UZBEKISTAN merupakan salah sebuah negara di rantau Asia Tengah dan memiliki kedudukan geografi yang unik.
Ia terpisah dari pantai oleh dua buah negara atau double landlocked country.
Jika Uzbekistan ingin ke laluan maritim antarabangsa, ia terpaksa melalui dua negara jiran.
Uzbekistan mempunyai beberapa pilihan untuk sampai ke pusat maritim antarabangsa.
Salah satu, Laluan Timur iaitu melalui Kyrgyzstan atau Tajikistan sebelum memasuki wilayah Xinjiang, China dan seterusnya ke bandar pelabuhan yang terletak di pantai timur China seperti Shanghai, Guangzhou dan Qingdao.
Laluan Utara adalah melalui Kazakhstan, kemudian memasuki Rusia dan seterusnya ke bandar pelabuhan Rusia seperti St Petersburg dan Murmansk.
Laluan Barat juga melalui Kazakhstan dan Laut Caspian untuk memasuki negara-negara di rantau Kaukasus seperti Azerbaijan dan Georgia, kemudian ke pelabuhan Erdemir dan Filyos di pantai Laut Hitam, Turki.
Usaha telah dilakukan bagi membangunkan laluan-laluan berkenaan.
Misalnya, China sedang mengusahakan Laluan Timur yang menghubungkan Uzbekistan dengan bandar pelabuhan di pantai timur China. Namun, ia amat jauh dan mengambil masa yang lama.
Jalan paling singkat bagi menyambungkan Uzbekistan dengan laluan maritim antarabangsa adalah Laluan Selatan yang melalui rantau Asia Selatan dan Iran untuk sampai ke Lautan Hindi.
Laluan Selatan mempunyai dua laluan utama. Pertama, Uzbekistan melalui Afghanistan untuk memasuki Pakistan dan sampai ke pelabuhan Karachi serta Gwadar, Bin Qasim di Laut Arab, kemudian menyambungkan Uzbekistan ke Lautan Hindi dan Selat Melaka di Asia Tenggara.
Kedua, Uzbekistan boleh memilih melalui Turkmenistan, kemudian memasuki Iran untuk sampai ke pelabuhan Bandar-e Abbas, Chabahar dan Bandar-e Lenge di Selat Hormuz dan Teluk Parsi.
Laluan itu turut menyambungkan Uzbekistan dengan negara-negara Asia Barat seperti Oman dan United Emirates (UAE).
Hubungan Uzbekistan dan rantau Asia Selatan serta Asia Barat sudah lama terjalin melalui aktiviti perdagangan, diplomasi dan sosiobudaya menerusi Laluan Sutera.
Wilayah seperti Delhi (India), Multan (Pakistan), Isfahan (Iran), Basra dan Baghdad (Iraq) pernah menjadi sebahagian Empayar Timur.
Samarkand dan Bukhara di Uzbekistan juga pernah menjadi pusat pengajian serta ketamadunan Islam kepada Empayar Moghul di India. Malah, pengasas Empayar Moghul, Babur berasal dari Andijan, Uzbekistan.
Kini di bawah pentadbiran Presiden Shavkat Mirziyoyev, Uzbekistan ingin memperkukuhkan hubungan dengan negara Asia Selatan khasnya Pakistan dan India termasuk Afghanistan.
Justeru, Uzbekistan telah menganjurkan 'Regional Connectivity Between Central Asia and South Asia - Challenges and Opportunities’ di Tashkent pada Julai 15-16 2021 yang dihadiri negara-negara Asia Selatan, Asia Tengah termasuk kuasa-kuasa besar seperti Rusia, Amerika Syarikat (AS), China dan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Organisasi Kerjasama Islamik atau Organization of Islamic Cooperation (OIC) serta Kesatuan Eropah.
Uzbekistan juga mempunyai kerjasama bilateral dengan Pakistan dan India dalam bidang perdagangan, selain mempunyai hubungan multilateral dengan India dan Pakistan melalui Organisasi Kerjasama Shanghai.
Ketika menghadiri 'Regional Connectivity Between Central Asia and South Asia - Challenges and Opportunities,’ Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan telah menandatangani beberapa memorandum persefahaman dengan Uzbekistan dan badan-badan korporat dalam bidang perdagangan, visa, transit, kebudayaan dan keselamatan.
Sebenarnya usaha sedemikian tidak hanya membawa keuntungan kepada Uzbekistan tetapi kepada seluruh rantau Asia Tengah.
Uzbekistan juga giat memperkukuh hubungan dengan Afghanistan.
Ia telah mencadangkan pembinaan laluan kereta api dari Termez di selatan Uzbekistan menuju ke Peshawar, Pakistan melalui bandar-bandar Afghanistan seperti Mazar-i-Sharif dan Kabul.
Jika laluan itu menjadi realiti, ia dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi Afghanistan dan membantu menghubungkan Uzbekistan dan Afghanistan kepada dunia luar.
Uzbekistan juga amat prihatin dengan kestabilan dan keselamatan Afghanistan.
Maka, Uzbekistan mengamalkan dasar seimbang dalam konflik di Afghanistan.
Kerajaan Uzbekistan bekerjasama dengan kerajaan Afghanistan yang dipimpin Presiden Ashraf Ghani, tidak memencilkan diri daripada kumpulan Taliban.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca