SEANTERO Malaysia kenal siapa Jep. Juara Maharaja Lawak Mega 2013. Kini ada rancangan sitkom dia sendiri di bawah label Sepahtu Reunion. Sebab itulah dia lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu. Tiba-tiba kini muncul satu lagi Jep. Tapi ini... Klik di sini untuk terus membaca

SEANTERO Malaysia kenal siapa Jep. Juara Maharaja Lawak Mega 2013.

Kini ada rancangan sitkom dia sendiri di bawah label Sepahtu Reunion.

Sebab itulah dia lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu.

Tiba-tiba kini muncul satu lagi Jep. Tapi ini bukan Jep Sepahtu sebaliknya Jep durian RM30.

Dia bukan sahaja menawarkan durian RM30, malah pelbagai imbuhan dan jawatan termasuk jawatan menteri.

Tawaran ini bunyi kelakar sebab siapa awak nak beri tawaran jawatan menteri kepada orang. Awak bukan perdana menteri pun.

Lebih kelakar ialah tawaran berkenaan hanya dibuat kepada wakil rakyat DAP seolah-olah mereka boleh dibeli dan senang dibeli.

Tapi yang lebih kelakar ialah, ada orang yang jadi orang tengah untuk urusan tawar menawar ini dan paling kelakar mereka yang ditawarkan jawatan dan wang ringgit ini percaya yang tawaran ini datang daripada Perikatan Nasional (PN) lalu mereka membuat laporan polis berkaitannya.

Lepas laporan polis itu dibuat, diadakan pula sidang akhbar untuk mendedahkan konspirasi itu seolah-olah ia benar dan sungguh.

Orang yang membuat laporan polis ini ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang mendakwa beliau telah dihubungi seorang individu tidak dikenali bernama Jep menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga bekas Menteri Sumber Manusia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tawaran berkenaan dibuat melalui aplikasi WhatsApp menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah.

Bukan saja Kulasegaran, malah wakil rakyat DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii turut menerima mesej daripada Jep dengan tawaran yang sama − durian RM30 dan jawatan menteri.

Kulasegaran membuat tafsiran durian RM30 tu sebenarnya RM30 juta. Macam mana beliau membuat konklusi tersebut kita pun tak tahu.

Selain itu, Kulasegaran mendakwa beliau pernah dihubungi secara terus nombor yang sama beberapa kali sejak akhir-akhir ini, namun enggan melayannya.

Beliau mendakwa kemungkinan daripada itu individu tersebut cuba mendapatkan nombor setiausahanya untuk membuat tawaran berkenaan.

Dalam pada itu, Jeremy mendakwa, turut menerima mesej daripada individu yang sama menawarkan salah satu daripada jawatan menteri yang dikosongkan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah kepada Kulasegaran.

"Dia bukan sahaja menawarkan RM30 juta, malah secara tersirat menawarkan jawatan menteri yang dikosongkan Ahli Parlimen Parit Sulong serta Ahli Parlimen Lenggong. Dia menawarkan kepada Kulasegaran salah satu jawatan itu,” dakwa Jeremy lagi.

Kulasegaran meminta agar pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tawaran berkenaan dan mengambil tindakan segera.

Beliau menyifatkan tawaran itu sebagai tindakan terdesak pihak-pihak tertentu yang cuba ‘memancing’ ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong PN.

Yang menakjubkan ialah Kulasegaran dan rakan-rakannya percaya mamat bernama Jep ini mewakili PM dan PN.

Selebihnya kita semua timbang sendiri.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca