PADA 30 Julai 2019, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Pertabalan itu adalah manifestasi keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Pemilihan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 30 Julai 2019, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pertabalan itu adalah manifestasi keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Pemilihan Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak berlaku di mana-mana negara lain selain Malaysia.

Ia hasil daripada pemilihan Raja-raja Melayu pada 24 Januari 2019 yang menyaksikan Seri Paduka menaiki takhta untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Kita dapat perhatikan sejak itu Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan perlembagaan secara aktif termasuklah apa yang berlaku baru-baru ini.

Sebenarnya sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu merupakan negara-negara yang berdaulat.

Negara-negara berdaulat itu dimiliki oleh rajanya sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada raja masing-masing.

Oleh itu, tatkala menggarap persetujuan mencapai kemerdekaan, Raja-raja Melayu menjadi penandatangan penting kepada perjanjian tersebut kerana Raja-raja Melayu mempunyai jajahan sendiri.

Begitulah peri pentingnya kerajaan Melayu di Malaysia. Malah di Malaysia, kita mengistilahkan penguasa di Malaysia sebagai 'kerajaan’ bukan 'pemerintah’.

Kalimah kerajaan mempunyai akar kata raja yang menggambarkan kepentingan raja itu sendiri dan bukan penguasa yang memerintah dengan istilah pemerintah seperti di Singapura dan Indonesia.

Lantas, Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menukilkan kuasa eksekutif Persekutuan terletak kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan perdana menteri atau pihak lain.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas kuasa eksekutif yang sebenarnya terletak kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka pemerintah sebenar kepada negara. Jemaah Menteri hanya menjalankan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diberikan kepada mereka.

Namun, ramai berhujah oleh kerana Perkara 40 menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat, Jemaah Menterilah yang mempunyai kuasa mentadbir negara.

Hal itu terjadi kerana ramai masih terikat dengan tafsiran nasihat sebagai wajib diikuti sebagaimana nasihat Residen British dahulu kepada Raja-raja Melayu.

Oleh kerana kita sudah begitu lama merdeka, tafsiran sebenar perkataan nasihat perlulah ditafsirkan mengikut makna bahasanya yang sebenar, bukan mengambil pendekatan sebelum merdeka.

Kedudukan dan penghormatan kepada Raja-raja Melayu sebelum dan selepas merdeka sangat berbeza.

Malaysia begitu unik mempunyai mekanisme semak dan imbangnya tersendiri.

Mungkin ada kelemahan dalam kalangan individu yang mengisi jawatan tertentu, namun mempertahankan institusi raja sangatlah perlu kerana ia adalah jati diri negara kita.

Sistem semak dan imbang di Malaysia tidak hanya dijalankan oleh cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman tetapi raja juga turut berperanan.

Setiap pihak sama ada raja, rakyat mahupun pimpinan kerajaan perlu akur dengan peranan serta tanggungjawab masing-masing.

Kemegahan dan gahnya institusi serta peranan bukan semata-mata atas kemuliaannya tetapi setiap pihak hendaklah berusaha memuliakan institusi yang diduduki.

Raja dan rakyat berpisah tiada, ia bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi. Raja-raja perlu merasai denyut nadi rakyat barulah rakyat akan bangun mempertahankan raja.

Raja perlu bersama rakyat menjalin hubungan yang intim dan bersepadu.

Yang di-Pertuan Agong yang baru dipilih ini telah menzahirkan keakraban bersama rakyat. Acap kali Seri Paduka mengabaikan protokol diraja semata-mata untuk bersama rakyat.

Sebagai ketua agama, Raja-raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan agama Islam. Ia selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam setiap masa.

Raja-raja merupakan benteng terakhir umat Islam dalam mempertahankan agama Islam di Malaysia. Hakikat itu perlu diinsafi oleh setiap rakyat dan raja.

Marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Kita pertahankan jati diri negara ini.

Jangan alihkan institusi Raja-raja Melayu dari istana ke muzium sebagaimana terjadi di beberapa negara lain. Raja dan rakyat berpisah tiada.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca