Persidangan Parlimen negara sentiasa memperlihatkan perdebatan hangat mengenai isu-isu semasa yang dibangkitkan oleh menteri di pihak kerajaan dan ahli-ahli Parlimen baik di blok kerajaan mahupun pembangkang. Tidak terkecuali perbahasan hangat pada hujung bulan lalu.
Namun, ada pendapat yang menyatakan dalam banyak sesi perdebatan seolah-olah wujud isu diskriminasi atau ‘seksis’ dalam kalangan suara wakil rakyat wanita semasa perbahasan.
Pada 28 Julai lalu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh sebagai contoh diberi amaran "Tolong diam boleh tak” oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas digesa untuk mempertimbangkan lanjutan masa bagi membolehkan Menteri Penyeleras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawab semua soalan.
Selain itu, pada tahun lalu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pernah melemparkan kata-kata berbaur rasis apabila mengungkapkan ayat "gelap tak nampak” ketika Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto ketika pertikaman lidah antara mereka berdua.
Walaupun terdapat Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyebut tentang kesalahan ahli-ahli Dewan menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan seksis 36(4), namun diskriminasi masih berlaku secara terbuka dan menunjukkan seolah-olah suara wanita dan isu yang dibangkitkan tidak diambil berat dan dipandang serius oleh segelintir ahli Parlimen lain.
Dakwaan bahawa wanita ‘terlalu beremosi’ untuk mentadbir negara itu juga sudah tidak relevan di mana kita lihat rata-rata masih mampu mempertahankan institusi dan demokrasi negara.
Kasthuriraani ketika ditemubual Sinar Premium berkata, isu diskriminasi wanita di Parlimen amat jelas baru-baru ini apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat menutup mikrofon apabila beliau memohon melanjutkan masa untuk membahas Pelan Pemulihan Negara oleh Perdana Menteri tentang impak lockdown khususnya terhadap wanita.
"Saya merayu untuk membangkitkan isu tersebut kerana kita tidak lihat mekanisme dan sampai mana bantuan sampai sasaran namun beliau kata tidak cukup masa dan sudah ‘rugi’ dua jam berbahas. Saya rasa terkilan kerana apabila kami disekat untuk berbicara, maka suara rakyat juga turut disekat.
"Kita juga menyaksikan segelintir ahli-ahli Parlimen yang mengherdik, memerli dan mengeluarkan kata-kata seksis terhadap ahli-ahli Parlimen wanita. Saya tidak faham bagaimana sesebuah negara yang membangun berdiam diri apabila wakil rakyat wanita mereka diherdik dan diperli dalam dewan yang mulia.
"Penghinaan kepada ahli Parlimen wanita sama seperti penghinaan bagi semua wanita di luar sana dan sifat memalukan ini perlu dihentikan segera. Saya rasa sudah tiba masanya kita mengorak langkah untuk membuktikan Parlimen di Malaysia adalah Parlimen ‘world class’,” katanya kepada Sinar Premium baru-baru ini.
Oleh itu, Kasthuriraani mencadangkan untuk membuat pindaan peraturan mesyuarat dengan menyertakan sekali satu perihal apabila seseorang ahli Parlimen mengeluarkan kata-kata yang berbaur seksis dan rasis, maka beliau perlu dirujuk terus pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
"Jika didapati bersalah, maka saya juga cadangkan denda sekurang-kurangnya RM500 ke atas mereka sama seperti elaun yang ahli Parlimen terima sehari dan tidak ada lagi peluang memohon maaf atau tarik balik kenyataan kerana cara itu tidak berkesan dan mungkin perkara berulang akan berlaku.
"Ketua parti politik sepatutnya bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tegas kepada mereka yang membuat ucapan berbaur seksis dan rasis dengan menggantung mereka di Parlimen atau jawatan pada parti politik. Ini baru menunjukkan bahawa parti tersebut serius dalam menitikberatkan isu seksis bukan sahaja di Parlimen malahan di luar,” katanya.
Kasthuriraani berkata, diskriminasi terhadap wanita juga berpunca daripada kurangnya wakil wanita di Parlimen iaitu hanya 15 peratus atau 33 daripada 220 orang wakil rakyat wanita secara keseluruhan yang menjadi tunjang untuk membahas isu-isu perkembangan dan pembangunan wanita di Parlimen.
"Jika kita lihat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14, ramai wanita telah dicalonkan untuk bertanding dan kita ada bilangan ahli Parlimen yang tertinggi. Walaupun tidak cukup untuk cecah kuota 30 peratus, namun, ia merupakan sedikit penambahbaikan. Kita masih mencuba untuk mencapai kuota 30 peratus wakil wanita di Parlimen dengan usaha semua parti-parti di Malaysia.
"Apabila ada penambahan wakil wanita dalam Parlimen, pastinya suara wanita juga bertambah. Pada pandangan saya, apabila kita sudah lama tidak mendengar suara wanita di Parlimen, ini akan menjadi satu titik permulaan dan kebiasaan untuk mereka memerli dan mengherdik ahli Parlimen wanita yang bangkit untuk mengetengahkan sesuatu isu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, diskriminasi wanita wujud di Parlimen dan ia dipengaruhi oleh faktor jantina serta parti yang disandang.
"Mereka selalu menjadikan faktor jantina (wanita) sebagai target mudah tanpa mahu mendengar dan menilai hujah dan fakta yang ingin disampaikan. Saya tidak menafikan kemungkinan wujud faktor bias terhadap parti yang dianggotai juga turut menjadi alasan mengapa mereka suka memperlekehkan penilaian kami sehingga boleh mencetuskan tindakan seksis dan diskriminasi.
"Isu-isu wanita dan kanak-kanak tidak seharusnya menjadi perjuangan yang dibahaskan oleh wanita sahaja di mana ia wajar diangkat oleh ahli Parlimen lelaki juga. Namun, jika jumlah wanita dalam Parlimen pun sangat kecil, peluang berbahas juga terhad, maka isu-isu wanita dan kanak-kanak akan terus tenggelam,” katanya.
Hannah yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, wanita sudah cukup layak untuk memimpin negara kelak walaupun sering dikategorikan sebagai terlalu ‘beremosi’.
"Jika ada yang mendakwa Malaysia belum bersedia menerima wanita sebagai pemimpin negara, kita mesti mulakannya daripada sekarang. Contohnya, ketika pentadbiran Pakatan Harapan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia.
"Apabila ramai anak muda menjadi ahli majlis, ahli dewan undangan negeri dan ahli Parlimen kesan daripada pengkaderan (recruitment) yang dilakukan sejak awal, kita boleh melihat hasil pemikiran mereka yang lebih matang. Saya sendiri pernah menjadi Speaker Dewan Negeri Selangor dan tidak pernah pula hilang kesabaran. Jadi, tidak semestinya lelaki lebih pandai mengawal emosi dari wanita,” katanya.
Tambah beliau, pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Timbalan daripada golongan wanita seperti Datuk Seri Azalina Othman Said adalah usaha yang terpuji dan membuka langkah untuk membuang persepsi dan diskriminasi terhadap wanita.
Malah, beliau juga telah menunjukkan kemampuannya mengendalikan perjalanan Parlimen jauh lebih baik dan adil daripada Yang di-Pertuan Speaker dan Timbalan Speaker yang lain.
Klik di sini untuk terus membaca