SHAH ALAM - Pakar-pakar kesihatan mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu seronok dengan kelonggaran tambahan yang diberikan kerajaan ketika negara masih belum mencapai kadar vaksinasi yang sekata di seluruh negara dan kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya.
Ini kerana, individu yang telah lengkap vaksinasi tetap berisiko dijangkiti dan menjangkiti individu lain.
Kebimbangan itu bersandarkan kepada kemunculan varian baharu seperti Delta, Delta Plus dan Lambda yang dikhuatiri akan lebih memburukkan keadaan, di samping kadar jangkitan di Lembah Klang yang masih tinggi ketika ini.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berpendapat, kelonggaran yang diberikan ini dilihat terlalu awal dan risiko masih tinggi serta merisaukan jika berlaku pergerakan masuk dan keluar dari Lembah Klang.
"Walaupun telah lengkap divaksin, mereka masih lagi boleh menjadi pembawa, masih lagi boleh dijangkiti dan boleh mengalami komplikasi akibat Covid-19. Apa yang lebih merisaukan kita, pergerakan itu melibatkan kawasan Lembah Klang, sama ada masuk atau keluar.
"Kita bimbang, alasan PJJ (pasangan jarak jauh) digunakan untuk pulang ke kampung, tapi mereka berjumpa dengan mak ayah, kenalan dan saudara di kampung. Itu perkara yang merisaukan.
"Perlu diingat, kadar vaksinasi masih belum sekata dan mencukupi bagi negeri yang berada di fasa dua dan tiga,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, masalah besar yang dihadapi kini bukanlah disebabkan kes tinggi tetapi mentaliti rakyat yang masih tidak bersedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan cenderung untuk mengabaikannya.
"Pada pandangan saya, kalau nak berikan kelonggaran, kita kena tahu adakah hospital kerajaan bersedia atau tidak menampung kes yang tinggi.
"Indikator paling mudah ialah jumlah kematian kita kembali kepada dua atau satu digit. Sepatutnya kita tunggu jumlah kes harian turun lebih drastik daripada yang kita ada sekarang, contohnya separuh daripada jumlah sekarang,” jelasnya.Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Marzuki Isahak pula melahirkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan vaksinasi dan mengingatkan agar kerajaan perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuka pintu negeri.
"Walaupun individu dari Lembah Klang sudah lengkap dua dos vaksin tapi masih ada kemungkinan untuk dia membawa virus ini kepada orang yang tidak divaksin.
"Lebih memburukkan keadaan apabila individu berkenaan berjumpa dengan orang yang belum divaksin, mereka akan mendapat penyakit. Kita perlu sedar, ada negeri yang berada di fasa dua dan tiga tetapi kadar vaksinasi belum mencukupi.
"Jadi, saya berpandangan rentas negeri masih belum sesuai melainkan seluruh negara mencapai kadar vaksinasi yang diperlukan dan sekata,” katanya yang juga Setiausaha Kehormat, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia.
Sementara itu, Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya, Profesor Dr Sanjay Rampal Lekhraj Rampal menyifatkan kerajaan berada dalam keadaan yang sukar, di mana berlaku peningkatan kes berterusan walaupun telah lama melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Program vaksinasi ini saya lihat hanya dapat bantu dalam jangka masa panjang. Selama kira-kira 17 bulan ini, rakyat jarang mendapat ‘penghargaan’ kerana mengikuti SOP, sudah waktunya untuk lebih belas kasihan terhadap kesejahteraan rakyat.
"Bagaimanapun, kelonggaran SOP ini harus didasarkan pada pelbagai faktor seperti penggunaan perkhidmatan kesihatan awam, pelaksanaan vaksinasi, kesediaan hospital dan penggunaan ICU.
"Terdapat beberapa SOP yang lebih santai seperti kelonggaran sekatan pergerakan, namun rakyat perlu meneruskan SOP seperti penggunaan pelitup muka di kawasan yang padat, menjaga penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan tangan dan pernafasan dengan mencuci tangan dan etika batuk yang baik,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca