SHAH ALAM - Ramalan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa Majlis Kerja Tertinggi UMNO kini hanya bersifat sebagai jawatankuasa 'caretaker' tepat selepas ia disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ramalan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa Majlis Kerja Tertinggi UMNO kini hanya bersifat sebagai jawatankuasa 'caretaker' tepat selepas ia disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim yang berkata, MKT UMNO diketuai Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.

"Pada masa ini (kepimpinan UMNO) seperti caretaker sahaja, hanya boleh buat pengurusan administrative atau pentadbiran biasa parti.

"Dari segi pelaksanaan (atau segala) keputusan dasar kena bawa ke Perhimpunan Agung dahulu kerana dia (kini) lebih kepada caretaker sahaja,” kata Jasri kepada sebuah portal berita.

Dalam pada itu, Nazri dalam satu arikel Analisis disiarkan Sinar Premium bertajuk, 'Polemik RoS-UMNO boleh bawa kepada musibah lebih besar' terlebih dahulu membuat kesimpulan yang surat RoS itu telah mematikan sepenuhnya gerakan pucuk kepimpinan UMNO diketuai Zahid untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Nazri (depan dua dari kanan) membuat kiraan ahli Parlimen UMNO menyokong kerajaan PN bersama Ismail Sabri pada Jumaat.

Katanya, disebabkan Zahid dan MKT UMNO hanya bersifat 'caretaker' maka jawatankuasa parti itu tidak boleh membuat sebarang keputusan substantif dan keputusan dasar parti.

"Sebenarnya apabila Zahid bermesyuarat dan buat ketetapan baharu melalui mesyuarat MKT selepas 30 Jun lalu, keputusan itu tidak terpakai kerana selepas tarikh berkenaan, ahli-ahli MKT hanyalah bersifat 'caretaker' parti dan tidak boleh membuat keputusan substantif.

"Mereka cuma boleh menguruskan parti bagi bertujuan mengadakan pemilihan UMNO untuk penggal kepimpinan akan datang.

"Zahid telah kena 'checkmate'.

Dia tidak boleh buat apa-apa dah.

Kalau parti memutuskan ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong kerajaan PN dipecat, keputusan itu tidak terpakai.

"Nasihat saya kepada Presiden UMNO, kalau betul dia ada sokongan akar umbi UMNO, kena berani buat pemilihan parti segera...Tunggu pandemik Covid-19 reda sikit, lepas itu buatlah pemilihan parti. Apa yang dia nak takut sangat?" soalnya.

Ditanya sama ada pucuk kepimpinan UMNO boleh mencabar keputusan RoS di mahkamah sekiranya rayuan parti itu kekal ditolak, Mohamed Nazri mengakui tindakan itu boleh dilakukan parti itu.

"Bagaimanapun, pucuk kepimpinan UMNO perlu menyedari mereka tidak boleh membawa kes-kes mencabar keputusan RoS ke dalam mahkamah.

"Jadi maknanya, bila RoS buat keputusan, pucuk kepimpinan UMNO sedia ada kena akur.

Kalau mereka hendak heret RoS ke mahkamah juga, perlembagaan UMNO tidak membenarkannya dengan keahlian parti pemimpin UMNO yang terlibat secara automatik bakal terbatal...

Boleh rujuk perlembagaan UMNO baharu selepas peristiwa pengharaman parti itu pada 1988," katanya.

Dalam pada itu, Ros kini difahamkan akan meneliti dan mengkaji surat penjelasan daripada UMNO terlebih dahulu selepas Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan mengadakan pertemuan dengan Jasri di Putrajaya pada Isnin.

"Ya, Setiausaha Agong UMNO hadir berbincang dan menyerahkan beberapa maklumat berkaitan dan RoS akan menelitinya," kata Jasri mengenai pertemuan itu.

Terdahulu, Ahmad berkongsi mengenai pertemuan berkenaan di media sosial dengan keterangan gambar menyatakan perbincangan kira-kira sejam itu berjalan dengan baik dan mesra.

Klik di sini untuk terus membaca