SHAH ALAM - Walaupun UMNO Sabah sudah memaklumkan untuk kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah, bagaimanapun tindakan Pengerusi UMNO negeri itu, Bung Moktar Radin menandatangani surat akuan sumpah menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Walaupun UMNO Sabah sudah memaklumkan untuk kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah, bagaimanapun tindakan Pengerusi UMNO negeri itu, Bung Moktar Radin menandatangani surat akuan sumpah menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin kini menjadi perdebatan tentang kemungkinan kerajaan Negeri Di Bawah Bayu bakal berpecah.

Penganalisis politik Universti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berpandangan, keadaan politik semasa di Sabah mempunyai dua kemungkinan jika kerajaan PN jatuh iaitu pembentukan kerajaan baharu dan pilihan raya negeri sekali lagi walaupun perkara tersebut bukanlah sesuatu yang ideal untuk rakyat Sabah.

"Ada dua kemungkinan yang boleh berlaku. Pertama, pemimpin daripada parti-parti lain seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) bekerjasama dengan parti-parti tertentu sebagai parti yang boleh menjadi kerajaan di Sabah dan mewujudkan pembentukan kerajaan baharu.

"Andaian saya seterusnya adalah kemungkinan kita berhadapan dengan pilihan raya negeri (PRN) sekali lagi, cuma kita berharap supaya kemungkinan ini tidak berlaku dan kerajaan lebih fokus tentang isu untuk menangani pandemik daripada berpolitik.

"Kita masih memerlukan sebuah kerajaan yang ada kelangsungan dan usaha menangani pandemik. Saya rasa jika ada pembentukan kerajaan yang baharu, sudah semestinya usaha yang ada sekarang ini sedikit terganggu jadi kita berharap benda itu tidak berlaku,” katanya pada Sinar Premium.

Tambahnya, sekiranya kerajaan PN jatuh, sudah semestinya akan berlaku ketidakstabilan politik di Sabah kerana kemungkinan ‘lompat parti’ boleh berlaku dan sifat kepimpinan di sini yang mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

"Saya nampak tidak mungkin kerajaan yang rasional boleh kekal lama dengan tekanan-tekanan daripada kerajaan Persekutuan dan sudah pastinya berlaku perubahan dari segi kepimpinan. Jadi kemungkinan untuk tumbang itu boleh berlaku.

"Sabah mungkin akan ikut jatuh jika PN jatuh, cuma perkara ini tidak jelas kerana pemimpin mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan kekal dengan PN walaupun akan tumbang. Namun demikian, kita masih tidak pasti apa yang boleh berlaku di Sabah ini kerana wujudnya mereka yang lompat parti,” katanya.

Selain itu, Romzi berkata, jika berlaku perubahan besar di peringkat Persekutuan, semestinya akan ada perubahan di peringkat negeri di mana politik hari ini dipengaruhi oleh politik Pusat.

"Walaupun pemimpin-pemimpin tertentu seperti Bung Moktar masih lagi menyokong PN, harus diingatkan politik hari ini mempunyai pengaruh yang kuat daripada politik Persekutuan. Bagaimanapun, saya juga difahamkan ada setengah pemimpin parti-parti komponen dalam kerjasama Sabah tidak berminat untuk bergabung dengan parti-parti yang menjadi lawan pilihan raya lepas seperti Warisan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir berkata, banyak kemungkinan yang akan berlaku di Sabah jika UMNO mengambil keputusan drastik untuk keluar daripada kerajaan sekarang.

"Sabah sekali lagi akan mempunyai gelora politik jika UMNO bertindak demikian dan ia satu tindakan yang bercanggah dengan hasrat rakyat dan tidak bertanggungjawab.

"Kalau berlaku penarikan UMNO, ini akan mewujudkan bukan sahaja ketidakstabilan namun membuka ruang yang besar kepada musuh politik mereka. Bagi UMNO, langkah kehadapan adalah untuk menjaga dan mengekalkan kerjasama sedia ada ini bagi menjaga kestabilan politik,” katanya.

Tambah beliau, bagi politik semasa di Sarawak, tindakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terus menjalin kerjasama dengan PN dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri adalah tindakan yang baik untuk menjaga kestabilan dan fokus kepada isu negeri tersebut.

"Setakat ini, pendirian GPS konsisten atas justifikasi bahawa penting untuk kekalkan kestabilan yang ada sekali lagi untuk memberi fokus kepada apa yang perlu diberi perhatian.

"Apabila GPS membuat keputusan bulan Februari tahun lalu, keutamaan GPS adalah memastikan keadaan politik negara stabil sehingga kini,” katanya.

Jelas beliau, jika wujud penjajaran baharu di Sarawak, GPS kemungkinan tidak akan menyokong dan tanpa sokongan mereka, Sarawak mungkin akan berada dalam krisis politik yang tidak berkesudahan.

"Jika penjajaran semula berlaku dan DAP ada dalam komponen untuk membentuk kerajaan, saya rasa GPS tidak akan bersetuju untuk ikut serta dan sokong. Tanpa sokongan 18 ahli Parlimen GPS, kita akan terus berada dalam kancah krisis.

"Jadi perubahan kerajaan takan menjamin krisis politik akan berakhir dan terus bergelora. Maksudnya, undi percaya dan penggantian PM dan kerajaan bukan jalan penyelesaian yang bernas ketika ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca