, memutuskan rantaian pembekalan, mewujudkan pengangguran sejagat dan menimbulkan kenaikan harga barang serta perkhidmatan.

Malaysia yang sudah lebih empat dekad mengalami guna tenaga penuh, tiba-tiba melihat ratusan ribu pekerja hilang sumber pendapatan.

Daripada kadar 3.2 peratus pada suku keempat tahun 2019, pengangguran meningkat 5.30 peratus pada Mei 2020 sebelum menurun kepada 4.8 peratus pada suku pertama tahun ini. Ia adalah antara kadar pengangguran tertinggi yang pernah dialami Malaysia.

Covid-19 turut mendedahkan bukan sahaja tahap sebenar kesihatan penduduk Malaysia tetapi juga mempamerkan kedaifan sebilangan besar isi rumah yang sebenarnya dalam kelompok kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kadar jangkitan kronik sehingga membawa kematian memberi gambaran cukup jelas dan membimbangkan mengenai tahap kesihatan penduduk kita.

Kemajuan ekonomi, kesihatan dan pendidikan yang selama ini kita uar-uarkan sebenarnya mempunyai banyak kelemahan serta kekurangan.

Hatta, sistem kesihatan yang mendapat pujian dunia itu pun tidak cukup bersedia menghadapi kecemasan berskala besar seperti Covid-19. Itu belum diambil kira kemampuan majoriti rakyat menyara kehidupan dalam suasana pengangguran.

Ramai tidak mempunyai sebarang bentuk simpanan, manakala yang mempunyai simpanan wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), jumlahnya amatlah kecil.

Yang selamat dan agak selesa dalam suasana ekonomi serta wabak yang teruk ini adalah kakitangan dan pesara perkhidmatan awam termasuklah menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kesimpulannya, kita tidak boleh selama-lamanya menutup atau mengehadkan kegiatan ekonomi, khususnya pengeluaran dan perkhidmatan, sebagai kaedah pengawalan Covid-19.

Jawapannya adalah kempen vaksinasi sejagat seperti yang kita lakukan sekarang dan membina kapasiti jangka panjang untuk menghadapi mutasi virus termasuklah mempertingkatkan kesihatan badan rakyat jelata.

Sepatutnya sejak awal lagi kerajaan bekerjasama dengan pemilik kilang, pemaju hartanah, kontraktor dan pembekal perkhidmatan untuk berkongsi kos vaksinasi bagi setiap pekerja.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca