SHAH ALAM - Kerajaan digesa melakukan kawalan terhadap harga perkhidmatan ujian saringan Covid-19 yang ditawarkan hospital dan klinik swasta di negara ini yang disifatkan masih mahal. Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melakukan kawalan terhadap harga perkhidmatan ujian saringan Covid-19 yang ditawarkan hospital dan klinik swasta di negara ini yang disifatkan masih mahal.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, bagi membolehkan harga perkhidmatan itu dikawal sepenuhnya ia boleh dimasukkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan caj ujian saringan Covid-19 tidak mahal keterlaluan hingga membebankan rakyat terutama golongan B40.

"Sebagai langkah mengawal harga ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mungkin boleh letakkannya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 buat sementara waktu.

"Bila keadaan pandemik beransur pulih, ia mungkin boleh ditarik balik,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai caj perkhidmatan ujian Covid-19 di hospital dan klinik swasta di Malaysia yang dikatakan masih mahal walaupun saringan ketika ini boleh menggunakan kaedah persampelan air liur atau deep-throat saliva.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof menjelaskan, harga caj perkhidmatan perlu berpatutan untuk menggalakkan orang ramai membuat saringan.

"Kalau harganya mahal, kita bimbang ramai individu tidak pergi buat saringan sebab tak mampu bayar.

"Mungkin rumah mereka jauh untuk jalani ujian saringan secara percuma di fasiliti kerajaan dan ada klinik swasta berdekatan rumah, tapi harganya pula mahal,” katanya.

Justeru, tegasnya, dalam situasi sekarang, fasiliti swasta sepatutnya berganding bahu bersama kerajaan dengan mengenakan harga berpatutan untuk perkhidmatan tersebut.

Senada dengan Fomca, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) turut menyokong agar kawalan harga lebih ketat dilaksanakan kerajaan bagi mengawal kadar caj perkhidmatan ujian saringan Covid-19.

Presiden MPS, Amrahi Buang berkata, kawalan harga juga mesti dilakukan di peringkat pengeluar, pengedar dan peruncit bagi kit ujian pengesanan Covid-19 termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan juga boleh memberikan subsidi untuk caj perkhidmatan ujian saringan di fasiliti swasta sekiranya mempunyai kemampuan dari segi kewangan.

"Ia untuk mengurangkan beban rakyat kerana dalam keadaan sekarang kita tahu ramai rakyat terjejas pendapatan,” katanya.

Ujarnya, kadar caj ujian saringan di negara ini masih mahal ekoran permintaan tinggi disebabkan kes yang melonjak saban hari.

Klik di sini untuk terus membaca