PADA tanggal 12 Ogos, Hari Gajah Sedunia akan disambut bagi mendedahkan masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan spesies gajah dan meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan ancaman yang dihadapi populasi gajah di seluruh dunia.
Gajah adalah khazanah berharga negara yang perlu dipelihara dan dilindungi. Hakikatnya, ramai pelancong dari luar negara berkunjung ke negara ini, khususnya ke Sabah semata-mata untuk melihat secara lebih dekat gajah Pygmy atau juga dikenali dengan panggilan gajah kerdil Borneo yang merupakan spesies gajah terkecil di dunia yang hanya boleh ditemui di timur Sabah dan utara Kalimantan.
Bilangan populasi gajah di Semenanjung Malaysia dicatatkan sekitar 1,500 ekor manakala di Sabah, bilangan gajah Pygmy dilaporkan hanya sekitar 2,000 ekor sahaja. Lazimnya, populasi gajah dikira berdasarkan kesan tapak kaki, tahi gajah atau menggunakan perangkap kamera dan data konflik manusia-gajah.
Malangnya, bilangan gajah di negara ini semakin berkurangan disebabkan pelbagai faktor seperti kekurangan habitat, sakit kerana kekurangan nutrisi, dilanggar kenderaan ketika menyeberangi jalan serta tekanan pemburuan haram.
Mendukacitakan, dari Januari sehingga Oktober tahun 2020 sahaja, sebanyak 20 kes kematian gajah Pygmy dilaporkan, antaranya akibat diburu, terkena jerat atau perangkap dan pergaduhan sesama gajah. Semua situasi ini berupaya menjurus kepada kepupusan haiwan ini, jika tiada langkah agresif dan berterusan diambil untuk menjamin kemandiriannya.
Rentetan ancaman berterusan terhadap spesies ini, gajah Pygmy Borneo telah dikategorikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam dan Sumber (IUCN). Malah di Malaysia, gajah Pygmy Borneo adalah spesies dilindungi.
Dengan cara kematian yang tragik, insiden kematian gajah Pygmy tidak boleh dipandang ringan. Paling tragis, penemuan bangkai gajah di Sungai Dumpas, Kalabakan, Tawau pada 25 September 2020 yang mana hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya kerana peluru menembusi tengkorak, manakala di kiri dan kanan badan gajah itu terdapat kesan 70 peluru tabur. Terdapat juga bangkai gajah ditemui terapung di Sungai Kinabatangan, dengan pergelangan kedua-dua kaki belakangnya dipotong.
Kaki serta ekor gajah adalah antara organ sasaran yang menyebabkan haiwan berkenaan terus menjadi sasaran pemburu haram. Dua organ berkenaan mendapat permintaan tinggi serta tawaran harga lumayan, selain gading yang sering dikaitkan sebagai punca utama haiwan itu dibunuh.
Faktor lain mengancam gajah adalah konflik dengan manusia apabila habitat hidupan liar itu diganggu dengan mengambil kira kes-kes kematian haiwan berkenaan.
Pembukaan ladang dan kebun misalnya menyebabkan sumber makanan gajah berkurangan menyebabkan haiwan ini keluar dari kawasan hutan menceroboh kawasan pertanian bagi mendapatkan sumber makanan bukannya ingin sengaja merosakkan kawasan berkenaan.
Apabila menyentuh mengenai isu kepupusan pelbagai hidupan liar seperti gajah, pasti ada jari mudah menuding ke arah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tanpa memikirkan beban dipikul.
Hakikatnya, kerajaan melalui Perhilitan berusaha keras melindungi spesies gajah di negara ini, antaranya memperuntukkan sejumlah RM1.8 juta setahun bagi tujuan pengurusan gajah di Semenanjung Malaysia membabitkan aktiviti mitigasi konflik dan kesedaran awam. Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP) untuk 10 tahun (2013-2022) pula menyediakan strategi pemuliharaan yang fokus kepada tindakan yang khusus.
Tindakan lain melibatkan pembinaan Pusat Konservasi Gajah seperti di Kuala Gandah, Pahang bagi membantu memelihara dan melindungi spesies yang semakin pupus ini.
Hakikatnya, gajah adalah haiwan yang berperanan besar dalam menyeimbangkan ekosistem hutan sehingga manusia mendapat manfaatnya.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca